Umno Terengganu Tetap Mahu Bergomol Juga Ke?


Semalam Kerajaan Kelantan, di bawah pentadbiran PAS, telah mengisytiharkan akan membubarkan jawatan Penyelia Dun yang dikhususkan di Dun-Dun yang PAS kalah. Dan peranan bagi menjaga Dun-Dun itu, diserahkan kepada Adun yang memenangi kerusi di situ. Sudah menjadi budaya, setiap Dun yang kalah, akan dilantik Penyelia Dun, bagi menjadi penghubung antara rakyat dan Kerajaan Negeri.

Sebelum itu, ketika Muafakat Nasional ditubuhkan, Umno Kelantan dengan rela hati, menarik diri dari menjadi pembangkang. Setelah itu, Perikatan Nasional pula tertubuh. Dan satu-satunya kerusi pembangkang Kelantan dari Bersatu tidak berfungsi lagi. Kelantan rasanya menjadi negeri pertama yang melakukan penarikan jawatan Penyelia Dun ini.

Tahun 2018, ketika membentangkan Bajet 2019, PAS Kelantan mengumumkan yang mereka memberikan peruntukan kepada Adun pembangkang ketika itu sebanyak RM50 ribu bagi setiap Dun. Dengan harapan agar pembangunan di Dun-Dun pembangkang ketika itu, turut disertai oleh Adun mereka.

PAS Kedah, pada bulan Ogos, telah menyediakan sebanyak RM2000 sebulan bagi setiap Pusat Khidmat Masyarakat di Dun-Dun pembangkang. Manakala pemberian sejumlah RM70 ribu setahun bagi setiap Adun pembangkang, dikekalkan. Maka jumlah keseluruhan ialah RM1.014 juta bagi tahun ini, diberikan kepada pembangkang di Kedah. Berlainan di Kedah, pembangkang mereka adalah PH.

Terengganu pula telah menyediakan sebanyak RM2.5 juta kepada semua Dun-Dun yang dimenangi Umno yang berjumlah 10 Dun. Ini bukan hal yang baharu yang dipraktikkan oleh Kerajaan PAs Terengganu. Tahun 2000 dahulu, telah diperuntukan sebanyak RM100 ribu bagi setiap Dun pembangkang waktu itu. RM100 ribu 20 tahun lampau adalah jumlah yang sangat besar. Tetapi seingat saya, hanya sekali sahaja bayaran disalurkan kerana royalti petroleum disekat dengan kejam oleh Umno.

Dalam Dun Terengganu, Umno sehingga kini, masih tidak meninggalkan posisi pembangkang. Banyak isu perbalahan yang dikeluarkan Umno dalam beberapa Sidang Dun. Di luar, serangan tentera-tentera siber mereka juga banyak yang ditujukan kepada Kerajaan Negeri. Semua perkara hendak dibuat isu. Semua isu pula disandarkan atas kononnya nama rakyat. Taktik yang tidak banyak beza dengan taktik 2004 dahulu.

Beberapa hari lalu, tidak semena-mena, Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku mengisytiharkan bahawa Umno akan bertanding di semua kerusi di Terengganu. Sebelum itu juga sudah ada usikan nakal dari pimpinan Umno yang mahukan ‘perlawanan persahabatan’ di semua kerusi dalam PRU 15 nanti. Tegar benar mereka mahu berlawan.

Kenyataan ini adalah sambungan dari hasrat Pengerusi Umno Terengganu pada Julai lalu. Apa sebabnya? Dikatakan ada desakan dalaman untuk bertanding disemua kerusi itu dibuat oleh sebahagian pimpinan Umno yang lain. Pada kiraan lojiknya, jika semua bersetuju, maka akan kekallah kerusi pada ‘status quo’ iaitu PAS 22 dan Umno 10. PAS tetap menjadi kerajaan dan Umno sebahagian daripadanya. Kerusi Exco akan lebih kepada PAS.

Oleh itu, mereka yang kalah sekarang, tentulah tidak dapat bertanding lagi. Jangan kata mahu menjadi Exco, menjadi YB pun sudah tiada harapan. Paling tinggi mereka akan dapat jawatan sebagai Pengerusi di GLC-GLC Terengganu. Maka munasabah mereka mahukan peluang untuk menjadi Adun dibuka dengan berlawan di semua kerusi dengan PAS, rakan yang sudah diisytiharkan oleh Presiden mereka.

Ada juga sesetengah pimpinan Umno Terengganu, berdendam lagi dengan PAS. Masih ada suara-suara mengeji Presiden PAS di banyak peringkat. Apa yang mereka tidak puashati, kita tidak tahu. Tetapi segala fitnah, caci maki mereka dahulu semenjak berdekad lamanya, langsung tiada bukti. Hairan, dalam masa yang sama, ada pimpinan Umno yang menghantar anak-anak mereka ke madrasah kelolaan PAS. Tetapi kebencian yang lain amat tebal kepada ulamak yang tidak melakukan kesalahan terhadap mereka.

Nasihat Tan Sri Annuar Musa tidak Umno Terengganu endahkan. Saya rasa, saya tahu kenapa. Mungkin kerana Umno Kelantan sudah teruk dikerjakan PAS di sana, maka Umno Kelantan boleh pasrah dengan nasib mereka. Jika Umno Kelantan bernasib baik, mereka mungkin dijemput masuk ke Kota Darul Naim sebagai kerajaan. Jika tidak, mereka tidak rugi apa-apa kerana sememangnya mereka telah kalah.

Berbeza dengan Terengganu. Umno di sini masih gagah dan bernafsu. Mereka yakin, begitu yakin akan dapat mengalahkan PAS Terengganu dalam PRU 15 nanti. Mereka percaya kekuatan mereka jauh lebih ampuh berbanding dengan Umno Kelantan. Umno Terengganu memerintah puluhan tahun. Hanya tiga kali mereka kalah. Pertama kali, tidak sampai sepenggal, 1959-1961, mereka merampas Terengganu. Kali kedua hanya sepenggal 1999-2004 dan kali ini, mereka mengharapkan kegemilangan berulang lagi.

Jumlah lama masa kehilangan Kerajaan Terengganu kepada PAS secara terkumpul hingga kini hanyalah lapan tahun, berbanding dengan Umno Kelantan yang keseluruhannya hampir 50 tahun. Itu pun menang kerana bantuan Mageran pada tahun 1977. Dapatlah juga Umno berkuasa di Kelantan dari 1978 hingga 1990. Jadi Umno Terengganu memang sangat yakin mereka boleh menang melawan PAS Terengganu.

Maka, rakyat boleh melihat, tiada mereka merasa malu dengan berbilion duit rakyat yang telah dihabiskan dengan kegagalan projek-projek di bawah mereka sepanjang menjadi Kerajaan di Terenganu. Kemudian mereka terpaksa mencari-cari silap PAS bagi menunjukkan PAS lebih teruk dari mereka. Paling lucu ialah semua kegagalan projek Umno yang dinyatakan berbilion-bilion ketika mereka memerintah dahulu, keluar dari mulut Pengerusi BPUNT sekarang, sewaktu mengamuk di Dun, selepas diturunkan jawatan MB.

Rakyat yang waras boleh menilai yang Umno Terengganu boleh menjadikan PAS Terengganu sebagai kawan. Itu adalah kenyataan. Tetapi ego mereka tinggi. Dahulu ada cubaan mereka mahu memalukan PAS selepas Umno menang 2004, konon PAS menyeleweng dengan berbagai tuduhan, tetapi gagal dibuktikan sehingga sekarang. Gomol lah kalau Umno nak bergomol pun. PAS Terengganu akan tetap akur dengan arahan Presiden, tidak mahu menjadi seperti mereka, arahan Presiden sendiri pun tidak dipedulikan.

*Foto dari FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Mohd Nasir Abdullah

17 Disember 2020

Ulasan