Dr Solah Abdul Fattah Dalam Kenangan

 


Oleh : Zakaria Ismail 

PROLOG

Begitulah pengakhiran kehidupan seorang ulamak mujahid pada saat beliau meninggalkan dunia fana ini. Pengakhirannya pada hari Jumaat, Sayyidul Ayyaam 28 Januari 2022.

Pengakhiran dengan ucapan kalimah Tauhid daripada lidahnya yang didengar oleh Doktor yang berada di sisinya. Pengakhiran yang menzahirkan kemuliaan al-Marhum di sisi Tuhannya. 

Pengakhiran yang melambangkan betapa berserinya kalimah Tauhid menyinari hati dan seluruh sanubarinya.


HARI AKHIR

Hari akhirnya di alam dunia diceritakan oleh anaknya Dr. Huzaifah al-Khalidi di dalam fb beliau.

Ringkasnya, al-Marhum masih berazam memulakan penulisan buku baru pada pagi Jumaat ketika sangat kurang sihat. Untuk itu al-Marhum telah menyiapkan pelan penulisan penuh buku tersebut. Bahkan al-Marhum telah mula menulis 4 muka surat dengan tulisan tangan yang jelas menampakkan keadaan kesihatannya yang sangat merosot. 

Tajuk buku yang dihasratkan untuk diselesaikan penulisannya itu 'Pembongkaran al-Quran Terhadap Bentuk Pemalsuan oleh Golongan Yahudi'.

Selepas isya' pada hari itu, beliau telah kembali ke sisi TuhanNya.


AMAL SOLEH PADA DETIK AKHIR KEHIDUPAN

Ya, pada hari jantungnya akhirnya berhenti berdenyut, beliau masih menulis buku. Masih berjihad menentang Yahudi dan masih membawa pencerahan daripada ayat-ayat al-Quran.

Tentulah peminat kitab-kitab karangan beliau akan menjangkakan ulasan yang mendalam dan menarik pada setiap ayat al-Quran yang akan beliau bawakan dalam buku itu. 

Manakan tidak?! Beliau adalah salah seorang mufassir, ahli Tafsir al-Quran yang seluruh umurnya didedikasikan untuk hidup di bawah naungan al-Quran.


APAKAH YANG AKAN DIBICARAKAN DALAM BUKU TERAKHIR INI?

Tentulah beliau akan memberikan pencerahan setiap ayat yang bakal beliau bahaskan di dalam buku tersebut berpandukan aspek paling halus dalam ilmu Nahu, aspek paling menarik dan menyerlah dalam ilmu Balaghah dan kesimpulan yang memukau kita selaku pembacanya. Seolah-olah kita belum pernah menemui ayat al-Quran yang sedang beliau syarahkan.

Bukan sahaja ayat keseluran yang diperincikan, bahkan setiap kalimah yang ada di dalam ayat itu. Sama ada isim, fi'il atau huruf. Bahkan pada alif lam dan tanwin yang ada. Kadang-kadang dibawakan beberapa wajah qiraat yang membantu menguatkan makna.

Tentulah beliau akan mengulas ayat-ayat tersebut berdasarkan latar belakang sebab penurunan ayat, hadith-hadith mengenai peristiwa yang mengiringi penurunan ayat dan sikap Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda dalam berhadapan dengan setiap peristiwa itu. 

Seterusnya beliau akan sebutkan natijah yang telah berlaku pada masa itu dan natijah yang bakal berlaku pada masa sekarang, jika kita mengikut petunjuk wahyu atau membelakanginya!

Tentu akan diulas serba sedikit beberapa peristiwa penting pertembungan dunia Arab dengan negara haram Yahudi pada kurun terakhir ini. Ya, ulasan berdasarkan pemahaman mendalam terhadap makna wahyu yang bakal beliau perincikan berdasarkan kitab-kitab tafsir yang Muktabar dan kebijaksanaan beliau sebagai seorang sarjana Islam yang berhadapan sendiri dengan kebanyakan peristiwa-peristiwa tersebut.

Makna ayat itu akan menjadi seterang matahari tengahari tanpa lindungan awan yang mencelahinya.

Tetapi takdir Allah SWT mendahului semua jangkaan kita.


KEHIDUPAN AL-MARHUM SEBELUM HARI TERAKHIR  ITU

Tetapi Allah SWT lebih mengasihinya. Sudah lebih separuh abad umurnya yang mencecah 74 tahun itu digunakan untuk berkhidmat kepada al-Quran, tafsir al-Quran, para mufassirin. Berkhidmat kepada perjuangan Islam melalui gerakan Islam dan berkhidmat kepada perjuangan Ummat Islam Palestin dengan harta, ilmu, penulisan dan jiwa raganya. 

Mempertahankan Islam daripada setiap serangan musuh akademiknya sama daripada paderi Kristian, rabai Yahudi, golongan sekular, liberal atau ahli logik semata-mata. Semuanya dengan dalil dan hujjah ilmiah yang sangat kuat, membahaskan setiap hujjah lawannya satu persatu pada tahap kajian akademik yang bermutu tinggi.

Hampir ada kitab yang khusus untuk setiap tajuk di atas oleh al-Marhum. Bayangkanlah betapa luas ilmu beliau dan berapa kuatnya beliau membaca dan mengkaji di sebalik aktiviti harian beliau dalam lapangan dakwah dan kemasyarakatan. 

Luar biasa sungguh.


SYED QUTB DAN FI ZILAL TITIK MULA PERJALANAN AKADEMIK

Walaupun tidak pernah berguru dengan asy-Syahid Syed Qutb secara langsung, tetapi mendedikasikan kajian akademiknya kepada memahami dan mendalami Tafsir Fi Zilal al-Quran tulisan  di peringkat Master dan PhD. Beliau berjaya menyerlahlah kehebatan Tafsir Zilal dan penulisnya sehingga dikagumi oleh lembaga pemeriksa disertasinya.

Aspek yang paling menyerlah dalam Tafsir fi Zilal dan penulisnya, Syed Qutb tentulah berkisar sekitar aspek bahasa dan sastera Arab di dalam al-Quran yang menjadi mukjizat berkekalan yang yang tidak akan mampu diatasi oleh sesiapa. Aspek lainnya pula ialah tumpuan untuk menjadikan al-Quran kembali diamalkan dan berdaulat dalam dunia sebenar Ummat Islam, bukan hanya dijadikan bahan kajian ilmiah tanpa tujuan beramal.

Aspek kedua ini disebut sebagai 'ittijaah Haraki' iaitu fokus meningkatkan kesedaran dan gerakan untuk menjadikan Islam  sebagai cara hidup dalam dunia semasa era kejatuhan kuasa politik Islam dalam dunia moden.

Beliau pun seumpama Syed Qutb berjuang dengan pena berdepan dengan setiap serangan jahiliah moden!


PENUTUP 

Begitulah mendalamnya usia al-Marhum. 

Murid-muridnya di Malaysia pun ramai. Ramai juga yang menulis kisah menarik bersama al-Marhum ketika mereka belajar dan bersahabat dengan al-Marhum ketika di Jordan. 

Saya pula hanya mampu menulis tentang beliau daripada membaca tulisan-tulisan beliau dan mendengar kuliah beliau. Semoga masih dikira seperti 'murid' beliau juga.

Usianya sepertinya yang disebutkan di dalam kitabnya 'al-Khittah al-Barraqah Lizi an-Nafsi at-Tawwaqah' - Lebih kurang maknanya 'Membina Perancangan Menarik Bagi Golongan Yang Berjiwa Besar'.

Saya ringkas kesimpulannya dalam bentuk olahan semula, "Makna Wal-'Asr biasa ditafsirkan dengan makna masa, tetapi secara halusnya, ia juga boleh dilihat dengan makna masdar beerti 'proses memerah'. Dengan menambahkan makna ini dalam memahami surah al-Asr dapat kita  ertikan seseorang manusia itu hanya tidak akan rugi, jika dia sentiasa memerah masanya, iaitu umurnya dengan urusan keimanan dan amal yang soleh."

Itulah Syeikh Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi rahimahulLaah. Memerah seluruh umurnya dengan urusan keimanan dan amalan soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran.

Semoga beliau termasuk dalam golongan as-Siddiqin, para syuhada' dan solehin yang dikumpulkan bersama para anbiyaa' pada hari Kiamat kelak.

Semoga Allah SWT merahmatinya dengan lautan rahmatNya yang luas, tidak bertepi. Semoga Allah SWT mengampunkan segala silap salahnya. Semoga Allah SWT menempatkannya di dalam Syurga Firdaus yang tinggi.


Marang. 31 Januari 2022

Ulasan