19 PPS Di DUN Langkap



Oleh: Siti Aisyah Ghazali 

SETIU - Sebanyak 19 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, menempatkan 881 orang mangsa banjir daripada 264 buah keluarga.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN Langkap, Azmi Maarof berkata, antara PPS yang dibuka setakat semalam adalah termasuk PPS Surau Mak Bakas, SK Sungai Tong, SMK Sungai Tong, Balairaya Kampung Jelapang, Asrama SMK Langkap, Masjid Gong Terap, Balairaya Sungai Lerek, Balairaya Bukit Mak Som, SK Seri Kasar, Balairaya Bukit Nenas dan PPS Surau Tok Nandong.

"air telah melimpah sebelah jalan berhadapan Kawasan Perindustrian Sungai Bari, Setiu iaitu jalan utama Kuala Terengganu - Kota Bharu. Saya mohon agar semua pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut supaya lebih berhati-hati." ujarnya ketika dihubungi.

Menurut beliau, situasi penduduk di Kampung Bukit Nyior, Pelong dan  Wakaf Tengah iaitu jalan menuju ke Kampung Payung dalam keadaan berjaga-jaga berikutan jalan dilintasi air deras dan hujan lebat masih berterusan.


"sehingga kini dan paras air juga semakin menaik, jadi saya harap semua doakan agar cuaca kembali pulih". tambah beliau.

Senentara itu, katanya, hujan lebat bersama angin kencang telah menyebabkan sebatang pokok tumbang menimpa kabel elektrik di jalan Bukit Putera - Telaga Papan.

"jadi saya menasihatkan agar pengguna jalanraya yang melalui jalan tersebut lebih berwaspada,  kejadian tersebut telah pun dimaklumkan kepada pihak TNB untuk tindakan lanjut," kata beliau.

Sebelum ini, dilaporkan,  mangsa-mangsa banjir seramai 27 orang dari sembilan keluarga yang ditempatkan di PPS SK Sungai Tong juga telah menerima serahan kit makanan daripada NADMA.

"mereka juga telah menerima kunjungan daripada Pasukan Perubatan Klinik Seri Langkap yang menjalankan pemeriksaan kesihatan serta Pasukan Kesihatan Daerah Setiu yang melakukan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit." kata Azmi.

Banjir gelombang ketiga Monsun Timur Laut, berpunca daripada hujan lebat berterusan dan mengakibatkan rumah mereka dinaiki air.


Ulasan