Komuniti Peniaga Terminal Bas Kuala Terengganu Resah Dengan Status Bandaraya

Kuala Terengganu, 15 Jan – Hj Mohammad Sabu, Naib Presiden PAS dan Dr Syed Azman Syed Ahmad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, meluangkan masa untuk menziarahi dan mendengar keluhan Komuniti Peniaga dan Pengguna Terminal(Hentian) Bas Kuala Terengganu setelah Kuala Terengganu diisytiharkan sebagai ‘bandaraya’.

Mereka diiringi 30 orang sukarelawan PAS Kuala Terengganu yang mengambil bahagian didalam program merakyat PAS, bertujuan untuk menyampaikan maklumat semasa kepada orang ramai dan memberikan awasan serta kesedaran tentang Pilihanraya Umum ke 12 yang semakin hampir.Sebanyak 300 keping Buletin dan Risalah Bandaraya berjaya di edarkan kepada peniaga dan orang ramai.

Program ziarah yang bermula jam 11 pagi dan berakhir jam 12.30 tengah hari. Ketika melangkah masuk ke Terminal, walaupun waktu sudah jam 11, keadaan Terminal masih lengang dan pelanggan masih kurang. Itulah merupakan keluhan pertama yang dinyatakan kepada Mad Sabu dan Dr. Syed sebaik saha bertemu dengan peniaga wanita yang menjual kain baju. Dr Syed yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, memang dikenali ramai. para peniaga seolah-olah seperti ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ mengambil peluang mengadu hal.

Sebelum ini akhbar media utama melaporkan masalah-masalah yang dihadapi oleh para peniaga kecil dan sederhana di Kuala Terengganu, antaranya adalah kekurangan pelanggan, kekurangan premis niaga yang sesuai dan kerosakkan infrastruktur, khususnya kebocoran atap yang berlaku baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu, Azmin Md Yassin, ketika dihubungi memberitahu Buletinonline, bahawa program ziarah dan penyebaran maklumat dipremis-premis utama di Kuala Terengganu adalah satu kaedah yang praktikal bagi komunikasi dua hala diantara PAS dan rakyat. Banyak maklumat yang diperolehi dari rakyat bawahan yang tidak didedahkan oleh media utama. Umpamanya, isu-isu yang berkaitan dengan Bandaraya Kuala Terengganu.

“Perisytiharan status Bandaraya telah berlalu 15 hari, namun ramai yang masih ‘sinis’ tentang perisytiharan itu” ujar Azmi.

“Pihak yang berkenaan mungkin terlalu gopoh mahu menjadikan Kuala Terengganu sebagai bandaraya sehingga ada yang mengatakan bahawa Kuala Terengganu hanyalah sebuah ‘kaki lima’” Katanya lagi.

Manakala Ketua Penerangan Pemuda PAS Kuala Terengganu, Azrin Aris, menyatakan program Ziarah Rakyat pada hari ini adalah program yang ketiga selepas ziarah Pasaraya Besar dan ziarah Pasar Payang yang diadakan pada 31 Disember lepas. Program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa memandangkan PAS tidak ada TV dan Radio untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.




Ulasan