10 Tindakan Fokus Utama Dr. Azman Ibrahim


Calon PAS bagi N.05 Dun Jabi, Dr. Azman Ibrahim seorang pengamal pergigian swasta dan merupakan tokoh muda yang aktif, diketengahkan untuk menjadi pilihan utama para pengundi di Dun terbabit.

Beliau adalah seorang akrivis media dan alam sekitar yang terlibat dengan penulisan mendedahkan rekod buruk kerajaannegeri Terengganu berhubung polisi alam sekitar.


Biodata


Dr Azman bin Ibrahim adalah anak kepada pasangan petani Ibrahim Saman dan Habidah Mat Nor, kelahiran kampung Bukit Tanah, Besut. Berusia 38 tahun, isteri Nik Yushanida Nik Yusof, memiliki 4 cahayamata berusia 3 hingga 11 tahun.

Beliau Memiliki ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dari University of Baghdad, Iraq. Pernah berkhidmat di beberapa klinik dan hospital kerajaan dengan jawatan terakhir sebagai Pensyarah Pergigian di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia.

Diamanahkan beberapa tanggungjawab dalam parti antaranya, AJK Badan Perhubungan PAS Terengganu, Pengerusi Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar Pas Terengganu, AJK Lujnah Pendidikan PAS Pusat, Pengurus Dana Pendidikan PAS Pusat, Naib Yang Dipertua PAS Setiu, Pengerusi Lujnah Petani, Nelayan dan Peneroka PAS Setiu serta Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi.

Penglibatan beliau dalam NGO adalah sebagai Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu dan Pengerusi Badan Bertindak i-BANTAH sebuah NGO yang ditubuhkan untuk menangani isu Projek Ternakan Udang i-SHARP, Setiu.

Aktiviti Kempen

Aktiviti  sepanjang tempoh kempen PRU 13 ini adalah penerusan dari kerja-kerja yang telah berlangsung sejak lebih kurang 5 tahun yang lepas. Dengan makna lain, setelah tidak berjaya mencapai kemenangan dalam PRU12, penerusan aktiviti bersama rakyat tidak pernah dinokhtahkan. Aktiviti rutin seperti kuliah di masjid dan surau, menyampaikan khutbah jumaat, menangani isu-isu serta perkara berbangkit dalam masyarakat, program-program kebajikan, cakna dan menyantuni rakyat tanpa mengira usia dan latar belakang sudah sebati dengan hidup saya sejak diamanahkan parti menjadi calon dalam PRU12 lagi.

Dengan latar belakang sebagai anak kampung yang lahir dan membesar di sini, melangkah dewasa sebagai seorang anak tani, bergelumang dengan selut dan lumpur. Kehidupan masyarakat Jabi adalah juga sebahagian kehidupan beliau.

Kerana itulah jadual harian berulang-alik dari Kota Bharu ke Jabi adalah lumrah setiap kali mempunyai urusan bersama parti dan masyarakat sejak sekian lama. Beliau  bersyukur, tiada sebarang kejutan luar biasa yang terpaksa dilalui menjelang kempen PRU13 membuka tirai. Ianya adalah penerusan aktiviti yang telah berjalan sekian lama secara 'natural dan humble'.

Strategi kempen pasukan beliau adalah untuk tampil bersama masyarakat sehingga ke peringkat yang paling bawah, masuk ke bendang dan kebun getah, bersila di serambi-serambi rumah rakyat Jabi, mengunjungi rakyat di tempat-tempat awam, mengimamkan sembahyang di masjid dan surau, menyampaikan kuliah dan khutbah, menghadiri program-program bersama muslimat dan wanita.

Beliau menziarahi warga yang uzur dengan sumbangan kebajikan seadanya, melawat markas-markas pilihanraya dun yang keseluruhannya berjumlah lebih 40 markas di segenap pelusuk dun Jabi untuk bertemu dengan jentera parti, markas-markas BN juga turut saya kunjungi dengan isyarat kita tidak pernah bersengketa secara peribadi tapi saya adalah calon yang diamanahkan membawa dasar parti dan membentangkan kepada rakyat manifesto parti, menghadiri mesyuarat dan pertemuan-pertemuan semuanya dengan matlamat supaya mesej parti yang mengamanahkan kepada saya tanggungjawab sebagai calon dilaksanakan sebaiknya. Rutin harian bermula seawal jam 5 pagi dan berakhir sekitar jam 3 pagi. Waktu tidur hanyalah sekitar 2 jam sehari.

Perjalanan kempen diwaktu siang hanya motosikal yang menjadi kenderaan. Amat jarang beliau berkereta. Isyarat yang ingin dijelmakan, adalah sebahagian dari masyarakat luar bandar di Dun Jabi. Tak kira samada mereka petani, pekebun getah, peniaga, muda-mudi dan remaja, peniaga serta kakitangan kerajaan, saya menawarkan diri menjadi khadam untuk berkhidmat kepada mereka. Kempen yang bersifat 'low profile', merendah diri, mesra dengan setiap golongan bukanlah lakonan yang dibuat-buat. Tapi itulah karakter sebenar calon N05 Jabi.

Alhamdulillah, 'post mortem' sepanjang kempen 9 hari lepas, rakyat Jabi tak menganggap beliau sebagai orang asing bagi mereka. Rombongan kempen kami diterima baik dan disambut mesra. Sejujurnya tidak pernah keluar walau sepatah perkataan saya yang menyentuh umno sepanjang tempoh kempen. Kerosakkan angkara Umno telah sedia dimaklumi rakyat, tinggal lagi adalah untuk meyakinkan  mereka bahawa pas yang mengamanahkan kepada saya untuk menjadi calon bagi mewakili rakyat Jabi di Dewan Undangan Negeri adalah alternatif terbaik dengan izin Allah.

Agenda rakyat

Sekiranya rakyat Jabi memilih PAS dan beliau mewakili mereka, beberapa agenda bertindak akan menjadi fokus utama.

1.    Merangka pelan pembangunan seimbang rohani dan jasmani untuk rakyat Jabi.

2.    Menyelesaikan isu-isu berbangkit terutamanya soal hak milik tanah dan penerokaan tanah kerajaan.

3.    Pemulihan semula tanah-tanah sawah terbiar ekoran masalah pengairan antaranya dilokasi sekitar Kampung Baru Tok dor supaya boleh dimanfaatkan untuk aktiviti ekonomi.

4.    Memulihkan fungsi masjid-masjid di seluruh Jabi selaras dengan peranannya di dalam masyarakat sebagai pusat ibadat, ilmu dan kemasyarakatan.

5.    Masalah kemiskinan tegar masih menjadi antara rintihan masyarakat di sini. Mereka telah dan akan disantuni dengan penuh kasih sayang. Apatah lagi Terengganu adalah negeri yang mengemukakan bajet tahunan melebihi RM2b. Memperbaiki kelemahan agihan sumber kekayaan negeri agar ianya dinikmati oleh adalah tanggungjawab besar yang menunggu.

6.    Pemulihan kemudahan asas  seperti padang bola yang terbiar. Di beberapa lokasi, kemudahan padang bola tempat riadhah anak-anak muda telah ditukar menjadi kawasan perumahan. Ianya perlu diganti.

7.    Sebenarnya masih ada kampung-kampung di Jabi yang boleh dimasuki hanya dengan melalui jalan becak seperti Kampung Jebak Puyoh, Kerandang. Perbezaan fahaman politik menyebabkan mereka dipinggirkan. Agenda saya adalah adalah untuk menjadi wakil rakyat yang berkhidmat untuk semua samada yang mengundi saya ataupun tidak. Agihan peruntukan pembangunan mesti mengikut keperluan bukan ikut suka wakil rakyat.

8.    Anak-anak muda adalah aset hari ini dan masa depan untuk keluarga, masyarakat, negeri dan negara. Mereka mempunyai kedudukan terhormat di mata kami. Sebagai calon muda, saya menyelami dan cukup memahami gaya pemikiran, kehidupan, minat dan hobi mereka. Anggaplah saya sebagai saudara dan sahabat untuk kita bersama menelusuri arus perubahan yang dipimpin Pas bersama Pakatan Rakyat.

9.    Warga tua dan dewasa, anggaplah saya sebagai anak atau adik yang menawarkan diri untuk berkhidmat, sedia ditunjuk ajar dan dibimbing demi memastikan khidmat terbaik untuk warga Jabi.

10.    Agenda terbesar adalah untuk bersama rakyat Jabi mencorakkan bumi Jabi menjadi ‘Bumi yang baik dan berkat serta mendapat keampunan Allah.’

Seruan Kepada Rakyat Jabi

Beliau menerima amanah yang dipertanggungjawabkan oleh parti untuk menjadi khadam yang berkhidmat kepada rakyat Jabi. Amanah ini mampu dilaksanakan dengan izin dan pertolongan Allah serta sokongan para pengundi sekelian. Marilah rakyat Jabi sekelian, kita bersama mengambil kesempatan berharga ini untuk membuat perubahan bersama saya dan Pakatan Rakyat.

Allah yang akan membalas segala kebaikan yang kita lakukan.

Ulasan