Siasatan Gisbh: Hukum Pihak Bersalah, Hindari Ketidakadilan


 PAS mengikuti rapat perkembangan siasatan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) berkait beberapa isu, termasuk fahaman salah dan eksploitasi kanak-kanak, yang antaranya melibatkan polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); dan pihak berkuasa agama negeri-negeri.


Berdasarkan laporan, siasatan polis dibuat mengikut beberapa akta, termasuk Akta Kanak-Kanak 2001; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007; Kanun Keseksaan; dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dengan sejumlah 33 kertas siasatan difahamkan telah dibuka bagi Fasa 1 dan 2.


Sumber Polis juga melaporkan bahawa siasatan polis yang memasuki Fasa 4 di seluruh Semenanjung Malaysia semalam melibatkan serbuan di 82 premis lagi yang dikaitkan dengan GISBH dan hampir 200 mangsa dilaporkan diselamatkan manakala 155 suspek ditahan.


Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata, isu berkaitan doktrin dan fahaman kumpulan berkenaan akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang akan bersidang Selasa hingga Khamis depan.


PAS mengalu-alukan siasatan yang telus, terperinci dan profesional ke atas pelbagai dakwaan terhadap GISBH mengikut undang-undang yang sesuai, sama ada melibatkan aspek kepercayaan dan pegangan keagamaan, mahupun isu-isu lain seperti amalan perniagaan, salah laku seksual, penganiayaan, perbuatan jenayah dan sebagainya.


Namun begitu, berdasarkan kempen dan naratif negatif berkait kumpulan ini yang banyak tersiar di media sosial khasnya, yang mahu tindakan segera dan tegas diambil, PAS menggesa semua langkah diambil mestilah dibuat secara cermat dan teliti bagi memastikan tidak berlakunya pengabaian hak, ketidakadilan, dwistandard atau tindakan yang berlebihan-lebihan.


PAS juga menyokong penuh tindakan tegas diambil ke atas pihak-pihak yang didapati bersalah, tetapi keghairahan untuk menghukum mereka tidak seharusnya memberi kesan buruk ke atas kumpulan itu secara keseluruhan, terutama sekali ahli- ahlinya yang tidak bersalah atau aspek-aspek aktiviti GISBH yang sah, patuh undang-undang dan bermanfaat.


Dalam hal ini, PAS percaya sisi-sisi positif kumpulan ini, termasuk jaringan perniagaannya yang luas, hendaklah dipelihara dan dilindungi daripada tindakan terburu-buru dan tidak adil yang mungkin berpunca daripada sentimen melulu, prasangka, persaingan perniagaan atau agenda politik tertentu pihak-pihak yang mahu menangguk di air keruh.


Terima kasih.


TAKIYUDDIN HASSAN

Setiausaha Agung PAS Bertarikh: 22 September 2024.


Ulasan