Perdana V6 Executive VS Mercedes E200 Kompressor

Idris Jusoh ‘Juara’ - Senggara kereta tertinggi, lebih suku juta

Bekas Menteri Besar Terengganu sekali lagi ‘Memahat Sejarah Mencipta Tamadun’ kerana di anugerahkan sebagai juara, walaupun kini hanya menjadi wakil rakyat biasa.

Setelah lebih 3 bulan dipecat sebagai Menteri Besar, kerana tidak diperkenan oleh istana Terengganu, nama Idris masih menjadi sebutan.

Yang terbaru, beliau telah memenangi anugerah kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive paling mahal dalam sejarah Terengganu, sekaligus Malaysia dan mungkin tertinggi didunia.

Setelah merampas Terengganu dari PAS pada tahun 2004, nampaknya benar sebagaimana tohmahan ramai, Idris dan gengnya betul-betul ‘menggasak’ pitih rakyat Terengganu.

Dari segi penggunaan wang dana khas a.k.a. pitih royalti, tiada seorang pun yang boleh menandingi, bagaimana Idris ‘memboroskan’ dan membereskan berbilion ringgit wang rakyat hanya dalam masa empat tahun.

Membangunkan ‘Monsun Cup’ dan segala kemudahan acaranya di Pulau Duyong serta membina Taman Tamadun Islam Hadhari di Pulau Wan Man, mengotakan janjinya mengadakan pembangunan sebagai ‘sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini’.

Allah yang maha kaya, menunjukkan segala-galanya kepada seluruh rakyat Terengganu, supaya merenung sejenak dan berfikir!

Dilaporkan oleh media perdana, semakan yang dibuat ke atas perbelanjaan penyenggaraan kereta-kereta para eksekutif, sepanjang 2004 sehingga 2008 menunjukkan kenderaan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh mencatatkan perbelanjaan tertinggi iaitu sebanyak RM235,123.08.

Sementara itu, kenderaan dengan nombor pendaftaran TAG 6996 yang digunakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw, mencatatkan perbelanjaan kedua tertinggi sebanyak RM175,229.79. sepanjang tempoh itu.

Dalam tempoh empat tahun itu juga, kenderaan jabatan yang digunakan oleh Pengerusi Biro Pertanian, Datuk Mohd. Jidin Shafie mencatatkan kos penyenggaraan ketiga tertinggi iaitu pada kadar RM95,178.15. Kenderaan bernombor pendaftaran TT 7 itu telah dibeli oleh Mohd. Jidin.

Kenderaan yang digunakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan nombor pendaftaran TAG 8228 (TAK 415) pula mencatatkan kos selenggara keempat tertinggi sepanjang tempoh empat tahun tersebut iaitu sebanyak RM92,995.18.

Dalam pada itu, kos menyenggara Proton Perdana V6 Executive paling rendah sepanjang tempoh itu ialah yang digunakan oleh Datuk Wan Hisham Wan Salleh iaitu sebanyak RM15,069.32.

Seperti Mohd. Jidin, Wan Hisham juga telah membeli kenderaan bernombor pendaftaran TT 6 berkenaan


'Tak masuk akal'


Akhbar media perdana mengulas lagi bahawa kos menyenggara kereta Proton Perdana V6 Executive, kenderaan rasmi kerajaan negeri Terengganu yang mencecah lebih RM175,000 sebuah atau 25 kali ganda daripada kos sebenar bagi tempoh selama empat tahun disifatkan tidak masuk akal.

Ekoran dari hebatnya tindakan Idris dan Gengnya sehinggakan Proton Holdings Bhd. (Proton) terpaksa menubuhkan sebuah jawatan kuasa khas untuk membuat penyiasatan dalaman.

Sudah tentu, hasil siasatan mungkin menakutkan, kerana ia tidak menolak kemungkinan berlaku penyelewengan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja mengenakan harga lebih tinggi untuk mengaut untung semasa penyenggaraan kenderaan kerajaan negeri itu.

Harga yang dikenakan dipercayai 20 hingga 30 peratus lebih tinggi daripada harga sebenar.

Menurut sumber industri, kos menyenggara kereta Perdana V6 mungkin tidak akan menjadi isu sekiranya kerajaan negeri Terengganu melakukan servis di pusat servis Proton Edar.

Di Terengganu, terdapat sebuah pusat servis Proton Edar dan empat wakil servis.

''Ini kerana, di pusat servis berkenaan, para pengguna tidak akan tertipu kerana harga bagi setiap alat ganti dan kos menyenggara telah diselaraskan di seluruh negara,'' kata beliau.

Sekiranya kerajaan Terengganu menghantar kereta Perdana V6 ke pusat servis Proton, pasti kejadian penyelewengan harga bagi alat ganti dan kos penyenggaraan juga tidak akan berlaku.

Menurut sumber Proton, berdasarkan jadual penyenggaraan kereta Perdana V6, kos bagi perjalanan berdasarkan kilometer (km) dari 1,000 km hingga 100,000 km yang biasanya mengambil tempoh antara tiga hingga empat tahun ialah RM7,032.54.

Bagi kos membaiki atau menggantikan kotak gear pula adalah di antara RM3,000 hingga RM10,000, bergantung kepada bentuk kerosakan yang berlaku.

''Sebenarnya, kos menyenggara kereta Perdana V6 tidak semahal yang didakwa oleh kerajaan negeri itu, sebab itu kos yang dinyatakan seolah-olah tidak masuk akal.

''Kos senggara model ini (Perdana V6) tidak pernah menjadi isu di kalangan pengguna lain dan inilah pertama kali dakwaan seperti itu dibuat,'' katanya.

Sumber Proton menambah lagi, sebenarnya setiap pembeli kereta Perdana V6 akan mendapat jaminan untuk kotak gear dalam tempoh dua tahun sekiranya berlaku kerosakan.

Malah, selepas penggantian dibuat pada kotak gear, pengguna masih diberi jaminan selama setengah tahun atau bagi perjalanan sehingga 10,000 kilometer.

Mengulas mengenai isu kerosakan kotak gear yang didakwa kerap berlaku, sumber itu berkata, perkara itu sukar diulas kerana ia banyak bergantung kepada cara pemanduan.

''Sekiranya kereta berkenaan digunakan dengan cara yang betul, mustahil ia mudah rosak dan begitulah sebaliknya,'' katanya lagi.

Ahmad sedia jual 14 Mercedes, Tunggu Surat Kabinet

Kerajaan Terengganu bersedia menjual 14 kereta Mercedes-Benz E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta yang baru dibelinya, jika kerajaan pusat mengarahkan mereka menggunakan semula kenderaan jenis Perdana V6 Eksekutif.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Said, berkata kepada Berita Harian Online, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian jika ada arahan seumpama itu daripada Kabinet yang bermesyuarat semalam, walaupun kemungkinan besar mereka terpaksa menanggung kerugian berikutan susut nilai.

“Kalau mereka tak beri kita pakai, kita boleh jual kepada sesiapa yang berminat dan saya pasti ramai yang akan berebut membelinya kerana harganya yang murah.

“Cuma jika langkah itu dibuat, selepas ini mungkin Kerajaan Pusat kena tanggung kos penyelenggaraan Perdana V6 Eksekutif yang sebelum ini ditanggung kerajaan negeri,” katanya selepas mesyuarat Exco, di sini, semalam

Dlam perkembangan yang sama, Utusan melaporkan Kerajaan negeri Terengganu akan menunggu surat rasmi daripada Kabinet berhubung arahan tidak membenarkan penggunaan Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi Exco sebelum langkah selanjutnya diambil berhubung perkara itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri bersedia menggunakan semula Proton Perdana V6 Executive sedia ada seperti yang diarahkan, namun ia hanya akan dilakukan selepas mendapat arahan bertulis daripada Kabinet.

Malah jelasnya, Terengganu turut bersedia menjual semula kesemua 14 buah kereta Mercedes berkenaan yang mula digunakan sejak awal minggu lalu, namun kerajaan Pusat harus menanggung kerugian sekiranya kerajaan negeri terus menggunakan Proton Perdana V6 Executive.

''Kalau suruh jual kita akan jual tetapi buat masa ini kita masih tidak tahu apa yang akan dilakukan dengan kenderaan tersebut.

''Jika kerajaan Pusat sanggup bayar (servis) kita boleh lakukan (guna Perdana V6), kerajaan negeri sudah tidak sanggup menanggung kerugian lagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Kabinet tidak membenarkan Terengganu menggunakan Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi.

Sumber memberitahu, apabila isu kenderaan rasmi itu ditimbulkan dalam mesyuarat hari ini, Kabinet mahu Terengganu mengutamakan Proton Perdana V6 sedia ada.

Menurut Ahmad, beliau tidak pernah dipanggil untuk membuat penjelasan sebelum Kabinet membuat keputusan tidak membenarkan penggunaan Mercedes berkenaan sebagai kenderaan rasmi.

Jelasnya, beliau sedia membuat penjelasan jika diminta oleh Kabinet, bagaimanapun perkara itu tidak berlaku.

Katanya, beliau tidak tertekan dengan isu itu dan tetap mempertahankan tindakan kerajaan negeri membeli Mercedes berkenaan atas alasan kepentingan rakyat.

Selain itu jelasnya, ia tidak melanggar Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) yang mensyaratkan hanya kenderaan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD) sahaja digunakan sebagai kenderaan rasmi.

Kerajaan Terengganu Tetap Perlu Beli Kereta Nasional - Shahrir

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata kerajaan Terengganu tetap perlu membeli kereta nasional, bukannya Mercedes Benz yang dipasang dalam negara untuk anggota pentadbirannya Beliau berkata kerajaan Terengganu tersilap tafsir maksud kenderaan yang dipasang dalam negara mengikut Arahan Penbendaharaan kerana ia tidak membabitkan kereta tetapi kenderaan lain termasuk jip dan pacuan empat roda.

”Kadang kala ada keperluan kenderaan seperti pacuan empat roda untuk jabatan kerajaan.

"Jabatan kerajaan juga ada guna jip, jika nak beli jip bukan yang diimport tetapi yang dipasang di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said bahawa kerajaan negeri akan menggunakan Mercedes Benz sebagai kereta rasmi menggantikan Perdana V6 Eksekutif kerana ia tidak melanggar Pekeliling Perbendaharaan yang berkaitan.


Shahrir berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan perbincangan berasaskan kepada Arahan Perbendaharaan itu.

”Memang dari segi kerajaan adanya Arahan Perbendaharaan yang membolehkan membeli kenderaan yang dipasang dalam negara tetapi bagi anggota pentadbiran, ia khusus kepada kenderaan Proton Perdana Eksekutif. Mungkin itu yang jadi salah faham.

”Mereka mungkin tak baca untuk anggota pentadbiran, maknanya menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, setiausaha politik dan juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) yang perlu pakai Proton Perdana, bukan terbuka kepada kenderaan yang dipasang di dalam negara,” katanya.

Shahrir berkata tiada keputusan baru dibuat berhubung perkara itu.

Petang tadi Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said menggesa kerajaan pusat menarik balik pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) sekiranya langkah kerajaan Terengganu menggantikan Proton Perdana melanggar kandungan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II).

Pekeliling itu mensyaratkan penggunaan kenderaan rasmi kerajaan mestilah hanya kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD).

Beliau berkata penggunaan Mercedes E200 Kompressor memenuhi syarat berkenaan kerana model CKD itu dipasang di kilang di Pekan, Pahang.

Kerajaan Terengganu baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta mewah tersebut dengan kos RM3.43 juta sebagai menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.

Kerajaan Terengganu akan terus menggunakan kenderaan Mercedes sebagai kereta rasmi menggantikan Perdana V6 Executive sekiranya kerajaan pusat tidak menarik balik pekeliling itu

Persoalan Pembelian Mercedes RM 3.43 juta berlarutan, Buletin Online telah membuat liputan khas semalam dalam tajuk tersebut.

Pelbagai respon, pendapat dan pandang yang dikutip dari pelbagai sumber telah menjadikan pembelian Mercedes oleh kerajaan Terengganu kini menjadi satu lagi ‘krisis’ antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Terengganu
!

Kos Senggaraan RM175,229.97 - Tidak Tuntut Jaminan, BPR Siasat

Pengeluar kereta nasional, PROTON, berkata kos penyelenggaraan dan keberkesanan model Perdana V6 adalah munasabah dan sederhana berdasarkan kepada rekod-rekodnya.

Walaupun kos bagi menggantikan kotak gear mungkin agak mahal, kemungkinan yang berlaku itu boleh dielakkan dengan menghantar kenderaan itu untuk pemeriksaan berjadual dan teratur di pusat-pusat khidmat yang diiktiraf dan dipasang dengan alat ganti tulen, kata PROTON dalam satu kenyataan hari ini.

"Setiap pemeriksaan berjadual ditambah dengan penapis minyak, kebiasaannya akan menelan kos sekitar RM200, tidak termasuk alat ganti yang lain, kata kenyataan itu.

PROTON berkata pada umumnya prestasi kenderaan akan mencapai jangkaan yang diharapkan dan kurang dilanda masalah jika dijaga dengan sempurna dan dikendalikan dengan tabiat pemanduan yang baik.

Bagi Perdana V6, katanya, kekerapan penyelenggaraannya disyorkan bagi jarak di antara 5,000km atau selepas tiga bulan penggunaannya, mengikut mana yang dahulu, sebagaimana laporan Bernama semalam.

"Dengan merujuk kepada salah sebuah kereta yang dibeli kerajaan negeri Terengganu pada Mei 2004, dengan dakwaan terpaksa berbelanja lebih daripada RM100,000 untuk penyelengaraan dan membaikpulih, rekod kita menunjukkan setakat ini tiada tuntutan jaminan dibuat oleh mereka sejak Oktober 2004 bagi kenderaan terbabit, kata kenyataan itu.

PROTON berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menghubungi kerajaan negeri Terengganu bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung rekod penyelenggaraan bagi kenderaan terbabit dalam usaha PROTON menyediakan khidmat bantuan sewajarnya.

Semalam, kerajaan Terengganu dilaporkan bersedia untuk mengemukakan bukti terperinci berhubung dakwaan mengenai kos penyelenggaraan dan membaikbulih yang tinggi bagi Proton Perdana V6 Executive yang digunakan sebagai kereta rasmi untuk menunjukkan kewajaran pembelian kereta Mercedez Benz.

Kerajaan negeri telah membeli 14 kereta Mercedez E200 Kompressor yang berharga RM3.43 juta bagi menggantikan kereta Perdana V6 Executive untuk kegunaan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai kanan kerajaan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri Terengganu terpaksa membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu kerana kereta nasional itu mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Persoalan pertukaran kereta kerajaan negeri Terengganu dan pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor sudah menjadi isu yang berlarutan sehingga Pejabat Menteri Besar Terengganu terpaksa mengeluarkan kenyataan membela diri.

Setiausaha Pejabat Menteri Besar Terengganu terpaksa mengeluarkan kenyataan membela diri, kelmarin
.

Dalam kenyataan tersebut mengatakan Kerajaan Terengganu terpaksa menyediakan bukti terperinci kos perkhidmatan dan kerosakan kereta apabila isu pembelian sebanyak RM3.43 juta wang rakyat telah diadili oleh media.

"Misalnya, kos penyelenggaraan dua kereta tersebut mencecah RM175,229.97 yang tertinggi dan RM132,357.76 dari 2004 sehingga hari ini," menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan yang sama,

Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini memulakan siasatan untuk mengesan kemungkinan berlaku penyelewengan dalam kos senggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu yang mencecah RM175,229.97 sebuah sepanjang empat tahun lalu.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull berkata, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menyiasat kes itu kerana jumlah bayaran menyenggara kenderaan tersebut terlalu besar.

“Kita sudah hantar pegawai untuk siasat kes ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Semalam, pejabat Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan negeri itu terpaksa membayar kos yang tinggi untuk menyenggara kereta model itu sejak 2004 hingga sekarang.

Kos senggaraan yang tinggi itu dijadikan alasan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said bagi meluluskan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor untuk kegunaan Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan negeri Terengganu.

Ditanya adakah siasatan BPR itu akan menjurus kepada peringkat pengeluaran invois dari bengkel dan mengenal pasti pekerja yang bertanggungjawab menghantar kenderaan-kenderaan itu untuk diservis, Shukri enggan mendedahkan cara dan bentuk siasatan BPR.

“Biar kita siasat dahulu, selepas itu baru kita tahu ada penyelewengan atau tidak,” ujarnya.

Shukri menambah, jika terdapat unsur-unsur penyelewengan, agensi itu akan menjalankan siasatan menyeluruh.

Dalam satu senarai kos senggaraan yang dikeluarkan petang ini, kereta Perdana V6 Executive yang pernah digunakan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh mencatatkan kos tertinggi senggaraan.

Dalam tempoh empat tahun antara 2004 dan 2008, kereta Idris disenggarakan dengan kos RM235,123.08.

Sementara itu, di Putrajaya, seorang lagi pegawai kanan BPR menyifatkan ‘ada sesuatu yang tidak kena’ dengan kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive kerajaan Terengganu itu.

Timbalan Ketua Pengarah (1) BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, BPR boleh menyiasat kes itu walaupun ia hanya tersiar dalam akhbar.

“BPR tetap akan siasat... ada sesuatu yang tak kena,” katanya

Mercedes E200 : Jangan Bermewah Ketika Rakyat Susah - Mampat.

Isu pembelian kereta Mercedes E200 telah dilontarkan kepada MAMPAT. Perbagai persoalan dilontarkan kepada MAMPAT dan diminta untuk dijawab. Berikut adalah komen dari MAMPAT berkaitan isu berkenaan.

MAMPAT berpendapat tidak salah Kerajaan Negeri hendak membeli kereta Mercedes baru sekiranya pembelian tersebut mampu menjimatkan kos penyelenggaraan dan bertujuan perjalanan jauh. Walaubagaimana pun terdapat beberapa persolan yang perlu dijawab oleh Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Ahmad Said iaitu;

1. Masa pembelian. Sesuai ke pembelian tersebut dibuat, sedangkan rakyat negeri pimpinan Dato’ berada di dalam kesusahan dan keperitan akibat daripada kenaikan harga petrol & harga barang. Untuk makluman Dato’, di negeri Terengganu kita sekarang, MAMPAT kembali dapat melihat rakyat susah kini membeli beras ikut ‘kilo’ dan bukan ikut supit. Dato’ sepatutnya menolong dan membantu rakyat miskin berbanding dengan membeli Mercedes baru.

2. Penjimatan ?. Buktikan kepada rakyat dengan membeli Mercedes E200, Kerajaan negeri berjaya membuat penjimatan, berapa ribu yang boleh dijimatkan ? Semua orang boleh memberi alas an sedemikian untuk mempertahankan hujah dan alas an mereka tetapi sejauh mana alas an tersebut benar, perlu Dato’ buktikan. Walaubagaimana pun, persoalan yang timbul, “ ganas sangat ke Exco Toh Chin Hua ?” kerana dalam tempoh 2 tahun kereta Perdana V6 beliau terpaksa di baiki sehingga menelan kos RM 50 000. Rakyat hendak tahu apa yang dibaiki sehingga menelan belanja sebanyak RM 50 000. menunjukkan pembaikan yang dibuat seolah-olah berlakunya kerosakan ‘major’. Soalan rakyat kepada Dato’ “ terok/haprak sangat ke hasil produk buatan Malaysia ?. Dato’ sendiri seolah-olah mengiktiraf bahawa barangan buatan Malaysia adalah barangan yang “hampas” dan tak layak untuk masuk kepasaran.

3. Rakyat sangat Terengganu khususnya sangat berbangga kerana hanya Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan Dato’ sahaja yang menyahut seruan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib untuk mengubah gaya hidup untuk menghadapi zaman kenaikan harga barang. Namun rakyat tertanya-tanya kenapa Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan Dato’ mengubah gaya kepada berlawanan daripada cadangan TPM iaitu daripada berpada-pada kepada bermewah-mewah. Betul, mungkin pembelian tersebut suatu keperluan…. Tapi pernahkah Dato’ terfikir di antara keperluan membeli kereta yang dah ada (perdana V6) kepada baru ( Mercedes E200) berbanding keperluan rakyat untuk membeli sekilogram beras yang berharga RM 30 bagi sekapit, apatah lagi beras hancur 15 % sangat terhad di pasaran Terengganu.

4. MAMPAT sangat-sangat berharap agar Dato’ melaksanakan belanjawan berhemah. MAMPAT juga sangat berduka cita dengan sikap pembaziran yang dilakukan Kerajaan Dato’ terutama semasa merasmikan majlis-majlis keraian Kerajaan Negeri dengan tembakan bunga api. MAMPAT difahamkan bagi suatu upacara tembakan bunga api, kira-kira RM 500 K wang rakyat dibakar dan dibazirkan. Ditambah pula dengan isu pembelian kereta Mercedes E200 pula. Cuba Dato’ kira sepanjang Dato menjadi Menteri Besar Terengganu, berapa banyak duit rakyat yang dibakar dengan melalui bunga api, janganlah pula Dato menghabiskan pula duit rakyat melalui pembelian Mercedes ini pula.

Walaubagaimanapun MAMPAT mengucapkan tahniah kepada Dato’ kerana telah banyak melaksanakan program-program bersama rakyat. MAMPAT berharap Dato’ tidak mengambil langkah yang salah seperti yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar yang lalu. Segala gerak geri Dato’ sentiasa diperhatikan oleh Tuanku Sultan Mizan, Sultan kita. Tuanku sangat berharap Dato’ mampu melaksanakan amanah sebagai Menteri Besar yang terbaik. Sekian terima kasih.

Persoalan Pembelian Mercedes RM 3.43 juta berlarutan, Exco bincang mesyuarat hari ini

Persoalan pertukaran kereta kerajaan negeri Terengganu dan pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor sudah berlarutan selama tiga hari

sehingga Pejabat Menteri Besar Terengganu terpaksa mengeluarkan kenyataan membela diri.

Setiausaha Pejabat Menteri Besar Terengganu terpaksa mengeluarkan kenyataan membela diri, semalam
.

Dalam kenyataan tersebut menegaskan kerajaan negeri tidak mampu membiayai lagi kos selenggaraan kenderaan berkenaan kerana sejak mula digunakan empat tahun lepas, ia telah melibatkan perbelanjaan yang tinggi bagi tujuan tersebut.

Kerajaan Terengganu juga terpaksa menyediakan bukti terperinci kos perkhidmatan dan kerosakan kereta apabila isu pembelian sebanyak RM3.43 juta wang rakyat telah diadili oleh media.

"Misalnya, kos penyelenggaraan dua kereta tersebut mencecah RM175,229.97 yang tertinggi dan RM132,357.76 dari 2004 sehingga hari ini," menurut kenyataan itu yang dihantar kepada Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri Terengganu terpaksa membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu kerana kereta nasional itu mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa langkah kerajaan negeri membeli 14 kereta Mercedes itu juga adalah setelah mengambil pertimbangan tentang kenaikan harga bahan api dan nilai terpakai yang tinggi untuk kereta berkenaan.

"Daripada segi ciri-ciri keselamatan, kerajaan negeri berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor. Ini adalah penting kerana pegawai-pegawai yang menggunakan kereta ini merupakan eksekutif tertinggi dalam kerajaan dan keselamatan mereka adalah keutamaan," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menjelaskan bahawa pembelian 14 buah kereta Mercedes bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri itu adalah telus dan wajar.

Pembelian kereta untuk kegunaan pegawai tinggi kerajaan adalah telus dan tidak sekali-kali menggunakan wang royalti minyak.

Pembelian ini juga selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) yang mensyaratkan semua kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD) sahaja.

"Kereta Mercedes E200 Kompressor ini mematuhi syarat tersebut kerana ia dipasang di Pekan, Pahang sebagai produk CKD.

Kewajaran pembelian kereta ini juga berdasarkan kelasakan kereta model ini dan kos penyelenggaraannya yang rendah," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga menjelaskan bahawa Menteri Besar masih menggunakan kereta kerajaan negeri yang lama bernombor pendaftaran TAR 567 yang berusia 18 tahun dan bukan yang baru seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan.

Kenyataan Ahmad semalam bukan sahaja mendapat respon dari kerajaan persekutuan malah dilihat sebagai ‘menghina dan merendah-rendahkan’ kereta nasional.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kabinet akan membincangkan kewajaran pembelian 14 kereta Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi baru anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu.

"Dasar kita selama ini semua kementerian kerajaan pusat dan kerajaan negeri dikehendaki menggunakan kereta nasional," katanya ketika diminta mengulas pembelian kenderaan itu oleh kerajaan negeri Terengganu bagi menggantikan penggunaan Proton Perdana V6 Executive bertujuan menjimatkan perbelanjaan tahunan.

Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Peda) membidas kerajaan Terengganu berikutan dakwaan bahawa kotak gear automatik model Perdana V6 Executive mudah rosak. Presidennya, Wan Ahmad Wan Abdul Rahman berkata, ini kerana kerosakan sesebuah kereta berpunca daripada cara penggunaan dan bukan disebabkan jenis sesebuah kenderaan

Rakyat Terengganu dikatakan terkejut dengan keputusan kerajaan membeli Mercedes itu. Tinjauan akhbar perdana rata-rata mendapati rakyat tidak setuju dengan pembelian kereta mewah itu.

Sementara itu,
isu pembelian 14 E200 Kompressor Mercedes akan menjadi agenda utama mesyuarat Exco Terengganu di Kuala Lumpur hari ini.

Difahamkan, pimpinan kerajaan negeri dijangka akan bertemu dengan pimpinan kerajaan persekutuan untuk menjelaskan isu tersebut selepas bermesyuarat di Kuala Lumpur, ekoran respon Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak yang menyatakan akan membawa isu tersebut dalam perbincangan cabinet kerana melanggar dasar kereta nasional.

Kemaskini 9.00am

Kelab V-Sixers
Pertahan Perdana


Dalam perkembangan lain, Kelab Pemilik Proton Perdana V6 (V-Sixers) mempertahankan Proton Perdana mengatakan kereta tersebut adalah baik.

Setiausaha V-Sixers Mohd Yazmeen Md Yusof berkata beliau kesal dengan apa yang diperkatakan oleh Menteri Besar Terengganu tentang kereta itu.

”Sekiranya mereka rasa ia susah untuk disenggara, bagaimana pemilik persendirian boleh terus menggunakannnya? Macaman ada Kelab yang ditubuhkan sekiranya Proton Perdana seburuk itu?

Mohd Yazmeen berkata kekerapan kereta tersebut dihantar untuk pembaikian kerosakan utama adalah bergantung kepada cara penggunaannya.

”Perdana saya yang berumur 8 tahun masih menggunakan kotak ‘gear’ yang asal dan batuannya sudah 200,000 km, tak perlu menukar apa-apa sekiranya disenggarakan dengan baik,”tambahnya

Beliau berkata masalah kotak ‘gear’ yang menjadi panas Proton Perdana keluaran selepas 2006 telah diperbaiki oleh Proton.

Presiden V-Sixers Alex Yu berkata Perdana adalah kereta yang berpatutan, tidak akan mendatangkan masalah sekiranya dipandu sewajarnya.

“Kami telah melakukan kaji selidik, sekitar 70% ahli kami tidak ada masalah dengan kotak ‘gear’ walaupun mereka telah miliki kereta antara 5 hingga 7 tahun,” kata Alex.

Beliau menambah beliau telah menukar kotak ‘gear’ Perdana berusia 4 tahun kerana pemanduannya terlalu aggresif.

“Saya juga telah memandu BMW 325 dan Honda Accord, kedua-duanya ada masalah kotak ‘gear’,”ujarnya.

Seorang pekerja Pusat Khidmat Proton berkata kotak ‘gear’ baru Proton Perdana V6 hanyalah RM24,000 sementara kos kotak gear ‘recond’ adalah RM10,000.

Blogger Automatif Paul Tan berkata kos penyenggaraan sepatutnya tidak ada masalah kerana Proton Perdana mempunyai jaminan 4 tahun.

Manakala jaminan Mercedes E200 adalah hanya dua tahun.

”Namun, saya tak faham kenapa Terengganu pilih E200. Ada kereta lain yang lebih baik dan murah selain E200, seperti Toyota Camry dan Honda Accord,”kata Paul Tan. – alihbahasa dari The Star

Kemaskini 5.00pm

Guna Mercedes ganti Perdana V6, kalau tak selaras, tarik Balik Pekeliling – Ahmad Said

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menggesa kerajaan pusat menarik balik pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) sekiranya langkah kerajaan menggantikan Proton Perdana melanggar kandungan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II).

Pekeliling itu mensyaratkan penggunaan kenderaan rasmi kerajaan mestilah hanya kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD).

Beliau berkata penggunaan Mercedes E200 Kompressor memenuhi syarat berkenaan kerana model CKD itu dipasang di kilang di Pekan, Pahang.

Kerajaan Terengganu baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta mewah tersebut dengan kos RM3.43 juta sebagai menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.

Kerajaan Terengganu akan terus menggunakan kenderaan Mercedes sebagai kereta rasmi menggantikan Perdana V6 Executive sekiranya kerajaan pusat tidak menarik balik pekeliling itu



Mercedes - Kerajaan Terengganu Dibidas

Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Peda) membidas kerajaan Terengganu berikutan dakwaan bahawa kotak gear automatik model Perdana V6 Executive mudah rosak.

Presidennya, Wan Ahmad Wan Abdul Rahman berkata, ini kerana kerosakan sesebuah kereta berpunca daripada cara penggunaan dan bukan disebabkan jenis sesebuah kenderaan.

Beliau berkata, dalam hubungan ini, mana-mana model kenderaan tanpa mengira jenama tetap mengalami kerosakan kotak gear automatik jika ia digunakan dengan begitu lasak.

"Semua kereta automatik akan mengalami kerosakan kotak gear jika ia digunakan dengan begitu lasak tanpa mengira keadaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan Terengganu membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang didakwa mudah rosak sebagai kenderaan rasmi Exco negeri itu.

Akhbar Utusan melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam berkata, kerajaan negeri terpaksa membuat pembelian tersebut ekoran kos penyenggaraan Proton Perdana terlalu tinggi kerana mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Sambil mempertahankan pembelian kereta itu, beliau berkata, ia sudah lama dirancang bagi menggantikan penggunaan Proton Perdana V6 Executive bertujuan menjimatkan perbelanjaan tahunan.

Katanya, walaupun kos permulaan pembelian kereta Mercedes tinggi tetapi kerajaan negeri dapat berjimat daripada segi kos penyenggaraan dalam tempoh jangka panjang.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Pusat Servis Edaran Otomobil Nasional Bhd. (EON) di sini mendapati harga untuk menukar sebuah kotak gear yang baru ialah RM21,244.34, manakala upah mekanik pula ialah RM260.

Pusat Servis Mercedes Benz pula mengenakan caj antara RM8,000 sehingga RM10,000 tidak termasuk upah mekanik hanya untuk 'membaiki' kotak gear automatik yang rosak.

Dalam pada itu, Setiausaha Kelab Perdana V6 (V-Sixers), Mohd. Yazmeen Md. Yusof berkata, kerosakan sesebuah kereta banyak bergantung kepada cara pemanduan kenderaan itu sendiri.

"Kebanyakan kereta kerajaan dipandu laju. Cara pemanduan sebegitu hanya akan merosakkan kereta itu sendiri.

"Jangan kata Perdana, kalau guna Mercedes paling mahal sekali pun pasti akan rosak jika dibawa tanpa batasan," katanya

Kabinet Bincang Kewajaran Pembelian Mercedes Oleh Kerajaan Terengganu

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kabinet akan membincangkan kewajaran pembelian 14 kereta Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta

sebagai kenderaan rasmi baru anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu.

"Dasar kita selama ini semua kementerian kerajaan pusat dan kerajaan negeri dikehendaki menggunakan kereta nasional," katanya ketika diminta mengulas pembelian kenderaan itu oleh kerajaan negeri Terengganu bagi menggantikan penggunaan Proton Perdana V6 Executive bertujuan menjimatkan perbelanjaan tahunan.

Beliau berkata dasar yang diamalkan sebelum ini mengkehendaki kementerian dan kerajaan negeri menggunakan kereta nasional sebagaimana laporan Bernama jam 4.20 petang ini.

"Saya guna kereta nasional dan Perdana Menteri pun gunakan kereta nasional," katanya.

Semalam, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata pembelian kenderaan itu tidak menggunakan wang royalti minyak dan ia sudah lama dirancang bagi menggantikan kenderaan rasmi yang telah berusia empat tahun.

Ahmad berkata kerajaan negeri terpaksa membuat pembelian tersebut ekoran kos penyenggaraan Proton Perdana terlalu tinggi kerana mudah rosak dan tidak sesuai untuk perjalanan jauh

14 Buah E200 Kompressor Untuk Exco - Terengganu Mula Bermewah-mewah

Kuala Terengganu - Belum pun menerima duit royalti minyak, Exco Kerajaan Terengganu dan pegawai kanan akan menggunakan kereta Mercedes baru E200 Kompressor sebagai kereta rasmi mulai hari ini.

Kerajaan negeri telah membeli 14 buah kereta mewah tersebut dengan kos RM3.43 juta sebagai menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.

Walaupun setiap satu kereta Mercedes tersebut dibeli dengan harga RM245,000 dikatakan lebih murah dari harga pasaran, namun tindakan kerajaan Terengganu ‘kontra’ dengan arahan kerajaan pusat yang menyarankan semua pihak berjimat cermat.

Setiausaha kerajaan negeri Dato’ Mokhtar Nong menyatakan keputusan kerajaan membeli kereta baru tersebut telah dibuat beberapa bulan yang lalu.

Beliau berkata kerajaan membeli kereta tersebut adalah sebagai langkah keselamatan kepada para exco dan menjimatkan kos penyelenggaraan.
Kenyataan itu seolah-olah menafikan bahawa kereta buatan Malaysia Proton Perdana V6 yang dibeli pada tahun 2004 lalu, tidak lagi selamat dan merugikan jika terus digunakan.

“Kerajaan negeri membuat penilaian bahawa Mercedes lebih baik untuk digunakan bagi jangka panjang dan sudah tiba masanya untuk menggantikan Proton Perdana”katanya.

Walau bagaimana pun, menurut beliau Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said lebih suka menggunakan kereta sedia.

Namun beliau tidak menyataka mengapa sebab-sebab Ahmad lebih menggunakan kereta lama tersebut.

Orang ramai yang ditemui oleh Buletin Online semalam umumnya menyatakan bantahan terhadap pembelian kereta baru tersebut.

Mereka berpendapat bahawa kereta Proton Perdana V6 masih sesuai dan selamat digunakan kerana baru berusia empat tahun.

“Mungkin Ahmad Said tidak setuju dengan pembelian itu, sebab itu dia lebih suka menggunakan kereta sedia ada,”kata Mustaffa yang sempat ditemui pada majlis ceramah di Batu Enam semalam.

“Ahmad sebelum ini mengatakan bahawa beliau mengutamakan kepentingan rakyat,”tambah Mustaffa yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga Batu Enam.








Ulasan