Kuala Nerus - Hujan lebat yang mengakibatkan banjir besar di Terengganu baru-baru ini, khususnya terus menyemarakkan semangat ‘berlumba-lumba melaksanakan kebajikan’ dikalangan anggota Unit Amal Terengganu.
Badan kebajikan beruniform PAS itu ternyata terkehadapan dalam membantu misi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa banjir baru-baru ini, khususnya di kawasan Kuala Nerus.
Air hujan yang tersekat akibat longkang tersumbat, sistem saliran yang tidak sempurna serta air laut pasang dikenalpasti antara faktor-faktor menyebabkan berlakunya banjir.
Kawasan yang paling teruk dilanda bencana itu adalah Kuala Terengganu, sementara kawasan-kawasan lain seperti Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang dan Dungun turut terjejas.
Akibatnya, hampir 3,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat-pusat Pemindahan Sementara Banjir yang disediakan di seluruh negeri selain yang menumpang di rumah saudara-mara atau rakan-taulan terdekat.
Ketua Jabatan Amal Terengganu, Ustaz Mohd Saiful Ambia Darusa, 37, berkata seramai 40 anggota Unit Amal ditugaskan dalam usaha membantu serta menyelamat mangsa bencana banjir di kawasan Kuala Nerus.
Katanya, anggota Amal mempunyai tenaga yang mencukupi bagi dikerahkan ke kawasan-kawasan bencana membantu rakyat.
“Setakat ini kita (Jabatan Amal) tidak ada masalah dan anggota sukarelawan Amal mencukupi untuk misi membantu dan menyelamat mangsa banjir.
“Kita (Unit Amal) sedia seramai 40 anggota sukarelawan untuk dikerah ke kawasan bencana terutama di Taman Perumahan Busu Tiga Gong Badak ini,” ujarnya.
Seorang anggotanya, Encik Mohd Noor Hussin, 33, berkata pengalaman membantu mangsa banjir di Taman Desa
Pusu Tiga Gong Badak dekat sini, amat memilukan.
Menurutnya walaupun tidak ada nyawa yang terkorban, namun banyak harta benda penghuninya rosak dan tidak dapat diselamatkan.
Beliau berkata air ‘bah’ (banjir) naik secara mendadak dari arah kawasan berpaya yang ditimbus bagi pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menjadi punca utama banjir.
“Saya rasa terharu dan sedih melihat banyak harta benda penghuni taman perumahan itu yang tidak sempat diselamatkan termasuk kereta, motosikal, peralatan elektrik, set sofa dan lain-lain,” ujarnya kepada Harakah, hari ini.
Katanya, meski pun agak kepenatan bagi anggota amal bertugas tanpa batasan waktu tetapi mencapai kepuasan kerana dapat membantu orang dalam kesusahan.
Rakannya, Ahmad Zulkarami Salleh, 27, dari Batu Enam melahirkan rasa simpati terhadap penduduk di taman berkenaan yang ditimpa bencana banjir tanpa diduga.
Menurutnya, sepanjang menyertai misi membantu serta menyelamat tidak Nampak langsung ‘bayang-bayang’ wakil rakyat iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Mohammad Ramli Nuh.
“Sepanjang saya bertugas selama dua hari ini belum pernah sekali pun melihat ‘bayang-bayang’ wakil rakyat Tepoh, Mohammad Ramli Nuh.
“Saya mendengar rungutan dan keluhan penduduk yang ditimpa musibah banjir orang ‘Yang Berhormat’ tidak Nampak langsung kelibat tolong mangsa banjir kecuali Unit Amal,” ujarnya.
Katanya, bertugas sebagai sukarelawan amal ini amat menyeronokkan meski pun keletihan kerana niat ‘Beramal Kerana Allah’ menjadi teras pasukan tersebut.
Wan Mohd Naim Ismail, 24, berkata pertama kali menyertai kerja-kerja membantu dan menyelamat sepanjang berjinak-jinak dengan Unit Amal beberapa bulan lalu.
Katanya, keberkesanan skuad Unit Amal membantu misi menyelamat mangsa banjir mendapat pujian serta sanjungan banyak pihak.
Ini kerana, katanya anggota amal yang bertugas penuh disiplin, jujur dan ikhlas telah member gambaran baik terhadap parti PAS dan Islam.
“Kerja-kerja kebajikan amat digalakkan dalam Islam dan Unit Amal mewakili peranan PAS dalam mendekati masyarakat tanpa mengira fahaman politik masing-masing,” jelasnya.
Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah menggesa agar kerajaan segera menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana banjir yang mengalami banyak kerugian.
Ini termasuk, katanya kerugian harta benda yang tidak sempat diselamatkan dengan menyediakan peruntukan sewajarnya.
“Kita (PAS) harap bantuan kerajaan disegerakan untuk membantu meringankan beban rakyat yang mengalami musibah banjir.
“Pihak jabatan terbabit mesti berlaku adil dan telus tanpa memilih ‘bulu’ dalam mengagihkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir,” tegasnya.
Beliau turut menerima aduan dari mangsa-mangsa banjir yang mendakwa Adun Tepoh, Mohammad Ramli Nuh gagal melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat yang baik dan profesional.
Ustaz Abu Bakar diberitahu bahawa Ramli (Adun) mengambil sikap tidak mempedulikan masalah rakyat terutama kepada mangsa-mangsa banjir di tamah perumahan terbabit.
Katanya, Adun Tepoh itu mempersoalkan di mana mangsa banjir mengundi dan kenapa tidak mengenali pihak Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan berkenaan jika memerlukan bantuan dan sumbangan.
PRK Kuala Terengganu – PAS atur 1000 majlis Penerangan
Kuala Terengganu - PAS Terengganu kini bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang bakal diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jumaat ini.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid berkata PAS Terengganu sudah mengatur 1000 majlis penerangan termasuk ceramah, forum, dialog dan sebagainya.
“Kita (PAS) kini sudah bersiap sedia pada bila-bila masa untuk menyertai Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dan meletakkan sasaran 1000 majlis penerangan akan diadakan dalam tempoh berkempen,
“Kita (PAS) akan aturkan pelbagai majlis termasuk ceramah besar, kecil dan kelompok, forum, dialog dan pertemuan dengan pengundi mengunggunakan pelbagai media ,” ujarnya selepas Mesyuarat Khas Lajnah Penerangan PAS Terengganu di Pejabat PAS negeri, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata jentera penerangan PAS di semua peringkat bagi kawasan parlimen Kuala Terengganu akan digerakkan bagi memberikan penjelasan dan menjawab tohmahan UMNO dan Barisan Nasional.
Katanya UMNO dan Barisan Nasional sebagaimana yang pernah dilakukan dalam pilihanraya yang diadakan sebelum ini, akan menggunakan kemudahan media cetak dan elektronik yang dikuasai parti tersebut.
Selain itu, menurut beliau UMNO dan Barisan Nasional juga akan menggunakan jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan untuk menyalurkan ‘propaganda’ kepada para pengundi.
Namun, kata beliau, PAS bersama sokongan jentera penerangan dari parti-parti dalam Pakatan Rakyat akan menggunakan ‘media rakyat’ yang akan menyampaikan maklumat dari pintu ke pintu rumah pengundi.
“UMNO dan Barisan Nasional bergantung kepada media cetak dan elektronik, televisyen, radio dan suratkhabar yang dikuasainya, selain menggunakan jabatan dan agnsi kerajaan sebagaimana amalan mereka dalam pilihanraya lalu,
“PAS bersama rakan-rakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan bersama menghadapi dakyah dan propaganda UMNO/BN,”katanya.
Kelmarin, Pengerusi Penaja Parti Tindakan Demokratik (DAP), cawangan Kampung China Kuala Terengganu, Encik Ng Chai Hing berkata DAP sedia mengerahkan jenteranya sepanjang kempen pilihan raya kali ini.
Buletinonline dimaklumkan DAP akan menurunkan seramai 200 pemimpin pelbagai peringkat untuk membantu kempen PAS.
Selain itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR sebagaimana dimaklumkan oleh Pengarah Pilihanraya, Fariz Musa akan memberikan sokongan tenaga AMK semaksima mungkin bagi memastikan PRK Kuala Terengganu dimenangi oleh Pakatan Rakyat.
Ulasan