Kuala Terengganu – Akibat tindakan ‘desperado’ dan ugutan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional, kebanyakan pengundi bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Terengganu mungkin memilih untuk menjadi ‘majoriti yang senyap’ (silence majority).
Namun sebaliknya, mereka menyatakan sokongan dengan membuat panggilan telefon atau menghantar SMS khususnya kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut.
“Saya tau rakyat takut tapi senyap-senyap dia telefon saya, senyap-senyap hantar sms (kepada) saya, hantar mesej, saya terima surat-surat pun ada, macam mana dia orang (mereka ) kena tekan, pegawai-pegawai, ketua jabatan pun semua tekan dia, mana boleh!?”ujar Wahid apabila ditanya wartawan berkaitan keadaan pengundi yang kelihatan senyap.
Wahid berkata demikian selepas menyampaikan kerusi roda kepada seorang warga emas yang lumpuh di Jalan Sultan Zainal Abidin dan muncul kemudian di majlis agihan bantuan kebajikan anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), petang semalam.
“Saya harap semua rakyat matang berpolitik, macam mana dia (pegawai dan jentera BN) tekan pun, jangan ikut tekanan kerana itu bukan cara dia (sebenarnya). Jadi, pilih (undi) dengan baik lah,”terang Wahid.
Walaupun desas desus mengatakan bahawa PAS kini mendahului BN, namun Wahid tidak akan berhenti berjumpa dengan seluruh pengundi sehingga akhir waktu dibenarkan.
“Belum lagi (berhenti kempen) I akan teruskan, saya masih ada masa dan gunakan setiap detik yang dibenarkan untuk berjumpa dengan para pengundi,
“ Saya nak pergi jumpa semua mana yang boleh saya jumpa,”jelas Wahid
Menurutnya hampir keseluruhan tempat telah dilawatinya kecuali satu dua tempat sahaja yang beliau akan susun dalam jadualnya pada hari akhir esok (16 Januari).
“Saya sudah pergi semua dah, ada lagi satu, dua yang mungkin saya betul-betul mau (lawati esok), untuk ‘sentuhan akhir’ (my final touch).”tambahnya
Ulasan