Bukit Gantang – Menteri Besar Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Nizar Jamaludin diisytiharkan sebagai calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang.
Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengisytiharkan Nizar sebagai calon dalam majlis yang dihadiri puluhan ribu penyokong Pakatan Rakyat di Padang Taman Kota Jaya disini semalam.
Sebelum perisytiharan tersebut, Dato’ Seri Hadi berkata UMNO dan Barisan adalah parti yang telah dilanda penyakit rasuah.
Katanya perkara tersebut telah didedahkan sendiri oleh pemimpim-pemimpinnya, bukan oleh pihak lain.
Oleh itu katanya, pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang adalah penting bagi membuktikan rakyat menolak pemimpin yang mengamalkan rasuah dengan menolak UMNO/BN dan memilih.
Nizar dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepadanya bertanding dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang.
Beliau berjanji akan meneruskan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Allahyarham Haji Roslan Shaharum sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
Namun begitu, suasana tenang dan aman Majlis Perisytiharan Calon semalam menjadi tegang apabila pihak polis simpanan persekutuan (FRU) mengepung dan menghampiri pentas serta cuba menghentikan majlis tersebut.
Walaupun polis telah mengeluarkan permit bagi Majlis itu diadakan sehingga jam 12 tengahmalam, namun pegawai polis menjadi jurucakap tersebut mengatakan “tidak dibenarkan ceramah politik, hanya dibenarkan isytihar calon”.
Walaupun begitu, Dato’ Seri Tuan Guru Presiden terus berceramah tanpa menghiraukan kehadiran pihak polis sehingga perisytiharan selesai dengan bacaan doa pada jam 11 malam.
Turut berucap adalah wakil-wakil parti komponen Pakatan Rakyat.
DAP diwakili oleh Timbalan Setiausaha Pusat, Dato’ Ngeh merangkap Pengerusi DAP Perak manakala PKR diwakili olh Timbalan Presiden Azmin Ali.
Turut hadir adalah semua pimpinan PAS Pusat dan pimpinan PAS Negeri (Gambar dari kiri, Dato Kamarudin Jaafar, Dato' Mahfudz Omar, Dato' Mustafa Ali dan Hj Asmuni Awi)
DAP Mahu Rakyat Perak Tolak UMNO/BN Habis-habisan
Bukit Gantang – Partai Tindakan Demokratik (DAP) mahu rakyat Perak khususnya pengundi Bukit Gantang menolak UMNO/BN Habis-habisan.
Pengerusi DAP Perak, Dato’ Ngeh Koo Ham nerkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perisytiharan Calon PAS bagi pilihanraya Kecil Bukit Gantang, di Padang Taman Kota Jaya, dekat sini semalam.
Beliau turut memberikan perakuan menyokong penuh calon PAS, walaupun belum mengetahui siapakah calon yang akan diumumkan.
“Malam ini saya bagi pihak DAP, ingin menyatakan sokongan sepenuhnya, sokongan padu kami,
“kepada sesiapa pun yang calon akan diumumkan oleh PAS untuk bertanding di kawasan parlimen Bukit Gantang ini,”katanya.
Beliau yang juga Exco kanan kerajaan Pakatan Rakyat Perak berkata pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang adalah penting sebagai satu ‘justifikasi’ kepada tindakan UMNO/BN merampas kuasa negeri Perak.
“Pemilihan ahli parlimen bukit gantang kali ini adalah amat penting, kerana inilah satu-satunya peluang kepada rakyat,
“menunjukkan kepada BN samada cara merampas kuasa di negeri Perak boleh diterima oleh rakyat atau tidak,
“kita perlu mengundi calon PAS kali ini, sekiranya tidak, undi kita akan memberitahu BN mereka boleh merampas kuasa dengan sesuka hati”ujar beliau
Katanya, sekiranya semua rakyat tidak menerima apa yang telah dilakukan oleh UMNO/BN, rakyat wajib mengundi PAS.
“Kalau mereka (UMNO/BN) tidak menghormati sistem demokrasi dan kita masih menghormati mereka, ia akan membawa malapetaka, negara kita akan menjadi sebuah negara polis atau tentera,”
“rakyat tidak akan bebas dan idak ada masa depan kerana pemimpin yang autokrasi tidak memperjuangkan hak rakyat tetapi memperjuangkan diri mereka sendiri,”tegasnya
PKR Akan Tetap Mencetak Suara Keadilan
Bukit Gantang - Tindakan menggantung permit mencetak Harakah dan Suara Keadilan adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan melumpuhkan demokrasi dalam negara ini.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata ianya satu petanda yang buruk kepada bakal Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak diambil peralihan kuasa yang akan berlaku tidak lama lagi.
“Ia satu petanda yang tidak baik untuk Najib, walaupun belum menjadi Perdana Menteri, tetapi sudah mula menunjukkan sikap rakus, menyempitkan ruang demokrasi dinegara ini,”kata beliau kepada pihak media sebelum Majlis Perisytiharan Calon PAS bagi Pilihanraya KecilBukit Gantang, semalam.
Beliau berkata tindakan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional itu adalah tindakan menghalang kebebasan media dan sekaligus menghalang suara rakyat.
Namun, katanya, pihaknya akan berhubung dan berbincang dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berkenaan perkara tersebut.
Beliau juga kesal dengan pihak keselamatan yang tidak membenarkan beliau berucap pada Majlis tersebut yang diadakan di Padang Taman Kota Jaya dekat sini.
Walaupun begitu, beliau tetap berucap dalam majlis itu dan berkata, sekiranya perbincangan ‘menarik balik’ penggantungan Suara Keadilan gagal, PKR akan tetap mencetak akhbar tabloid yang menjadi lidah rasmi parti itu.
Beliau yang mewakili Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata PKRakan memberikan sokongan yang kuat dan pasu kepada siapa pun calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam PRK Bukit Gantang.
“Saya tampil mewakili Parti Keadilan Rakyat, siapa juga calon yang akan diumumkan sebentar nanti, Keadilan akan memberikan sokongan yang kuat dan padu,
“ini semangat dan prinsip yang kita pertahankan dalam pemuafakatan Pakatan Rakyat,”katanya.
Katanya calon yang akan diumumkan bukan sahaja mewakili PAS tetapi akan mewakili seluruh pengundi Melayu, Cina dan India dalam parlimen Bukit Gantang.
Beliau juga mahu seluruh pengundi parlimen Bukit Gantang menjadikan pilihanray kecil kali ini untuk memberi isyarat dan amaran kepada kerajaan UMNO dan BN sesungguhnya masa depan negeri Perak bermula di Bukit Gantang dan ditentukan oleh rakyat negeri perak sendiri.
“Masa depan negeri Perak bukan ditentukan oleh Pemuda UMNO, masa depan negeri Perak bukan ditentukan oleh taukeh-taukeh syarikat-syarikat besar,
“tetapi masa depan negeri Perak bermula di Bukit Gantang, ditentukan oleh
rakyat negeri Perak sendiri.”tegasnya.
Ulasan