IPOH – Menteri Besar Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Nizar Jamaludin menggesa Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak mendahulukan kehendak rakyat sebagaimana dalam gagasan 1Malaysia.
Beliau berkata kehendak seluruh rakyat negeri Perak kini adalah mahukan satu pilihanraya bagi memilih kerajaan yang baru.
“Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak (mahu) mendahulukan kehendak rakyat, sebagaimana di uar-uarkan 1Malaysia, rakyat didahulukan,
“maka kehendak rakyat negeri Perak melalui kajian yang kita buat, semuanya menunjukkan bahawa rakyat negeri Perak mahukan hak mereka diberi untuk memilih kerajaan baru,”katanya ketika merasmikan program ‘Puasa dan Mogok Lapar’ Pakatan Rakyat Perak, di Ibu Pejabat DAP, disini, hari ini.
Katanya, mahkamah bukan institusi untuk menentukan siapa kerajaan, siapa Menteri Besar, tetapi ia adalah saluran untuk mentafsirkan undang-undang.
Tetapi penentu mutlak, katanya, adalah rakyat yang akhirnnya yang akan menjadi yang mahkamah sebenar.
Oleh itu, beliau berkata biarlah rakyat yang memilih kerajaan yang adil.
Menyentuh tentang program puasa ataupun mogok lapar yang dianjurkan, beliau berkata, apa jua nama yang diberikan kepada program itu adalah terpulang kepada tatacara, budaya dan agama serta bangsa masing-masing.
“Terpulang kepada peraturan, tatacara, budaya, agama dan bangsa masing-masing, tidak ada paksaan,
“bagi saya sebagai pemimpin PAS, menggalakkan orang-orang Islam berpuasa oleh kerana hari ini adalah 1hb Jamad-Al-Akhir, (dimana) pada 1hb disetiap bulan disunatkan kita berpuasa puasa sunat mutlak,”jelasnya.
Menurutnya dengan melaksanakan puasa sunat dan solat hajat serta berdoa memohon keredhaan Allah, membuka hati-hati manusia dan ditunjukkan kebenaran, semoga rakyat diberikan hak untuk memilih kerajaan yang baru.
Dalam majlis yang sama, Nizar mewakili Pakatan Rakyat negeri Perak menerima sumbangan kewangan sebanyak RM200,000.00 daripada Ir. (B) Koon Yew Yin, pesara Lembaga Air Perak bagi meneruskan perjuangan menghadapi persiapan pilihanraya yang akan datang.
Ulasan