Banjir Gelombang Ke-3; Exco mahu ‘susup kepala’?


SETIU – Air Sungai yang naik akibat hujan lebat pada Sabtu 14 Januari menyebabkan beberapa kawasan di Besut dan Setiu dilanda banjir gelombang ketiga.

Kawasan Setiu, khusus DUN Permaisuri mengalami bah yang lebih teruk berbanding Besut dengan 14 kampung yang terletak dipinggir sungai Setiu dinaiki air.


[Gambar kanan atas - seorang jemaah di Masjid lama Permaisuri menunjukkan paras air yang naik di tiang masjid tersebut pada pagi Ahad 15 Januari]

Dari kawasan pedalaman, Kampung Hulu Seladang, sehinggalah kawasan yang berhampiran dengan pantai di kampung Nyatoh, seramai lebih 300 orang telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.

Fenomena banjir adalah menjadi satu rutin bagi penduduk dibahagian hulu Setiu ketika musim monsun.

Bagi kampung-kampung disebelah hilir seperti kampung Buluh, Buruk, Pemaisuri terutamanya kampung  Nyatoh, banjir pada tahun ini agak luar biasa.

Walaupun telah didedahkan di dada-dada akhbar dan media lain, banjir besar yang berlaku disebelah hilir berpunca dari projek kolam udang i-Sharp, namun kerajaan Umno dan Barisan Nasional Terengganu ‘masih berdegil’

Seorang mangsa , Hassan Hitam, 48, dari Kampung Buruk, meyifatkan jawapan Exco berkenaan berhubung projek akuakultur adalah jawapan mahu ‘susup kepala’.

“Exco jawab, projek tersebut dalam pemantauan ‘tengkorok’ apa? Dah jelas air tersumbat sebab pembinaan jalan dan benteng projek kolam udang,

“orang kampung semua pun tahu, sedar…….tahun-tahun dulu dok berlaku begini,”ujarnya ketika ditemui.

[Gambar kiri atas - rumah Hassan hitam yang dilanda banjir sehingga mencecah lantai dirakan buletinonline tengahari semalam]

Tinjauan Buletinonline ke kawasan  kolam udang yang diusahakan Bule Archipelago tersebut mendapati, jalan sejauh 2 kilometer yang dibina sehingga ke tapak projek, seolah-olah menjadi empangan.

Kawasan tersebut yang dahulunya merupakan kawasan tadahan air sebelum mengalir keluar ke sungai Penarik, kini terhalang.

Buktinya, ketika kampung-kampung tersebut ditenggelami air, rakaman lensa Buletinonline mendapati  aras air di sungai Penarik dalam keadaan normal.

Banjir di kawasan Setiu telah berlaku dua kali sebelum ini pada 23 November 2011,dan 2 Januari 2012.

Ia dianggap sebagai satu rekod apabila 14 buah kampung yang terletak sepanjang pinggir sungai Setiu digenangi air.

[Gambar kanan bawah - jalan menuju ke projek kolam udang, menjadi empangan air yang menyekat aliran]
Kampung-kampung tersebut adalah Kampung Hulu Seladang, Kampung Padang, Kampung Alor Bonggor, Kampung Besut, Kampung Che Long, Kampug Buluh, Kampung Buruk,Kampung Bukit Kemudu,  Kampung Tasik, Kampung Permaisuri,  Kampung Gong Kubur, Kampung Kuala Guntung,  Kampung Che selamah dan Kampung Nyatoh.

Menurut Pengerusi Lujnahdan Alam Sekitar PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim kerja-kerja pemantauan  terhadap projek kolam udang, sebagaimana diumumkan oleh Exco Pertanian Negeri Ashaari Idris dalam Sidang DUN Disember lalu, tidak dilaksanakan.

“Betul atau tidak pemantauan dilakukan, masih menimbulkan kesangsian. Kalaulah betul kerajaan melakukan pemantauan terhadap projek ini,

“maka saya dengan segala hormatnya menyimpulkan bahawa jawatankuasa pemantauan ini memang tidak melaksanakan kerja yang diamanahkan,”katanya

Kalau tidak, beliau menambah, mana mungkin kerajaan boleh berlagak bodoh dengan satu demi satu impak negatif yang berlaku di depan mata.

[Gambar kiri bawah - keadaan paras air di Sungai Penarik yang dirakam kira-kira jam 2.45 petang semalam, Ahad 15 Januari]

Berita terkait;
i-Sharp punca banjir bertambah buruk

Berita sumber akhbar tempatan;

Kaji semula pembentung air
Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: December 4, 2011

KAMPUNG NYATOH – Penduduk Kampung Nyatoh yang terlibat dengan banjir menggesa pihak berkenaan mengkaji semula pembinaan pembentung air yang dianggap tidak sesuai sehingga menyebabkan banjir yang melanda kawasan itu lebih buruk berbanding tahun sebelumnya.

Penduduk, Ismail Ishak, 54, berkata, bencana banjir tahun ini dianggap yang terburuk sejak dia tinggal di sini 20 tahun lalu kerana paras air meningkat dengan begitu cepat walaupun persediaan awal sudah dibuat.

“Apa yang menyebabkan kami berasa cukup terkilan adalah semua barang yang sememangnya disusun dan diletakkan ditempat yang tinggi tetap ditenggelami air.

“Cuba bayangkan keadaan surau yang dijadikan tempat pemindahan sementara dan ditinggikan daripada kedudukan asal juga hampir ditenggelami air walaupun tahun sebelumnya air tidak pernah mencapai ke tahap itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bagi memastikan keadaan ini tidak berlaku pada musim banjir akan datang, pembinaan jambatan baru adalah cara yang terbaik untuk menggantikan sistem saluran air sedia ada.

“Ini sebab, keadaan pembentung air sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang banyak apabila banjir berlaku sehingga menyebabkan air bertakung di kawasan rendah. Tambahan pula, projek kolam udang yang dibina berdekatan kawasan ini turut menyekat laluan air secara terus ke sungai.

“Sebagai wakil penduduk kami tidak menghalang projek yang dijalankan di sini tetapi biarlah nasib kami juga terbela dan tidak terus teraniaya,” katanya.

Bagi Mat Noor Osman, 61, banjir yang paling buruk pernah dilalui sejak tinggal di sini sekitar 1987 dan tahun ini pula ia kembali berlaku.

“Dengan keadaan air yang naik begitu cepat menyebabkan keadaan kelam-kabut untuk menyelamatkan barang berharga walaupun perabot dan barang elektrik ada yang tidak dapat diselamatkan.

“Pak cik memang tidak menjangkakan keadaan ini kembali berlaku namun menganggapnya sebagai ujian ALLAH SWT,” katanya.

Ulasan