Status Royalti Minyak: PAS Desak MB Terengganu


kam3042(a)-syed aman1KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi penjelasan kepada seluruh rakyat tentang status hak royalti Petroleum dan Gas yang diterima melalui perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata kenyataan yang mendakwa negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan tidak memiliki hasil minyak memberi implikasi yang cukup besar.


Kata beliau, Terengganu secara khususnya telah menandatangani perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 serta menerima bayaran royalti sejak tahun 1978 hingga sekarang.
Menurutnya, implikasi cukup besar dari segi maruah kerajaan Terengganu, undang-undang dan pentadbiran negeri.
“Terengganu yang telah menandatangan perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan telah menerima bayaran royalti petroleum itu sejak tahun 1978 sehingga sekarang.
“Walau pun terhenti seketika apabila PAS memerintah Terengganu (1999-2004), dan pada tahun 2000 bayaran royalti minyak ‘dibekukan’ ditukar kepada wang ehsan dan dana khas tetapi hakikat itu royalti.
“Apabila kita (Terengganu) dikatakan tidak ada hak ke atas royalti minyak akan memberi impikasi yang cukup besar dari segi maruah kerajaan negeri Terengganu, dari segi legal, dari segi undang-undang dan dalam konteks pentadbiran kerajaan negeri Terengganu,” jelasnya.
kam3042(b)-syed azman2Beliau berkata demikian pada satu sidang medianya bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah di pejabat ahli parlimen tersebut, dekat sini, 2 Oktober lalu.
Dr Syed Azman menegaskan kerajaan negeri juga perlu mendapatkan penjelasan kerajaan Persekutuan khususnya dari Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan pihak Petronas tentang status hak Terengganu ke atas royalti minyak tersebut.
Menurutnya, Terengganu bergantung kepada hasil minyak lebih 90 peratus sebagai pendapatan negeri setiap tahun sejak dari tahun 1978 hingga sekarang.
“Kerajaan Terengganu perlu dapatkan penjelasan kerajaan Persekutuan khususnya dari Perdana Menteri, (Dato’ Seri Mohd Najib) dan pihak Petronas tentang status hak Terengganu ke atas royalti minyak yang mula dibayar dari tahun 1978 terus menerus sehingga sekarang.
“Terengganu sendiri bergantung kepada hasil minyak lebih 90 peratus sebagai pendapatan negeri setiap tahun. Puratanya, kita (Terengganu) dapat lebih RM2 bilion setiap tahun dari hasil minyak yang dibayar terus kepada kerajaan negeri.
“Kita (PAS) hari ini memohon kerajaan negeri Terengganu melalui Menteri Besarnya Dato’ Ahmad Razif membuat penjelasan kepada rakyat negeri Terengganu tentang hak royalti minyak itu,” ujarnya.
Manakala, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah menggesa pihak berwajib merujuk kepada kenyataan asas jawapan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak di parlimen pada tahun 1974.
“Asasnya, pada 15 November 1974 ketika kerajaan menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Petaling Timur ketika itu Encik Lim Kit Siang.
“PM ketika itu, Tun Abdul Razak telah menjawab mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan pengairan atau di luar pengairan negeri berkenaan, yang dijual oleh Petronas atau pun agensi-agensi atau pun kontraktor-kontraktornya,” ujarnya.
Bahkan, kata Dato’ Raja Kamarul Bahrin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu tahun 2008 satu majlis penyerahan replika cek bayaran royalti minyak separuh kedua berjumlah RM408.6 juta dibuat oleh Dato’ Seri Najib kepada MB Terengganu ketika itu, Dato’ Seri Ahmad Said.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga tidak konsisten dalam isu tersebut kerana silih bertukar ganti antara royalti minyak dan wang ehsan.
Tambah beliau, rakyat Terengganu melahirkan rasa sedih dan dukacita kerana hak kedaulatan negeri menerima bayaran royalti minyak dan gas dinafikan kerajaan pusat.

Ulasan