Oleh : KAM
Foto : Pok Abass
Foto : Pok Abass
KUALA TERENGGANU – PAS mengesyorkan kepada pihak yang berterusan mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan itu agar segera membuat tindakan usul undi tidak percaya di Parlimen Malaysia.
Namun, katanya pendirian tegas PAS masih mempertahankan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia sehingga habis penggal ini.
Menurutnya, dengan melakukan usul undi tidak percaya di Parlimen itu lebih cepat dan tidak menyusahkan rakyat kelak.
“Demokrasi ini macam-macam boleh berlaku, pertama antara ialah (sebagaimana) yang diwar-warkan Perdana Menteri (diminta) letak jawatan, ganti orang lain. Kedua, buat undi tak percaya di Parlimen.
“Pihak yang nak sangat (tukar) buat undi tak percayalah. Itu yang paling cepatnya. Pada saya, baik pilih undi tak percaya itu dan tak menyusahkan rakyat sangat. Rakyat susah (akhirnya) rakyat berlawan dengan polis. Tak pasal-pasal rakyat berlawan dengan polis. Jadi, biar dia buat undi tak percaya di Parlimen.
“Kita (PAS) masih lagi mempertahankan Tun (Dr Mahathir) menjadi Perdana Menteri. Suasana yang ada ini perlu dia (Mahathir) menjadi Perdana Menteri. Kita mengekalkan sokongan kepada Tun,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Diskusi Tokoh bertajuk ‘Bicara Ini Demi Perpaduan’, sempena Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia, di Stadium Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Dato’ Seri Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang mempertahankan kenyataan sebelum ini bahawa janji menukar kepimpinan utama negara itu tidak menepati syarat Islam.
Malah, katanya sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu itu kerana meletakkan Tun Mahathir sebagai ketua pasukan.
“Macam saya sebut dalam kenyataan saya (sebelum ini), janji (tukar PM) itu tak cukup syarat Islam. Syarat Islam pun tak cukup, syarat sekular pun tak cukup. Janji itu (seperti) cakap-cakap di pasar, janji yang tidak dimeteraikan.
“Sebab kita kena sedar PH menang sebab dia menonjolkan Tun menjadi ketua pasukan. Orang lain ketua pasukan tidak berjaya (tumbangkan BN). Dulu (letak) Tengku Razaliegh Semangat 46, tak boleh ubah kerajaan, (pernah letak) Dato’ Seri Anwar pun duduk di depan tak berjaya.
“(Tapi) Letak Tun Dr Mahathir di depan tiba-tiba jatuh kerajaan (BN), berubah. Takkan hendak tarik tengah jalan, itu tak betullah. Moral demokrasi pun salah,” jelasnya.
Menurutnya, meskipun PAS tidak bersetuju dengan kerajaan PH hari ini tetapi pilihan raya telah berlaku dan salah satu cara demokrasi adalah undi tidak percaya.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Senator, Ustazah Nuridah Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wanita, Zuraida Mohd Nor.
Ulasan