PH Di laut, Ahmad Di darat, Sama Mengarut, Macam Sepakat

Nampaknya amaran Allah melalui Corona Virus Disease 2019 (Covid 19) masih belum dapat meredakan ketegangan bermain politik murahan oleh beberapa pihak samada berpasukan mahupun individu. Sebelum ini, PH walaupun dikeji dan dicaci rakyat Malaysia, tetap mahu menggoncangkan kedudukan bertahan negara yang berada dalam keadaan sangat baik, dipuji oleh WHO dalam mengawal Covid 19 ini.



Kebebalan berfikir PH ini, tidaklah dikesali kerana sememangnya itulah sahaja tahap politik sampah yang mereka ketengahkan semenjak dahulu lagi. Menang cara menipu, berjanji dan mungkir, kemudian menjadi kerajaan terus menipu dan berterusan melupakan janji-janji mereka. Terkini, setelah menuduh PN kerajaan pintu belakang, tiba-tiba maharaja mereka mengadap PM pula kerajaan pintu belakang ini.

Apa yang dilakukan PH, tidaklah menjadikannya sebagai sesuatu yang menggemparkan kerana sememangnya piawaian mereka, amat rendah. Mereka bukan sahaja suka mencipta persepsi. Hanya dengan beberapa kerat info dan juga kenyataan yang mereka fikir, mereka akan dapat pusing bagaikan gasing. Malahan juga mereka cemerlang dalam mengada-ngadakan cerita bohong bagi membuat fitnah.

Tetapi amat mengejutkan apabila kenyataan separuh masak dan fitnah seperti acuan PH, datang dari mantan MB Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said. Beliau sekarang memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, iaitu orang nombor satu Umno Terengganu. Ia bukanlah satu jawatan murahan. Oleh itu, tiadalah akan disangka kenyataan fitnah, yang sekadar ‘hear say’ dikeluarkan beliau.

Ahmad secara jelas menafikan menerima wang bantuan Covid 19 dari Kerajaan Pusat melalui Kerajaan Negeri sebanyak RM45 ribu, pada kenyataan beliau yang pertama. Ahmad juga menuduh MPKK telah membahagi-bahagikan bantuan secara senyap, dengan bersandarkan 'saya dimaklumkan’. Ini adalah satu tuduhan yang amat bahaya kerana jika tidak pasti, beliau mesti menyiasat dahulu, bukan menuduh di media sosial, kerana jawatan beliau itu. Bagai modus operandi PH, kutip cerita tepi longkang dan sebar.

Telah diterangkan secara jelas oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah bahawa setiap DUN diberikan RM350 ribu dengan pembahagiannya RM45 ribu kepada setiap Adun melalui Pejabat Daerah. RM305 ribu lagi akan dibahagikan oleh MPKK, iaitu agensi Kerajaan Negeri yang sah. Dan semua perbelanjaan akan diaudit. DS dah ambil ke duit kat Pejabat Daerah tu? Kalau tak ambil lagi, memanglah tak dapat, bukan orang tak bagi.

Masalah timbul apabila DS Ahmad tidak berpuashati kerana wang RM350 ribu itu tidak diberikan terus kepada Adun-Adun. Beliau membangkitkan keadaan pengurusan bantuan di negeri Perlis dan Pahang yang diperintah oleh Umno, adalah lebih baik kerana pengagihannya tidak membezakan Umno mahupun PAS. Semua Adun-Adun bebas membuat keputusan, kepada siapa bantuan itu hendak diberikan.

Saya menghubungi Pesuruhjaya (PJ) PAS Pahang, YB Ustaz Rosli Jabar dan PJ PAS Perlis, YB Cikgu Mohd Shukri Ramli, bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan di sana. Memang benar, mereka diberikan kebebasan dalam menguruskan bantuan dan diberikan terus kepada mereka. Tanpa merasa malu, mereka berkerja dengan bantuan MPKK ataupun JKKPs dan juga cawangan-cawangan PAS untuk rakyat.

Seorang lagi Adun PAS di Selama Perak yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin juga menerangkan kepada saya, Kerajaan Perak memberikan bantuan itu terus kepada Adun-Adun. Kemudian Adun-Adun itulah yang akan berkerjasama samada dengan MPKK. Tiada dalam sebarang perjanjian ataupun persefahaman yang semua Kerajaan Negeri di bawah PN mesti berbuat hal yang sama.

DS Ahmad Said mungkin berfikir yang hal yang serupa mesti dilakukan bagi menunjukkan semangat muafakat. Saya rasa, mungkin pandangan beliau itu boleh diambil kira. Tetapi apabila menuduh Kerajaan Terengganu tidak memberikan apa-apa kepada Adun Umno dan MPKK memberikan bantuan secara sembunyi-sembunyi, ia jelas cuba membawa pemikiran rakyat ke arah lain. Buat apa sembunyi-sembunyi, kecuali kita cuba melakukan jenayah. Ajaibnya, ketika BN dahulu, tiada juga senarai nama diumumkan.

Sedangkan pada waktu yang sama, Adun Telemong, Dato’ Rozi Mamat berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh kerajaan. BN Besut juga membuat hantaran di FB menyatakan barangan dari Kerajaan negeri, siap sedia untuk diagihkan. Tidak sedikit orang Umno yang sangat baik, berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan cuba membantu sedaya mungkin. Jadi amat menghairankan, bagaimana DS Ahmad Said bersikap demikian dan kemudiannya menyindir Kerajaan Negeri untuk menyambut paluan gendang.

Kita tidak mahu membangkitkan hal ini dengan mengaitkan Umno Terengganu, walaupun ianya jelas datang daripada ketua mereka sendiri. Ramai yang sedar PAS dan Umno Terengganu, adalah dua entiti yang tidak mudah untuk disatukan. Saya telah menulis berkenaan temubual saya dengan Pemangku Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Ismal Sabri Yaakob berkenaan mentaliti Umno Terengganu. Telahan beliau, tepat sekali. Akan tetapi ada jalan penyelesaiannya, namun ia seperti tidak mahu diterokai Umno.

Beberapa kerat orang Umno berotakkan PH berlegar-legar di alam maya sejak mula-mula MN diperkenalkan. Mereka seperti saka tanpa tuan, terbang mencari mangsa, bagi memusnahkan muafakat yang disukai agama ini. Bagaikan dirasuk, mereka menghasut, memfitnah, menuduh, menyebarkan keraguan, persis syaitan yang sedang bertugas. Benci benar mereka dengan kesatuan dalam Islam. Mereka lupa, walaupun menggunakan akaun medsos palsu, Allah masih mengenal mereka.

Mereka merasakan bahawa mereka kuat. Mereka mahu menggenggam kuasa berseorangan. Bagi mereka, kerana merekalah mereka menang. Mereka kuat tanpa bantuan sesiapa. Mereka adalah kuasa tunggal. Mereka mahu kembali kepada zaman jahiliyyah, berbuat sesuka hati mereka dengan kuasa yang mereka miliki. Sanggup bersama PH merosakkan MN. Segelintir mereka ini sebenarnya, tidak perlu ada dalam MN. Dan menyedihkan, suara Umno jenis sebeginilah yang saya lihat seperti didengari oleh DS Ahmad Said.

DS Ahmad Said boleh sahaja mengambil teladan daripada Adun PAS di Perak dan Perlis, yang mereka berkerjasama dengan MPKK dan JKKPs bagi mengagihkan bantuan ini, dan semua itu bukanlah lantikan PAS. Mengapa malu turun bersama MPKK di Kijal? DS Ahmad lebih suka membuat tohmahan. Saya menghubungi pula rakan yang ada senarai penerima bantuan kerajaan. Mengejutkan jawapan dari beliau.

Jelas beliau, senarai JKM, e-Kasih, Maidam dan semuanya itu, disediakan ketika zaman BN lagi. Cuma ada sedikit perubahan dengan memasukkan beberapa nama baharu menggantikan nama lama yang sudah tidak layak. Masalah sekarang ialah mereka yang tidak layak dahulu, tetapi tiada makanan ketika Covid 19 ini juga perlu dipertimbangkan. Adakah tuduhan jahat DS Ahmad ini kerana beliau telah dirasuk hantu PH? Dan adakah apabila ada orang mengadu tidak dibantu, terus dipercayai tanpa merujuk MPKK?

Sehingga beliau mengemukakan bukti bahawa sememangnya terdapat penyelewengan dalam agihan bantuan ini oleh MPKK mahupun Kerajaan Negeri Terengganu sendiri dan didapati bersalah dalam perbicaraan, saya berpendapat beliau hanya cuba berbuat onar. Hanya Allah yang tahu apa niat beliau apabila menghebahkan kepada umum, apatah lagi tuduhan palsu sebegini. Malah apabila ditanya adakah mahu berunding dengan MB Terengganu, beliau dengan sombong menjawab tidak perlu.

Sebelumnya beliau tidak bertanya dan berunding dengan Kerajaan Negeri cara pembahagian. Tiba-tiba marah dan tuduh. Kalau betul nak, jumpa MB, bincanglah. Adakah itu yang dikatakan cara muafakat yang betul setelah beliau mengatakan cara Kerajaan Terengganu tidak betul dalam muafakat? Tetapi semua rakyat yang baik tahu, tuduhan beliau itu, jelas menipu. Sama seperti pemegang akaun palsu medsos dan PH, mereka tuduh tak ada bukti dan buat bodoh. Maaf Dato’ Seri, saya nampak macam sama jer dengan cara PH.

Mohd Nasir Abdullah
16 April 2020

Ulasan