27 November 2020

Bajet 2021: Kita Jawab Fitnah Dengan Angka

 


Alhamdulillah selesai pembentangan dan perbahasan Bajet Negeri Terengganu 2021 yang bertemakan Melestarikan Kesejahteraan Bersama, pada Sidang Dun Terengganu yang berakhir 25 haribulan November. Bajet yang dikemukakan ialah sebanyak RM1.375 bilion dengan royalti petroleum masih menjadi teras utama pendapatan negeri, menyumbang sebanyak RM933.33 juta berasaskan harga minyak USD40 setong. Doakan harga minyak naik selepas ini dan kita ada lebihan.

Jumlah Bajet 2021 ini adalah yang paling rendah daripada jumlah yang dibentangkan pada tahun 2015 – 2020. Untuk rekod, daripada jumlah Bajet Terengganu sepanjang 5 tahun lepas, ada ketikanya menghampiri bajet Negeri Selangor, negeri termaju dan terkaya di Malaysia iaitu pada 2015 RM2.37 bilion, dimana Selangor mengumumkan bajet mereka sebanyak RM2.4 bilion. Tetapi apakah impaknya?

Keadaan ekonomi kerana Covid 19, telah menjejaskan banyak sektor. Tetapi alhamdulillah pada suku ketiga, penguncupan telah berkurangan daripada -18.7 peratus kepada -2.7 peratus sahaja. Selain itu sektor pertanian meningkat sebanyak 8.5 peratus dari -2.5 peratus kepada 6.0 peratus.

Maka tidak menghairankan apabila tahun ini diangkat menjadi tahun pertanian dengan bajet keseluruhan diluluskan sebanyak RM20 juta. Pasti YB Dr Azman Ibrahim tersenyum lebar. Pun begitu, agenda mendaulatkan Islam dan pendidikan masih menjadi tujuan utama pemerintahan. Menulis tentang bajet, memang memuakkan. Jangan jemu lagi dengan nombor-nombor ini. Saya ada cerita dalam tulisan ini.

Apabila berbicara tentang bajet, mahu tidak mahu, perbandingan dengan bajet terdahulu terpaksa saya sebut. Samada mahu mengungkit secara positif ataupun secara negatif. Itu terpulang kepada tafsiran anda semua. Ia sebagai pengajaran bagi manusia yang bersikap negatif dengan bajet ini. Juga boleh mengajak rakyat untuk bersyukur kepada golongan yang berfikiran positif. Saya mulakan dengan isu ‘one off’ yang dikatakan semakin sedikit jumlahnya.

Kerajaan Negeri masih menggunakan senarai e-Kasih ketika mula-mula memerintah 2018 dahulu. Dana Raya diberikan dengan mengurangkan jumlah wang tetapi diramaikan penerimanya. Kemudian perlahan-lahan senarai itu dibersihkan atas sebab-sebab yang termaklum. Dan hasilnya, dana-dana ‘one-off’ telah berjaya dikurangkan daripada hampir RM90 juta kepada RM20 juta. Penjimatan kira-kira sebanyak 80 peratus.

Ia bukanlah disengajakan, malah ia telah dijelaskan dan dirancang agar rakyat bukan sentiasa dibantu dengan ‘one-off’, tetapi prinsip memberi pancing supaya berusaha dengan lebih gigih. Buktinya Kerajaan Negeri juga berjaya meningkatkan pendapatan penengah isi rumah daripada RM4694 pada 2016, kepada RM5545 tahun lepas. Terengganu juga adalah antara tujuh negeri yang mencatatkan prestasi yang lebih baik dengan KDNK 3.3 berbanding 2.5 pada 2018. Sekaligus membuktikan rakyat Terengganu boleh bersaing.

Pertanian adalah antara jalan kejayaan. Pertanian juga adalah jalur kepada kerugian Kerajaan Negeri. Jika disebut tentang kambing Kaprima yang tinggal kandang (26 juta), tanaman Jagung Hybrid di Hulu Terengganu (2.05 juta), ubi gadong yang dikatakan berkhasiat membesarkan payudara (2.2 juta), fertigasi mega (20 juta), Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC), Sungai Como (Kenyir) (50 juta), itu semua akan merujuk kepada kerugian dengan jumlah terkumpul ratusan juta ringgit suatu masa dahulu.

Kini sektor pertanian diberikan kepercayaan oleh ‘Big Boss’ kepada Dr Azman untuk dijadikan sebagai jalan kejayaan bagi rakyat Terengganu menjana pendapatan yang lebih baik. Ia adalah cadangan daripada Tuanku Sultan Terengganu ketika merasmikan Sidang Dun pada Mac lalu bagi menambah pendapatan rakyat. Ia juga terkandung dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2033. Bajet juga bertambah dari RM2.6 juta (2019), RM6.65 juta (2020) dan RM20 juta (2021). Saya yakin sepenuhnya dengan keupayaan YB Dr Azman.

Dalam sektor pelancongan pula, Exconya YB Ariffin Deraman, telah menerima anugerah ‘Hero Pelancongan Malaysia’ oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC). Beliau masih dalam landasan bagi menjadikan pelancongan Islamik sebagai sasaran utama, walau ramai yang ragu sebelum ini . Duyung Marina Resort (DMR) yang disindir oleh mantan MB Terengganu dalam Sidang Dun, telah mencatatkan keuntungan pada tahun ini sebelum gelombang kedua Covid 19 dan berjaya memberikan bonus kepada kakitangannya.

Jika diimbau cerita lama, Riyaz Heritage Marina Resort and Spa, nama terdahulu sebelum DMR, tidak pernah untung. Jelas, ia adalah bebanan Kerajaan Negeri dengan kerugian ratusan juta ringgit gara-gara projek ‘Monsoon Cup’. Keseluruhan wang rakyat yang dibenamkan di dasar muka Sungai Terengganu ialah RM1 bilion. Angka ini disebut sendiri oleh Dato’ Ahmad Said dalam Persidangan Dun Terengganu pada 12 Mei hingga 14 Mei 2015, setahun selepas beliau dipecat dari jawatan Menteri Besar.

Nak saya sebut tentang Tasik Kenyir yang mana Kompleks Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang sepatutnya dibina oleh Kerajaan Pusat, tetapi Kerajaan Negeri yang bina menggunakan kos sendiri? Taman burung lenyap, Taman Rambutan habis, Stesen Solar hancur. Dalam Sidang Dun, soalan PAS berkenaan kemajuan Projek Tasik Kenyir sentiasa ditolak oleh Speaker. Sehingga kini hampir 80 peratus siap dengan kos RM200 juta. Mulut Tasik Kenyir menganga menunggu puluhan juta lagi untuk ditelan.

Banyak lagi yang boleh diungkit kalau mahu. Isu Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 yang menggunakan wang rakyat Terengganu RM1.8 bilion secara pinjaman, sedangkan di negeri lain tidak pernah berlaku. Taman Ilmu (400 juta), Jerteh Souq, pinjaman wang rakyat Terengganu kepada Syarikat Perumahan Nasional. Tetapi adakah ianya berbaloi berbalah? Ia hanya menambah luka sahaja. Tetapi terkadang ia perlu bagi mencubit orang yang masih tidak sedar diri.

Sehingga kini melalui bajet-bajet, 90 peratus iaitu 18 daripada 20 manifesto PAS yang dijanjikan dahulu ketika PRU dahulu sudah diselesaikan. Termasuklah beberapa perkara yang tiada dalam manisfesto seperti melunaskan hutang Kerajaan Negeri terdahulu dalam masa tidak sampai lima tahun insyaAllah.

Hutang Kerajaan Negeri juga dahulunya adalah soalan yang sentiasa ditolak oleh Speaker. Hutang wajib dibayar. Jelas, jika duit rakyat berada di tangan orang yang betul, ia akan diuruskan dengan baik. 1999-2004 hasil royalti negeri disekat, tetapi PAS boleh mengurus negeri dengan baik.

Semua kejayaan ini adalah hasil kecekapan kakitangan kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Tiada bukti lain, kecuali dengan angka-angka yang ditunjukkan dalam Bajet 2021. Jadi amatlah wajar mereka diberikan bonus sebanyak RM800 sebagai penghargaan. Janganlah kita ini sentiasa berdengki. Rezeki Allah yang tetapkan. Mereka menjalankan amanah dengan baik.

Sebelum saya akhiri tulisan ini, suka saya mengucapkan tahniah kepada Pengurusan TDM Berhad kerana telah berjaya membawa kembali TDM ke kaunter patuh syariah di Bursa Malaysia. TDM telah menjadi kaunter tidak patuh syariah semenjak 2014.

Oleh itu, angka yang besar dalam bajet, tidak semestinya akan memberikan pulangan yang besar. Ia berkenaan bagaimana menguruskan sumber yang ada dengan efisien. Adakah kita bangga, rakyat miskin dapat lebih sedikit ‘one-off’ tetapi wang rakyat secara pukal hilang dalam projek-projek yang kemudiannya tidak kembali memberikan hasil kepada rakyat? Lebih malang, hutang pun tak dilangsai. Mungkin kita boleh berfikir, suara siapakah sebenarnya yang lantang marahkan Kerajaan Negeri. Adakah suara rakyat bawahan atau suara pengejar projek?

Mohd Nasir Abdullah
27 November 2020

Tiada ulasan:

Menjunjung Kasih Titah Agong; Fokus Tangani Covid-19

KUALA TERENGGANU - Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, ...