Kira-kira 10% hingga 20% individu takut jarum. Namanya ‘Needlephobia’. Jika takut prosedur perubatan dipanggil ‘trypanophobia’.
Tiga tanda seseorang itu takut jarum;
1. Pitam (vasovagal reflex reaction). Pengsan semasa cucuk ubat ini akan
dirawat oleh doktor. Seseorang boleh pitam sekejap dan kembali pulih dalam
tempoh yang singkat. Oleh kerana terlalu amat takut maka saraf bertindak-balas
atas salur darah. Salur darah mengembang dan tekanan darah turun mendadak. Maka
berlakulah pitam.
2. Ketakutan lumrah manusia (Classic phobia)- Tetapi ianya berlebihan takut
sehingga belum cucuk pun sudah meraung melolong. Ketakutan ini mungkin berlaku
akibat daripada pengalaman-pengalaman lalu yang dihadapi oleh seseorang.
Tanda-tanda ketakutan jarum seperti ini adalah seperti merasa rimas, risau,
gelisah, bernafas kencang ataupun merasa susah untuk bernafas apabila jururawat
menyediakan jarum suntikan.
3. Terlalu sensitif dengan sakit sehinggakan jarum belum pun dicucuk lagi,
hanya disapu kapas alkohol pun sudah menjerit. Semasa proses suntikan, terus
menangis mengalahkan anak kecil. Perasaan ketakutan itu terbawa-bawa
menyebabkan sesuatu yang tak sakit pun dianggap sakit.
Jadi bagaimana cara untuk mengatasinya? Berikut beberapa cara mungkin boleh
membantu anda;
1. Dapatkan maklumat daripada sumber yang tepat dan betul. Jangan membaca dan
percaya maklumat dari media sosial yang mengarut atau dari individu yang memang
sudah anti kepada perubatan.
2. Dapatkan khidmat atau prosedur perubatan itu dari doktor atau premis yang
anda sudah biasa. Langkah ini boleh mengurangkan lagi kerisauan dan rimas anda
berkaitan dengan anggota yang nak suntik.
3. Amalkan teknik pernafasan dan teknik releksasi sebelum suntikan dilakukan.
Anggota yang ingin menyuntik anda boleh membantu supaya anda tenang dan
difikirkan kebaikan.
Soya dan Kanser
Ada pihak bawa cerita makan soya boleh menyebabkan kanser dan siapa yang ada
kanser boleh menyebabkan makin teruk kanser.
Mungkin apa yang dibaca oleh mereka itu tidak di fahami secara keseluruhan.
Mereka nampak saja perkataan hormon estrogen yang diperolehi secara semulajadi
dalam kacang soya itu terus mengaitkan dengan kanser payudara. Atau mana-mana
organ yang boleh dipengaruhi oleh hormon estrogen menyebabkan kanser.
Bahkan ada juga yang bawa cerita bahawa jika lelaki yang makan soya juga akan
menyebabkan jadi pondan, sebab kandungan estrogen yang terdapat di dalam soya
tersebut boleh menjadikan seseorang itu bersifat perempuan. Hormon estrogen
adalah hormon yang utama bagi menjadikan seseorang itu berperangai wanita.
Perlu ditegaskan bahawa estrogen yang terdapat di dalam kacang soya itu adalah
dalam bentuk phytoestrogen yang kekuatannya tidak sama dengan hormon estrogen
yang terdapat dalam manusia.
Bahkan American institute of cancer research menyatakan:
1️. Soya
tidak menyebabkan kanser. Tapak reseptor estrogen untuk isoflavones berbeza
dengan estrogen pencetus kanser.
2️. Bagi
penghidap kanser juga tidak ada bukti kukuh bahawa soya menyebabkan kanser
mereka tumbuh kembali.
3. Banyak lagi kajian lain yang membuktikan bahawa phytoestrogen yang terdapat
dalam tumbuhan tidak sesekali menyebabkan kanser ataupun membuatkan seseorang
itu bersifat keperempuanan.
Jadi minumlah soya. Jangan sesekali terpengaruh dengan fakta
yang tidak tepat.
Dr. Suhazeli Abdullah
15.3.2021
Tengkawang
Rujukan:
Karen Collins. Soy and Cancer: Myths and
Misconceptions. AICR Online. FEBRUARY 19, 2019.
Ulasan