Dewan Muslimat PAS Malaysia ingin mengucapkan syabas kepada pihak polis di atas inisiatif awal untuk menyiasat dan mengesan pelakon dan penerbit pada iklan yang mengaitkan hari raya dengan judi. Namun begitu DMPM mengharapkan bukan sahaja pelakon dan penerbit iklan sahaja yang disiasat dan dikesan, namun yang paling penting pihak syarikat yang membuat iklan tersebut juga mestiah bertanggungjawab atas iklan tidak bermoral tersebut.
2. Judi merupakan suatu kegiatan yang tidak baik dan mendatangkan lebih banyak keburukan dari kebaikan. Walaupun ada syarikat judi berdaftar yang mengadakan kegiatan tersebut namun semua pihak perlu sedar dan mengambil perhatian bahawa banyak kerosakan yang telah diakibatkan oleh kegiatan tersebut. Perkara yang memudharatkan biarpun atas toleransi agama adalah seharusnya diharamkan apatah lagi apabila mereka tanpa segan silu mempromosikan judi kepada umat Islam secara terang-terangan malah dikaitkan pula dengan sambutan hari raya.
3. Hari Raya yang merupakan hari kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa tidak harus dicemari dengan dosa besar yang sememangnya telah dinyatakan Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud
“Mereka bertanya kepadamu ( Wahai Muhammad ) mengenai arak dan judi. Katakanlah : Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.”
4. Islam mengutamakan kesihatan aqal manusia dalam menetapkan hukum. Apabila manusia telah terlibat dengan judi, mereka sudah tidak lagi dapat menimbangkan perkara baik dan buruk secara waras apabila mereka sudah ketagih. Imam Fakhruddin Al-Razi dalam kitab tafsirnya Mafatih Al-Ghaib membincangkan tentang hal ini berkenaan hikmah pengharaman judi adalah kerana ia boleh membawa kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan serta suatu bentuk pengambilan harta orang lain secara batil di samping melalaikan manusia dari mengingati Allah dan mengerjakan solat. Mereka yang terlibat dalam judi akan mempunyai perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga akhirnya harta habis semuanya digunakan untuk berjudi dan sanggup pula menggadaikan anak isteri selain akhirnya berdendam dengan pihak yang menang dan mencetuskan pergaduhan pula. Maka berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan dalam masyarakat.
5. Sesungguhnya perkara ini merupakan suatu ‘wake up call’ kepada semua pihak untuk memperkasa bidang mahkamah Syariah dalam memelihara kesejahteraan umat Islam. Undang-undang jenayah Syariah yang menetapkan denda tidak melebih tiga ribu ringgit dan penjara tidak lebih dua tahun pada mereka yang terlibat dengan kegiatan judi mungkin perlu kepada penambahbaikan hingga membolehkan rasa gerun pada hati seorang muslim untuk terlibat dengannya.
6. Adalah menjadi harapan Dewan Muslimat PAS Malaysia untuk suatu hari Malaysia dapat bebas dari judi. Malaysia harus mencari sumber lain dalam membanyakkan pendapatan negara bagi membebaskan negara dari sumber cukai judi.
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#IslamMemimpinWanitaSejahtera
Yb Senator Ustazah Hjh Nuridah binti Mohd Salleh.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.
17 April 2021 | 5hb Ramadan 1442H.
Ulasan