Cerita Covid 19


lanya aku pun rasa macam berlakon sahaja bila menonton video dari India yang macam cerita Hindi atau Tamil, sengaja nak tunjukkan bahawa keadaan kacau bilau di sana akibat Covid 19. Entah apa-apa jer aku tengok.


Tapi bila sampai kat tempat kerja aku di sini, satu berita yang aku dapat ialah kawan sekerja aku telah kehilangan empat ahli keluarganya hanya berselang beberapa hari sekaligus. Pakcik dan makcik dia, kemudian mak dan ayah dia. Dia sekarang balik kampung cuti kecemasan. 


Kata kawan India aku yang lain, dia ada duit nak beli tabung oksigen, tetapi masalahnya, dia tidak mendapati tabung oksigen untuk dia membelinya bagi ahli keluarganya. Terlalu ramai yang terkesan. Ramai lagi yang bila aku tanya macamana keadaan keluarga mereka, ada yang menjawab OK, masih bagus, tetapi ramai juga yang menjawab, keadaan makin parah kerana sekarang, amat biasa orang kampung mereka diberitakan dijangkiti Covid 19 ini, yang dahulu hampir tiada jangkitan di kawasan mereka.


Begitulah kisahnya di India. Majoriti yang bekerja di tempat aku berasal dari India. Mereka semua dalam keadaan runsing memikirkan keluarga yang jauh di mata.


Di tempat kerja aku pula seorang rakan juga dari India yang dijangkiti, mengalami simptom beberapa hari sebelumnya. Dia seperti tidak mengambil kisah, walaupun rakan-rakan melihat perubahan dirinya. Dan suatu hari, ketika dia sepatutnya masuk bertugas, dia tidak hadir. Rakan-rakan mencarinya dan cuba menghubungi telefonnya, tapi tidak dijawab.


Diminta bahagian pengurusan tempat tinggal kami untuk membuka pintu biliknya setelah diketuk tidak memberikan respon dan kedengaran bunyi telefonnya berdering. Apabila pintu dibuka, dia terlentang tidak bermaya dan tidak mampu mengangkat telefonnya. Dia kekurangan oksigen, dikatakan ketika itu hanya 65 peratus sahaja. Nasibnya baik kerana terjadi pada hari bekerja. Jika pada hari cuti, dia pastinya tidak akan diganggu. Entah apa yang akan terjadi.


Dia dibawakan ke hospital selepas itu bagi rawatan dan berada di ICU selama beberapa minggu. Kini dia sudah discaj dari ICU ke wad biasa, tetapi masih lemah. Doktor menasihatkan dia tidak bercakap, hanya berkomunikasi melalui pesanan sahaja kerana keadaannya tidak membenarkan. Aku diberitahu, keadaan paru-parunya terjejas teruk.


Semalam anak lelaki aku demam panas. Terus aku suruh isteri aku bawa dia berjumpa doktor, bukan hanya membuat andaian sendiri yang itu hanya demam biasa. Alhamdulillah setelah ke klinik, dia disahkan hanya demam biasa. Begitulah sedikit cerita Covid 19. Aku percaya dengan apa yang berlaku kerana melihat dan mendengar sendiri. Semoga wabak ini diangkat Allah, jauh dari kita dan kita menjalani kehidupan yang normal semula selepas ini. Amiin.


Takut dan harap adalah sifat semulajadi manusia. Imam al-Ghazali ada menulis Bab Takut dan Harap ini dalam kitab Bimbingan Mukminin. Kita takut wabak ini makin melebar, maka kita berharap kepada Allah untuk menghapuskannya. Itulah sikap yang benar. Bukannya kita kata kita tidak takut kepada sesiapa pun, bagaikan satu sifat sombong untuk memberitahu dunia bahawa dia seorang yang sangat bertawakkal kepada Allah, kononnya. Berani.


Tidak kah mereka membaca surah al-A'raf ketika mana Nabi Harun tidak berjaya menghalang Musa Samiriy dan kumpulannya daripada menyembah patung anak lembu yang terkenal itu kerana tidak mampu melawan? Apabila dicekik oleh Nabi Musa kerana marah, maka Nabi Harun merayu janganlah diperbuatkan sebegitu kepadanya kerana penyembah berhala itu hanya akan mentertawakan mereka berdua. Nabi Harun terpaksa memikirkan keselamatannya. Maka beliau terpaksa berdiam diri.


Rasulullah juga merasa takut ketika dihampiri Jibril. Nabi Zakaria lari apabila dihambat musuhnya kerana mahu membunuhnya. Rasa takut tidak menjatuhkan maruah seorang nabi kerana ia sifat semulajadi manusia, sama seperti makan dan minum. Allah juga menjanjikan akan menguji manusia dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kemiskinan. Tetapi agak melampau jika seorang manusia biasa, mendakwa tidak merasa takut langsung terhadap apa-apa ancaman, bagaikan lebih hebat daripada para nabi. Over claimed, mungkin?


Mohd Nasir Abdullah

8 Mei 2021

Ulasan