Tohmahan Adalah Andaian Yang Direka

PAS masih berpegang dengan janji "Piagam Muafakat Nasional" 

KUALA TERENGGANU - PAS menafikan tohmahan yang mendakwa, parti itu mahu bersama dengan DAP, PKR dan PAN agar dapat meneruskan pemerintan kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah menyifatkan, ia hanyalah suatu andaian yang direka oleh Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato' Nik Dir Wan Ku. 

"Dalam suasana politik yang agak tegang, inilah yang PAS perjuangkan agar isu ini dapat diselesaikan segera.

" Tidak pernah timbul cerita atau angan-angan untuk PAS bersama dengan DAP, PKR dan PAN agar Perikatan Nasional kekal memerintah," tegasnya.

Bahkan, kata beliau, Umno sebenarnya 'takut kepada pada bayang-bayang sendiri' apabila menuduh Perdana Menteri terdesak. 

" Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke Terengganu untuk lawatan kerja,  Presiden PAS pula Duta Khas beliau yang dinasihatkan doktor untuk berehat di rumah.

"Jadi tak timbul persoalan Perdana Menteri terdesak," jelasnya dalam satu kenyataan media, semalam. 

Menurutnya, Umno tidak perlu bimbang dan sangsi kerana kata beliau, parti Islam itu masih berpegang dengan janji "Piagam Muafakat Nasional" yang disepakati pada 14 September, 2019.

"tak perlu takut sebenarnya. PAS dan UMNO masih dalam Muafakat Nasional. Saya dan Dato' Nik Dir pernah sama-sama menjadi Pengerusi majlis pada malam Himpunan Penyatuan Ummah di Terengganu." 

"Muafakat Nasional masih ada, marilah kita sama-sama satukan parti Melayu Islam agar kuat. Kita jemput pula parti bukan Melayu Islam yang tidak ekstream dalam Perikatan Nasional." jelasnya. 

Justeru katanya, tindakan PAS bersama kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin adalah untuk mengembalikan kuasa pemerintahan kepada tangan orang Melayu Islam. 

" inilah roh penyatuan Ummah yang kita bina sejak awal dulu." tambah beliau


Ulasan