KUALA NERUS - Tuan-tuan rumah yang mempunyai kemudahan 'telaga tiub' atau perigi di mana-mana kawasan terputus bekalan air diminta agar menguar-uarkan kepada jiran tetangga, supaya dapat membantu membekalkan sumber penting itu.
Ketua Muslimat DUN Buluh Gading, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, walaupun lori-lori telah beroperasi untuk menghantar bantuan air bersih ke kawasan masing-masing, tetapi ianya masih tidak mencukupi.
"pemandu lori dan petugas ini tidak duduk diam, pusing keliling' 24 jam di semua kawasan yang terlibat, memang tidak mampu,
"malahan bukan dari Terengganu sahaja, lori dari luar juga sudah datang membantu," jelas beliau yang Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri, ketika dihubungi semalam.
Tuan Roslina berharap agar para isteri menghadapi situasi terputus bekalan air tersebut agar tabah dan sentiasa bersabar.
"Ada hikmah ujian ini, mungkin untuk mendidik kita tidak membazir air dan mendidik anak-anak kita untuk berjimat menggunakan air, insya-Allah, Allah Subhanahu Wa Ta'ala permudahkan urusan kita semua",ujar Che Na.
Mengulas lanjut masalah terputus bekalan air, katanya ianya bermula pada 9.00 pagi, 2 Ogos yang melibatkan kawasan Kuala Nerus dan sekitarnya dan kini telah masuk hari kelapan itu.
"Pada mulanya masalah tersebut akan selesai dalam masa 24 Jam tetapi sebaliknya kerosakan yang dialami agak teruk dan memerlukan tempoh lebih lama untuk dibaikpulih," ujarnya.
Justeru itu beliau menyeru agar Muslimat turut berganding bahu, bersama turun padang untuk membantu Muslimin dan anggota Amal, mengagihkan air minuman.
"memahami masalah yang dihadapi, Muslimat PAS Terengganu membantu dengan menghantar 600 kotak air mineral, 1.5 liter ke DUN Buluh Gading," kata beliau
Katanya, Ketua Muslimat To' Puan Zarani Othman, Setiausaha, Raja Endun Raja Ab Rahman dan Rahimah Muda juga Pengarah Ameerah Negeri Terengganu, Zuraida Md Noor telah hadir untuk menyampaikan sumbangan tersebut kepada Pengarah Majlis Tindakan Dewan DUN (MTD) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim.
Ulasan