Ekonomi Bijak, Matang Dan Sejahtera


Al-Quran merupakan petunjuk sepanjang hayat dan sepanjang zaman bagi manusia, maka ia wajib diyakini oleh setiap orang yang beriman. Bahawa Allah SWT yang Maha Adil menunjukkan Maha Kebijaksanaan-Nya. Firman Allah SWT:  

وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَكِنْ يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ٢٧ وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِنْ بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنْشُرُ رَحْمَتَهُ وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ٢٨ 

“Dan jikalau Allah melapangkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, sudah tentu mereka akan melampaui batas di muka bumi; tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya), lagi Maha Melihat (dengan nyata). (27); Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya. Dan (ingatlah) Dialah jua Maha Pelindung, lagi Maha Terpuji. (28)” (Surah al-Shura: 27-28)

Perkara yang dinyatakan dalam ayat di atas menunjukkan betapa Allah SWT itu Maha Bijaksana sebagai Pencipta alam termasuk makhluk manusia yang ditugaskan supaya memakmurkan alam dunia di muka bumi ini. Seterusnya diuji akal dan ilmu mereka yang telah dikurniakan Allah SWT, termasuk dalam menguruskan rezeki kurniaan-Nya yang disebutkan dengan aspek ekonomi bagi memakmurkan bumi Allah SWT. 

Manusia dikurniakan akal dan ilmu, di samping adanya nafsu yang mendorong aktivitinya supaya tidak melampau dan berlaku kesaksamaan. Perkara ini membezakan antara manusia dengan para malaikat yang tidak bernafsu dan berada di alam ghaib. 

Sekali gus membezakan binatang yang bernafsu tanpa akal sehingga bertindak rakus merosakkan diri sendiri dan kawanannya. Malah, binatang juga hidup bukan secara bermasyarakat madani, kerana binatang itu digunakan faedahnya oleh manusia. Manakala tumbuh-tumbuhan, galian dan sumber-sumber lain yang tidak bergerak pula diterokai dan digunakan oleh manusia.

Oleh itu, Allah SWT menetapkan rezeki dengan kadar yang patut sehingga ia tidak melimpah-ruah melampaui keperluan manusia. Hal ini demikian kerana, sekiranya ia melimpah tanpa batas dan kadar yang berlebihan daripadanya, nescaya mereka akan bertindak melampau. 

Sehingga akhirnya boleh merosakkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan alam sekitar. Keadaan ini adalah berpunca daripada nafsu yang melonjak apabila mereka menyalahgunakan akal dan ilmu kurniaan Allah SWT, lalu menyalahgunakan juga rezeki yang dikurniakan kepadanya. 

Dengan kadar yang terhad, kurniaan Allah SWT adalah mencukupi bagi memakmurkan dunia yang ditugaskan kepada manusia. Hal ini dapat dilakukan sekiranya diuruskan dengan baik berpandukan petunjuk Allah SWT, ilmu dan akal yang dimanfaatkan dengan betul. 

Terdapat kalangan manusia yang bijak mengurus dengan kadar kurniaan Allah SWT sehingga menjadi kaya-raya yang mempunyai budiman. Namun, ada juga sebahagiannya yang menguruskan kurniaan Allah SWT itu tanpa akal yang bijak.

Sehingga akibat daripada kekayaannya itu merosakkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan alam sekelilingnya. Akan tetapi, keadaan yang berlaku itu tetap ada hikmahnya kerana faedahnya bukanlah untuk dirinya tetapi untuk orang lain. 

Bahkan, ada juga kalangan manusia yang merosakkan dirinya dan orang lain apabila mereka diberikan kekayaan. Semua perkara tersebut menjadi ujian yang akan dihisab oleh Allah SWT kelak, sama ada mereka bersyukur kepada kurniaan-Nya ataupun kufur terhadap ni‘mat-Nya.

Selain itu, terdapat kalangan mereka yang tidak tahu mencari dan menguruskan rezeki pula menjadi miskin. Walau bagaimanapun, perkara tersebut juga mempunyai hikmahnya yang tersendiri. U

Antaranya mereka dapat berkhidmat kepada yang golongan kaya, namun ada juga rezekinya sekadar untuk meneruskan kehidupan. Jika diberikan kekayaan kepada mereka boleh merosakkan dirinya dan orang lain, di samping mendapat kelebihan bekerja dan bersabar. Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُمْ مَعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ٣٢ 

“Adakah mereka berkuasa untuk membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad). Kami telah menentukan bagi mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini (sebahagiannya Kami jadikan kaya-raya dan sebahagiannya miskin menderita); dan juga Kami telah meninggikan darjat sebahagian daripada mereka daripada darjat sebahagian yang lain dengan beberapa darjat; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka mendapat manfaat daripada sebahagiannya yang lain. Dan rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) itu lebih baik daripada perkara yang mereka kumpulkan.” (Surah al-Zukhruf: 32)

Dan juga firman Allah SWT:

انْظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَلَلْآخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَاتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلًا٢١ j

“Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian daripada mereka ke atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu). Dan sesungguhnya kehidupan di akhirat lebih tinggi tingkatannya dan lebih besar keutamaanya.” (Surah al-Isra’: 21)

Adapun di akhirat kelak, mereka yang bersyukur lebih tinggi darjatnya daripada mereka yang sabar kerana kesyukuran itu lebih mencabar diri seseorang. Firman Allah SWT:

وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ١٣ 

“Dan sememangnya sedikit sekali daripada kalangan hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’: 13) 

Allah SWT juga memberikan petunjuk dalam menguruskan harta kekayaan dengan firman-Nya:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ٧٧ 

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu akan (kebahagiaan) Hari Akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (keni‘matan) duniawi; dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas: 77)

Sehingga ditunjukkan suatu pendekatan yang bijak melalui firman Allah SWT:

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَى عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَحْسُورًا٢٩ 

“Dan janganlah kamu menjadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu, dan janganlah pula kamu terlalu menghulurkannya (boros); kerana akibatnya kamu akan menjadi tercela dan menyesal.” (Surah al-Isra’: 29)

Allah SWT membawa cerita Rasul-Nya, Nabi Yusuf AS yang menasihati pemerintah Mesir supaya berjimat cermat dalam menguruskan rezeki supaya mengambil kira cabaran kemarau yang akan ditempuhi. Hal ini berlaku setelah Baginda AS meramalkan bahawa Mesir akan mengalami kemarau panjang, sebagaimana yang dijelaskan melalui firman Allah SWT:

قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدْتُمْ فَذَرُوهُ فِي سُنْبُلِهِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تَأْكُلُونَ٤٧ ثُمَّ يَأْتِي مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تُحْصِنُونَ٤٨ ثُمَّ يَأْتِي مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ٤٩ 

“Yusuf menjawab: ‘Hendaklah kalian bercucuk tanam dalam tujuh tahun berturut-turut sebagaimana biasa, kemudian apa yang kalian tuai itu hendaklah dibiarkan pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian untuk kalian makan. (47); Kemudian, akan datang sesudah itu, tujuh tahun yang amat sulit (kemarau yang besar), yang akan menghabiskan makanan yang kalian simpan bagi menghadapinya (tahun sulit); kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). (48); Kemudian, setelah itu akan datang pula tahun yang padanya manusia beroleh hujan, dan pada waktu itu mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya).’ (49)” (Surah Yusuf: 47-49)

Nabi Yusuf AS menasihati kerajaan yang bertanggungjawab agar menjaga rakyat supaya berhemat dalam mengurus kerana akan menghadapi masa depan yang tidak menyenangkan. Maka, jangan terpengaruh dengan kalangan mereka yang berakal sempit dan tidak berfikir untuk jangka masa yang panjang disebabkan mereka akan lebih menyusahkan rakyat pada masa hadapan dan kebanyakan rakyatnya pula jahil. 

Lebih malang lagi, mereka hanya berfikir untuk membeli rakyat dengan kesenangan jangka masa pendek dan membuli mereka pada masa hadapan. Kelakukan mereka hanya bagi mendapatkan sokongan tanpa merancang masa depan yang lebih mencabar. 

Sepatutnya ketika usia muda dirancang untuk mengharungi hidup pada masa tua, manakala ketika badan sihat untuk masa sakit dan bencana yang menimpa. Begitu juga, memanfaatkan waktu yang senang untuk menghadapi saat susah, dan bertugas untuk menghadapi masa bersara setelah tua dan uzur.

Adapun konsep ekonomi Islam adalah berasaskan konsep wasatiyyah yang tidak bebas dan terlepas sepertimana liberal kapitalisme dan tidak mengongkong sepertimana sosialisme dan komunisme. Konsep ekonomi Islam juga dikawal oleh aspek rohani iaitu beriman kepada adanya pahala dan dosa serta berwawasan Hari Akhirat yang tiada dalam semua konsep ideologi yang lain.

Contohnya, dalam menjaga hubungan bermasyarakat dari aspek ekonomi Islam maka riba itu diharamkan sekeras-kerasnya, kerana sifat ideologi yang lain tidak berkebajikan dan bertolong-menolong dalam menjana ekonomi. Maka, Islam menyalahi konsep liberalisme yang hanya mengejar keuntungan tanpa perhitungan dosa dan pahala, di samping kurang bersimpati terhadap masyarakat yang lebih besar jumlah mereka yang tidak berpendapatan tinggi. 

Selain itu, Islam juga menolak kongkongan yang keras terhadap pemilikan individu dalam konsep sosialisme dan ekstrem sepertimana komunisme. Demikian itu disebabkan percanggahannya dengan fitrah manusia yang bersifat ananiyah atau kedirian (individualistik). 

Islam membawa konsep wasatiyyah memberikan hak kepada individu dalam kegiatan ekonomi dan hak milik. Pada masa yang sama, diwajibkan hak bermasyarakat dalam kegiatan ekonomi dengan sempadan halal dan haram serta pembahagian kekayaan mengikut kewajipan agama seperti zakat dan lain-lain. 

Justeru, Islam adalah berbeza dengan semua ideologi dan teori yang lain kerana adanya aspek agama dan akhlak dalam kegiatan ekonomi. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا٢٩ 

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian saling memakan (menggunakan) harta-harta sesama kalian dengan jalan yang batil (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kalian, dan janganlah kalian saling berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kalian.” (Surah al-Nisa’: 29)

Dan sabda Rasulullah SAW:

رَحِمَ ‌اللَّهُ ‌رَجُلًا ‌سَمْحًا ‌إِذَا ‌بَاعَ، وَإِذَا اشْتَرَى، وَإِذَا اقْتَضَى. I

“Allah memberikan rahmat kepada seorang yang bersifat penyayang (bertimbang rasa) ketika menjual, membeli, dan mengendalikan urusan (menagih hutang).” (Riwayat al-Bukhari 2076)

Ideologi kalangan yang tidak beriman, sama ada haluan kanan mahupun haluan kiri, tidak mampu mengawal nafsu manusia dengan kemampuan akal dan ilmunya sahaja. Maka, terserlah segala kelemahan ideologi tersebut yang tidak mampu mengawal nafsu kemanusiaan, sehingga manusia menjadi tidak berperikemanusiaan terhadap diri sendiri dan masyarakat dalam aspek ekonomi. 

Malah, memesongkan manusia daripada tujuan hidup yang betul iaitu menggunakan harta sebagai alat untuk mencapai matlamat keredaan Allah SWT, bukannya ekonomi menjadi tujuan hidup sehingga memuja kebendaan tanpa batasan. Dalam bahasa yang lebih mudah, manusia itu makannya hanya untuk hidup dan beramal soleh, bukan hidupnya untuk makan sahaja sehingga hilangnya nilai kemanusiaan. Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ١٥ 

“Dialah Tuhan yang menjadikan bumi itu mudah digunakan bagi kalian, maka berjalanlah di segala penjurunya, dan makanlah sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan-Nya; dan kepada Allah jualah (tempat kembali kalian sesudah) dibangkitkan semula.” (Surah al-Mulk: 15)

ABDUL HADI AWANG 

Presiden PAS


Bertarikh: 4 Jumada al-Akhirah 1443 / 7 Januari 2022

Ulasan