Kerajaan Pusat 'Bakar Habis Kelambu Kerana Nyamuk'


Oleh : Rohayati Ripin 

 KUALA TERENGGANU - Kerajaan Persekutuan diseru menunjukkan pendekatan yang lebih bijak dalam mentadbir negara dan mengelak daripada bertindak secara impulsif, seolah-olah mengambil tindakan tanpa memikirkan kesan jangka panjang, umpama 'kerana nyamuk habis kelambu dibakar'.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Haji Hanafiah Mat berkata, tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan seharusnya berpaksikan pemikiran yang matang dan kesannya terhadap kepentingan rakyat serta pembangunan negara.


"Kerajaan Persekutuan sepatutnya menjadi lebih matang dalam sektor mentadbir negara di mana fahaman politik perlulah diketepikan.


"Rakyat telah memilih dan hormatilah keputusan rakyat. Pada Pilihan Raya Kecil (PRK)P040 yang lepas juga iaitu di Kemaman, rakyat Terenggau telah menghantar isyarat yang jelas.


"Di mana rakyat telah memberikan kepercayaan penuh kepada pemerintahan PAS di Terengganu khususnya dan Perikatan Nasional (PN) amnya bagi mentadbir negeri ini dengan Keputusan 40-0," jelasnya.


Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.


Oleh itu, beliau berharap Kerajaan Negeri akan berusaha dengan segala upaya untuk memastikan royalti minyak, iaitu hak rakyat, dikembalikan kepada rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu.


"Kerajaan Negeri sentiasa memberikan kerjasama yang erat dengan agensi Kerajaan Persekutuan di Peringkat Negeri.


"Namun demi kepentingan rakyat dan kelancaran memacu kerancakan Pembangunan negeri, permintaan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri dijadikan satu alasan kerjasama ini terganggu," katanya.


 Justeru itu, beliau menyeru agar hubungan ini perlu diperkasakan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

Ulasan