Harapan Seluruh Rakyat Terengganu


 Oleh : Eikhwan Ali


Jika tanya saya, Terengganu memang sebuah negeri yang kurang maju dari segi ekonomi. 


Sebab itulah Terengganu tersenarai sebagai salah sebuah negeri kurang membangun (less developed state, LDS) bersama dengan Kedah, Kelantan, Perlis serta Sabah dan Sarawak. 


Saiz ekonomi Terengganu hanya sekitar 2.5% sahaja daripada keseluruhan ekonomi Malaysia - sejak puluhan tahun dahulu lagi.


Tidak ada apa yang perlu dimalukan atau ditakutkan pun untuk mengakui perkara ini. 


Seperti itu juga, mesti diakui bahawa keadaan ini bukanlah baru berlaku setahun dua ini mahupun sepenggal dua ini. Ia berpunca daripada masalah struktural yang telah wujud sejak sekian lama.


Antara yang utamanya ialah akibat daripada ketidakseimbangan fiskal dan peruntukan sumber, jurang infrastrutur, cabaran alam sekitar dan ketidakstabilan politik yang semuanya ini terkait dengan hubungan dan peranan antara Negeri dan Persekutuan di samping faktor-faktor dalam Negeri sendiri.


Kerentanan ekonomi (economic vulnerability) adalah salah satu kriteria bagi LDS. Paling asas, untuk keluar daripada senarai LDS, negeri perlu mempunyai pengeluaran dan sumbangan sektor pertanian yang kukuh serta nilai eksport barangan dan perkhidmatan yang stabil. Sudah pasti ini memerlukan sokongan dasar, modal dan penglibatan yang utuh daripada semua pihak.


Pun begitu, ekonomi bukan satu-satunya kriteria. LDS juga berhadapan dengan cabaran untuk memapankan perolehan hasil, membangunkan sumber manusia dan menyesuaikan dengan persekitaran.


Sebagai contoh dan harus diketahui juga bahawa autonomi fiskal Terengganu adalah yang terendah iaitu di bawah 10% sahaja. Kuasa Terengganu untuk mengawal kewangan sendiri ini adalah sangat rendah jika nak dibandingkan dengan negeri-negeri maju seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang yang mempunyai autonomi antara 55% hingga 70%.


Disebabkan itu, LDS perlu mempunyai ukuran dan sasaran serta keutamaan yang berbeza berbanding dengan negeri-negeri maju. Justeru, pendekatan dan mekanisme dalam menilai prestasinya juga mestilah berlainan. 


Terengganu bertuah apabila dua Perdana Menteri (PM) sebelum ini telah meletakkan batu asas yang kukuh untuk memajukan Terengganu dan LDS yang lain menerusi RMKe-12, dan sewajarnya PM sekarang memberikan sepenuh komitmen untuk merealisasikannya. 


Adalah amat tidak patut jika Terengganu terus dikesampingkan daripada agenda nasional. Prasyaratnya ialah masing-masing Persekutuan dan Negeri mesti menghormati bidang kuasa dan menunaikan hak yang telah ditentukan oleh undang-undang.


Jika Terengganu terus dikekang kuasanya untuk mengawal kewangan sendiri, Terengganu mungkin tidak mampu bergerak jauh dari kedudukannya sekarang. Dalam keadaan pengurusan kewangan Terengganu kini mendapat penarafan yang sangat baik menerusi LKAN dan MyOBI, tidak sepatutnya kekangan seperti itu masih berterusan sekarang.


Alhamdulillah, perhatian terhadap Terengganu menerusi RMKe-12 dan karisma Kerajaan Negeri di bawah teraju YAB DS Dr. Ahmad Samsuri telah berjaya melonjakkan pertumbuhan ekonomi Terengganu secara purata bagi tempoh 2021 hingga 2023 kepada 4% berbanding hanya 1.9% bagi tempoh sepanjang RMKe-11.


Daya tahan Terengganu terhadap herotan ekonomi pada tahun lalu juga adalah amat baik apabila masih bertumbuh sehingga 2.3% (2022: 6.0%), tidak jauh dengan Pulau Pinang yang bertumbuh 3.3% (2022: 13.3%).


Sektor Pertanian juga menunjukkan pemulihan yang memberangsangkan apabila bertumbuh positif kepada 7.4% (2022: -3.3%) yang disokong oleh subsektor tanaman, ternakan dan perikanan. 


Fokus Kerajaan Negeri ketika ini untuk menambah hasil janaan negeri daripada sumber sedia ada dan baharu seperti menerusi industri NR-REE, CCUS dan tenaga boleh diperbaharui juga boleh dijayakan sekiranya wujud kerjasama baik budi antara kedua-dua peringkat kerajaan. 


Begitulah harapan seluruh rakyat Terengganu.

Ulasan