Selepas Keputusan Mahkamah 30 Dis 2007

Tindakan zalim kerajaan UMNO/BN adalah mukaddimah mencapai kemenangan

Ditulis oleh WartawanBuletinonline
Monday, 31 December 2007

Marang, 30 Dis – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang mengatakan bahawa tindakan zalim kerajaan UMNO/BN pada hari ini adalah mukaddimah perjuangan PAS menuju kemenangan.

Beliau mengatakan demikian didalam Ceramah Khas di perkarangan Masjid Rusila yang diadakan sempena perbicaraan Azman dan Suwandi yang dimulakan pada hari ini. Ceramah tersebut telah dihadiri oleh ribuan orang, walaupun diberi notis yang singkat.

Sebelum dari itu, Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pusat, Hanipa Maidin, dengan tegas mengatakan bahawa tidak wujud lagi keadilan didalam mahkamah hari ini. Sewaktu berada dimahkamah Sesyen bagi mewakili Suwandi dan Azman pada hari ini, beliau merasakan seolah-olah beliau berada di planet lain dan dinegara lain, dengan undang-undang yang lain, yang tidak difahami.

Beliau merujuk kepada tuduhan yang dibuat oleh kerajaan UMNO/BN terhadap Suwandi dan Azman adalah satu tuduhan yang boleh dijamin. Bukannya kes-kes yang berbahaya yang tidak boleh dijamin, seperti kes bunuh.

"Malahan ada kes-kes bunuh yang juga dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah" jelasnya.
"Saya tidak kisah dikatakan menghina mahkamah. Dengan apa yang berlaku pada hari ini, mahkamah tidak lagi suci, mahkamah telah menjadi hina" tambahnya Hanipah Maidin

Manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Wan Mutalib Embong, mendedahkan berkenaan satu pasukan telah ditubuhkan oleh polis pada malam berlakunya Insiden Batu Burok yang dipanggil 'Ops Rapat'. Beliau akan didedahkan berkenaan ‘Ops Rapat’ ini, didalam perbicaraan Suwandi dan Azman nanti. Ops rapat adalah dipercayai berkaitan dengan polis-polis yang dikesan memakai reben di lengan yang mempunyai misi untuk tangkap dan khianat terhadap orang ramai.

“Polis telah mengadakan satu kepungan dijalan besar Kuala Terengganu ke Kuantan, memerangkap orang yang hendak hadir ke ceramah BERSIH. Orang-orang yang terperangkap ini dituduh sebagai menghadiri perhimpunan haram” jelas Wan Mutalib

Sehubungan dengan itu, Muhammad Sabu, Naib Presiden PAS mengatakan kerajaan UMNO/BN menggunakan polis dan akta-akta zalim untuk menutup segala kepincangan pemerintahan mereka. Insiden Berdarah Batu Burok adalah kerana polis menghalang ceramah, begitu juga ketegangan yang berlaku semasa Himpunan Aman BERSIH adalah kerana polis melepaskan pancutan air kimia dan gas pemedih mata.

“Rakyat Malaysia telah sedar, orang Cina telah ditipu oleh pemimpin MCA, orang Melayu ditipu oleh pemimpin UMNO dan orang India ditipu oleh pemimpin MIC. Pemimpin UMNO, MCA dan MIC kaya raya, tetapi rakyat menderita” kata Muhammad Sabu.
“Kerana takut akan kalah pada pilihanraya akan datang, kerajaan UMNO/BN menggunakan akta-akta zalim, menangkap dan memenjarakan rakyat, seperti yang dilakukan kepada Azman dan Suwandi” jelas Muhammad Sabu lagi

Ulasan