ADUN dan JKKK berpakat memberikan bantuan kepada mereka yang tidak layak

Foto : Keadaan rumah peneroka Felda Bukit Bading yang tidak mendapat bantuan.
Hulu Terengganu, 7 Jan - Para peneroka Felda Bukit Bading meminta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri, yang juga wakil rakyat Ajil, Dato’ Rosol Wahid campur tangan dan bersikap adil didalam urusan pengagihan bantuan kerajaan kepada mereka yang benar-benar layak.

Ini adalah kerana, sehingga kini, pembahagian bantuan kerajaan, baik ianya berupa barangan keperluan harian, dana khas atau bantuan membaiki rumah hanya dimonopoli oleh mereka yang mempunyai hubungan dengan pemimpin UMNO atau Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sahaja.

Buletinonline dimaklumkan, bantuan membaiki rumah bernilai RM10,000 hanya diperolehi oleh golongan tertentu sahaja walaupun dikira ‘berada’ menyebabkan mereka yang benar-benar layak menerimanya terpinggir.

Bagi peneroka yang tersisih itu, adalah lebih malang lagi kerana Rosol sendiri terlibat meluluskan bantuan yang dikemukakan oleh pihak JKKK kepada mereka yang tidak layak.

Sehubungan dengan itu, Buletinonline juga menerima banyak keluhan dan aduan serupa dari orang ramai. Seorang Pembantu Am Rendah, yang bekerja di Jabatan Perikanan Negeri Terengganu memberitahu bahawa pengagihan rumah-rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) secara percuma di DUN Seberang Takir hanya kepada mereka yang rapat dengan Dato’ Nasir (ADUN Bukit Tunggal) yang juga Pengerusi UMNO Bahagian Kuala Nerus.

Katanya, selain mereka itu(yang mendapat rumah percuma) rapat dengan pimpinan UMNO dan JKKK, mereka juga nampaknya tidak termasuk didalam golongan ‘rakyat termiskin’ kerana mereka mempunyai ‘aset’ seperti mempunyai kereta atau motosikal, malahan ada diantara mereka yang menerima bantuan rumah PPRT itu yang mempunyai pekerjaan tetap dan gaji yang lumayan.

Ulasan

Hj.Sabri : berkata…
Rumah ni telah lama di tinggalkan oleh tuannya yg telah balik dan membina rumah yg lebih besar di kampongnya. Rumah ini di beri sewa dan sekarang di huni oleh penyewa. Penyewa sekarang mendapat segala bantuan yg di beri oleh kerajaan. Tuan asal hanya datang sekali sekala ke Felda Bukit Bading untuk mengambil wang hasil kelapa sawit.