Idris memang tidak suka ‘berkebajikan’ – hanya ‘menyohor’ kebaikan untuk undi


Kuala Terengganu, 27 Jan – Tindakan Menteri Besar Terengganu mengkritik tawaran ‘Negara Berkebajikan’ PAS kepada rakyat menjelang Pilihanraya Umum akan datang kerana memang telah menjadi sifat peribadinya yang tidak suka berkebajikan.

Tanpa melihat dengan teliti kandungan tawaran PAS kepada rakyat, kritikan Idris dan Exco kerajaan Negeri, Wan Hisham Wan Salleh, mencerminkan bahawa dasar kerajaan negeri Terengganu juga bukan dasar yang berkebajikan. Ini jelas kelihatan dengan pelbagai propaganda dipaparkan oleh kerajaan UMNO/BN Terengganu melalui papan-papan tanda, hanyalah ‘menyohor’ untuk undi pilihanraya.


Antaranya sifat Idris yang begitu suka dengan propaganda. Ia hanya ‘menyohor’ untung sebuah ‘hypermarket’ yang berjuta-juta, namun tidak mengambil inisiatif untuk mengembalikan beratus-ratus peluang kerja rakyat Terengganu yang telah dinafikan oleh ‘hypermarket’ tersebut dengan mengambil pekerja-pekerja asing.


Tinjauan Buletinonline ke semua ‘Hypermarket’ yang beroperasi di Kuala Terengganu mendapati bahawa ‘hypermarket’ yang dilawati oleh Idris tersebut adalah yang paling ramai mengambil pekerja asing. Antara dasar ‘berkebajikan’ yang dikemukakan oleh PAS adalah menjamin bahawa peluang kerja kepada rakyat tempatan.

Kerajaan UMNO/BN Terengganu gagal melaksanakan janji Manifesto 2004 yang lalu, yang berjanji akan ‘memperbanyakkan peluang pekerjaan dan mengatasi pengangguran’. Lebih memalukan, kerajaan UMNO/BN Terengganu yang melaksanakan dasar kerja lima hari seminggu adalah meniru ‘program’ negeri berkebajikan PAS yang telah dilaksanakan lebih awal di Terengganu.


Mengulas tentang perkara ini, Ustaz Hj Abu Bakar Abdullah, Pengerusi Lujnah Kebajikan PAS Negeri Terengganu berkata bahawa Idris dan Wan Hisham tidak faham akan maksud ‘negara atau negeri berkebajikan’.


“Dasar berkebajikan bukan program kebajikan, tetapi dasar yang memastikan rakyat mendapat kemudahan dan keselesaan hidup yang sewajarnya’ jelas Ustaz Abu Bakar.


Beliau merujuk kepada perkara ‘Negara Berkebajikan’ didalam ‘Memorandum Negara Islam’ yang pernah dibentangkan oleh Presiden PAS, dimana ‘penghayatan pemerintahan Islam itu adalah bertujuan untuk memakmurkan atau mengisti’markan muka bumi ini dengan kebajikan dan makruf serta mengelakkan kerosakan, pembaziran dan kemusnahan terhadap seluruh makhluk di atas muka bumi ini termasuk alam sekitar’.


Beliau yang juga bekas Exco Kebajikan Kerajaan PAS Terengganu menafikan pemerintahan PAS tahun 1999 hingga 2004 gagal melaksanakan manifesto seperti yang dijanjikan kepada rakyat.


“Kita telah merintis perlaksanaan ‘negeri berkebajikan’ dengan kerja lima hari seminggu, cuti bersalin selama 90 hari dengan gaji penuh dan cuti bagi suami yang isterinya bersalin selama tujuh hari” tambah Ustaz Hj Abu Bakar Abdullah.

Ulasan