Penyokong UMNO akui BN gagal sedia tapak rumah


Foto : Sebuah rumah keluarga miskin di Dun Kemasik.
Kemaman, 7 Jan - Walaupun pemimpin Kerajaan UMNO/Barisan Nasional (UMNO/BN) negeri termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh berbangga dengan pembangunan yang didakwanya amat pesat sekarang, namun rakyat bawahan termasuk penyokong UMNO, mengakui masih ramai yang tersisih.

Lot-lot tanah tapak rumah yang menjadi keperluan utama kehidupan, terutama kepada mereka yang sudah berkeluarga, sepatutnya diutamakan oleh kerajaan negeri yang mendakwa prihatin terhadap masalah rakyat, namun langsung tidak diberikan perhatian.

Situasi itu jelas amat berbeza dengan pemerintahan PAS sebelum ini yang banyak mewujudkan mengagih-agihkan lot-lot tapak rumah sebagai salah satu agenda utama pentadbiran, bagi menyelesaikan masalah rakyat yang sudah berkeluarga dan tidak mempunyai tanah untuk mendirikan rumah kediaman.

Justeru, setelah lebih tiga tahun UMNO/BN memerintah (dikira sampai ke penghujung penggal) menjelang pilihan raya umum ke-12, kegagalan mewujudkan lot tapak rumah kediaman amat dirasai oleh para penyokong UMNO sendiri.

Seawal pemerintahan, bermula pada Mac 2004 lalu, pemimpin UMNO/BN dengan angkuh membatalkan urusan pembayaran untuk menyambung Lesen Menduduki Sementara (LMS) yang dikeluarkan oleh Kerajaan PAS.

Walaupun pemimpin UMNO/BN telah bertindak mengambil balik lot-lot tanah tapak rumah yang telah diberikan oleh kerajaan PAS kepada mereka yang layak, dan mengagih-agihkan semula kepada para penyokong UMNO, namun ia masih gagal memenuhi permintaan rakyat yang tidak bertanah khususnya di kalangan penyokong UMNO.

Ini membuktikan bahawa pemimpin BN begitu ‘khayal’ dengan pembangunan yang mereka canangkan sendiri tanpa menyedari hakikat betapa rakyat lebih memerlukan tanah tapak rumah sebagaimana yang telah dilaksanakan dengan jayanya oleh PAS sebelum ini.

Perkara itu pernah dibangkitkan oleh Ketua UMNO Cawangan Kampung Cabang, Ali Muda pada mesyuarat agung cawangan itu.

Beliau pernah merayu kepada wakil rakyat Kemasik, Dato’ Abu Bakar Ali supaya diwujudkan lot-lot perumahan di kampung itu kerana masih ramai penduduk yang berusia 45 tahun ke bawah, menumpang di atas tanah ibu bapa mereka.

Katanya, tanah kerajaan di kampung itu masih luas yang boleh dijadikan lot tapak rumah untuk penduduk setempat.

Menurutnya, jika kerajaan tidak berbuat demikian, akan ramai lagi golongan terbabit yang terpaksa bersesak-sesak membina rumah di atas tanah ibu bapa mereka.
Abu Bakar hanya menyatakan persetujuan untuk mewujudkan 150 lot kediaman dengan kemudahan asas sambil mengharapkan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan kawasan penempatan.

Namun begitu, sumber UMNO cawangan memberitahu Buletinonline bahawa sehingga kini masih belum wujud penempatan yang dikatakan oleh wakil rakyat berkenaan.

Kawasan penempatan yang ada di DUN Kemasik hanyalah RTB Pekan Air Jernih dan Kampung Jabat yang asalnya anugerah kerajaan PAS kepada rakyat telah `dirampas’ daripada pemilik asalnya.

Tinjauan Buletinonline mendapati, selain penduduk yang terpaksa menumpang tinggal di tanah keluarga untuk membina kediaman, masih banyak rumah yang berkeadaan ‘daif’ dalam kawasan DUN Kemasik walaupun DUN tersebut dianggap sebagai kubu UMNO di Kemaman.

Anggapan itu adalah kerana DUN Kemasik adalah satu-satunya kerusi dalam Parlimen Kemaman yang dimenangi BN dalam pilihan raya umum ke-10 tahun 1999 lalu, yang menyaksikan BN hanya dapat mempertahankan tiga lagi kerusi di DUN Terengganu iaitu Ajil dan Telemong di Hulu Terengganu, dan Seberang Takir bagi Parlimen Kuala Nerus.

Ulasan