Pembalakan Haram – Pemimpin UMNO kena tanya anak buahnya

Dungun, 30 Jan – Sandiwara umpama ‘permainan silap mata’ berlaku didalam laporan tentang pembalakan haram yang berlaku di luar kawasan dibenarkan di kawasan Hutan Simpan Bukit Bauk, dekat sini.
Tinjauan BuletinOnline ke lokasi berkenaan mendapati bahawa kawasan ‘beta’(tempat himpunan kayu balak sebelum dibawa keluar) telah direntang dengan tali dan terdapat notis yang bertulis ‘kayu balak disita’.Melalui pemerhatian yang dibuat, ‘kerja haram’ tersebut telah lama dilakukan oleh satu ‘sindiket pakatan’ yang terancang.
Menurut sumber BuletinOnline, kerja-kerja mencuri balak tersebut telah dimulakan sejak musim tengkujoh bermula, sekitar bulan November tahun lalu. Kerja-kerja mencuri hasil negeri itu dilakukan pada masa tersebut kerana ‘menjadi kebiasaan’ penguatkuasa Jabatan Perhutanan tidak membuat pemeriksaan rutin kerana syarikat-syarikat yang diberikan lesen yang sah biasanya menghentikan kerja-kerja pengeluaran balak dimusim hujan.
Bukti terdapat ‘pakatan sindiket’ didalam kerja-kerja haram mencuri balak tersebut adalah, ‘beta’ terletak ditepi jalan Che Lijah – Durian Mentangau, tidak jauh dari Kampung Serdang. Kawasan ‘beta’ tersebut hanya terletak kira-kira 800 meter dari tapak penempatan dan operasi salah sebuah kontraktor pembinaan Lebuhraya Pantai Timur(LPT).
Oleh yang demikian, pergerakan keluar masuk penebang-penebang balak serta aktiviti jentera berat yang digunakan untuk mengangkut kayu dari kawasan sekitar, pasti dapat dilihat dengan jelas dari tapak pembinaan yang berada diatas bukit. Aktiviti haram tersebut juga pasti disedari oleh penduduk kampung Serdang memandangkan tidak banyak kenderaan yang melalui jalan utama, kerana jalan tersebut sedang dinaiktaraf.
Sumber itu berkata lagi, sekurang-kurangnya dua orang pimpinan UMNO peringkat Kampung Serdang didakwa terlibat didalam sindiket pakatan tersebut. Manakala modus operandi pengeluaran kayu haram adalah menggunakan pekerja-pekerja Indonesia secara tidak sah. Kayu-kayu telah diangkut melalui jalan Che Lijah ke Bukit Besi, ke sebuah kilang papan yang dipercayai milik ‘orang Melayu’
Sehubungan dengan itu Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Ramli ketika dihubungi oleh BuletinOnline merasa kesal kerana pihak berkuasa kerana terlalu lambat bertindak, dan ia boleh menimbulkan syak wasangka rakyat terhadap ketelusan pihak berkuasa.
Beliau juga mengecam pimpinan UMNO Terengganu yang mendiamkan diri, sedangkan berjuta ringgit hasil negeri telah dicuri.
“waktu kita jadi kerajaan dulu, mereka bising-bising pasal balak. Pembalakan yang sah dikeluarkan oleh kerajaan negeri, dianggap sebagai prosedur yang tidak sah.” Kata Wan Hassan.
“Kerajaan dituduh merosakkan alam sekitar, UMNO sanggup membelanjakan beribu-ribu ringgit ketika itu menyewa helikopter untuk memburuk-burukkan kerajaan,
“Tapi sekarang bila orang benar-benar curi kayu, curi hasil negeri, tak ada seorang yang pun yang buat komen” jelas beliau yang juga bekas Exco kerajaan Negeri Terengganu.
Sehingga berita ini ditulis, pimpinan UMNO Terengganu tidak membuat apa-apa komen tentang ‘kerja haram’ mencuri hasil kerajaan tersebut.
Untuk rekod ini adalah kes kedua pembalakan haram yang dilaporkan secara rasmi oleh media. Tidak ada apa-apa kenyataan yang dibuat samada pendakwaan dan hukuman diambil keatas kes pembalakan dan pencurian balak di Pulau Redang yang dilaporkan sebelum ini

Pembalakan - Kertas Putih Sudah Jadi Hitam

Kuala Terengganu, 30 Jan – “Kertas Putih mengenai pengurusan hutan serta kegiatan pembalakan semasa pemerintahan Pas sudah siap dan dibentangkan dalam mesyuarat Exco semalam.

Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh mendedahkan kegiatan pembalakan secara tidak terkawal berlaku semasa pemerintahan parti tersebut.Beliau berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melakukan pelbagai tindakan perlu seperti yang disaran oleh jawatankuasa khas yang dibentuk bagi mengkaji keadaan itu, dalam usaha memulihari hutan dan hasil khazanah negeri”
Itulah ungkapan tulisan di dalam al-haqdaily yang senada dengan ucapan Menteri Besar. Kedua-duanya bernada sombong dan angkuh. Begitu juga suara Pemuda UMNO Terengganu ketika yang di ketuai oleh Din Adam, yang menjadi kontorvesi ketika ini. Dibawah diperturunkan kembali tulisan dari Laman Web Pemuda UMNO sekitar September, 2004.

”Pemuda UMNO negeri hari ini menggesa kerajaan negeri agar segera bertindak terhadap laporan kertas putih mengenai aktiviti pembalakan ketika pemerintahan Pas yang didapati berlakunya pembalakan yang tidak terkawal sehingga menyebabkan kemerosotan sumber hutan kekal di negeri itu.

Ketua Pemudanya, YB Hj Din Adam berkata tindakan berupa penyiasatan mesti segera dilakukan agar sebarang salah laku kuasa dan penyelewengan yang berlaku dapat didedahkan dan diheret ke muka pengadilan

“Pembongkaran yang didedahkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini merupakan maklumat awal untuk diketahui bersama khususnya rakyat di negeri ini akan sikap dan juga tembelang Pas yang berselindung di sebalik slogan ‘Membangun Bersama Islam’.

Walhal tidak lama kemudian Menteri Besar sendiri mengaku mengambil balak dizaman pemerintahan PAS mengikut Tender, sebagaimana pengakuan yang beliau buat ketika ditanya oleh para wartawan. Dibawah diulang siar berita terbitan Harakah 6 Januari, 2005

Idris akui ambil balak zaman PAS ikut tender


KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Hrkh) - Walaupun pemimpin Umno negeri lantang menuduh Kerajaan PAS yang memerintah sebelum ini melakukan penyelewengan dalam meluluskan lesen pembalakan, namun Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh mengakui pengambilan hasil hutan ketika itu dilakukan dengan cara tender.

Katanya, majoriti pengambilan hasil hutan dalam kawasan hutan simpan kekal (HSK) semasa kerajaan PAS memerintah mengikut tender. Beliau menyatakan demikian semasa menjawab pertanyaan wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman, semalam.
|
Idris juga teragak-agak untuk memberikan jawaban apabila para wartawan bertanyakan sama ada pengambilan balak semasa pemerintahan PAS mengikut tender atau tidak..

Berikut ialah petikan jawaban Idris kepada beberapa soalan yang dikemukakan oleh wartawan pada persidangan media itu.

Wartawan: Dato’ Seri, yang disebut pasal tender terbuka bagi pengambilan hasil hutan dalam HSK kepada kilang papan kelas A dan B, serta pengambilan hasil hutan dalam hutan tanah kerajaan (HTK). Masa dahulu (kerajaan PAS) tidak ada tender ke atau pakai sebut harga sahaja?

Idris: Jabatan Perhutanan pada masa itu mengatakan perlu dibuat tanpa tender, jadi ada lagi klause yang membolehkan, tetapi majoritinya, tenderlah.

Wartawan: Dasar baru ini dikatakan secara tenderlah?

Idris Jusoh: Ya, lebih teluslah.

Wartawan: Dahulupun (zaman PAS) ada tenderkah atau tidak ada?

Idris: Dahulu banyak, tidak tahulah, dahulu banyak perkara sangat, dahulu banyak hal sangat tu.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Disember lalu, kerajaan BN negeri telah mengemukakan laporan Kertas Putih Perhutanan Negeri Terengganu.
Bagaimanapun, kertas putih yang bertujuan untuk mendedahkan kononnya berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan kerajaan PAS dalam meluluskan pengambilan hasil hutan tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya kertas putih itu telah membersihkan imej kerajaan PAS daripada tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin Umno negeri berhubung perkara itu.

Bahkan, usul yang dikemukakan oleh Adun PAS Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut supaya kertas putih itu dibahaskan pada persidangan Dun 7 Disember lalu telah ditolak oleh Yang Dipertua Dewan, Dato’ Che Mat Jusoh.

UMNO/BN cuba menafikan rekod cemerlang kerajaan PAS didalam Kaedah Pengurusan Hutan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Abdul Rashid Mat Amin, ketika kunjungannya ke Kemaman pada September 2003 telah memuji kerajaan dan Jabatan Perhutanan dengan menyifatkan amalan pengurusan hutan Terengganu sejajar dengan ketetapan –ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Perhutanan Negara. Beliau turut memuji kerajaan negeri mewartakan seluas 538,667 hektar atau 42% keluasan tanah negeri sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).
Apabila UMNO/BN memerintah sekarang, Idris telah isytiharkan Hutan Simpan Kekal Bukit Bauk yang termasuk didalam hutan simpan kekal yang diwartakan oleh kerajaan PAS sebagai ‘Rimba Bandar’. Selepas itu, pada minggu lepas, terbongkar pula kegiatan pembalakan haram di Hutan Simpan Bukit Bauk.

Begitulah perangai kepimpinan UMNO negeri yang ‘gelojoh’ dan sering berbohong. Sehingga kini, sudah 3 tahun berlalu, tidak ada walau setengah orang pun yang didakwa atau diambil tindakan setelah ‘Kertas Putih Pembalakan’ dibentangkan !




Ulasan