Ahmad Said selamat terima watikah, Pemuda UMNO buat Himpunan Haram
Kuala Terengganu, 23 Mac – Dato’ Ahmad Said selamat menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar Negeri Terengganu di Istana Tamu(Al-Muktafi BiLlah Shah).
Majlis perisytiharan dan penyampaian watikah ringkas disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.
Ahmad Said menerima watikah tersebut pada jam 8.15 pagi dan kelihatan meninggalkan istana pada jam 8.30 pagi, tanpa menemui pemberita.
Sebelum dari itu, Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu menyerahkan memeorandum 23 Adun BN kepada setiausaha MPPR Shafie Ali pada jam 7.55 pagi.
Dalam perkembangan lain, penyokong-penyokong Idris yang kebanyakkan datang dari Besut dilaporkan berhimpun di kediaman Idris dan juga Seri Iman di Batu Burok.
Sekitar jam 9.45 pagi, Rosol telah mengadakan satu sidang akhbar di perkarangan Seri Iman.
Rosol menyatakan, selain boikot, mereka juga merancang mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN)
Beliau juga memberitahu pihak media bahawa wakil-wakil rakyat berkenaan juga sedia meletakkan jawatan jika diperlukan berbuat demikian.
Bagaimanapun, apabila pemberita memaklumkan kepada beliau bahawa mereka yang telah meletakkan jawatan, tidak boleh bertanding semula, Rosol menjadi tersentak dan spontan menjawab "tengok dulu".
Selepas sidang media tersebut, kira-kira 100 penyokong Idris berarak keluar dari Seri Iman dan menyeberangi jalan menuju ke Taman Awam Batu Burok, sambil mengangkat kain rentang berbunyi "Kami menyokong penuh kepimpinan Dato’ Seri Idris Jusoh" dan “Terengganu masih diperlukan Dato’ Seri Idris Jusoh”
Ahmad Said Dilantik Menteri Besar Terengganu – Puak Idris akan tentang habis-habisan
Kuala Terengganu, 22 Mac - Pelantikan Dato’ Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu akan ditentang habis-habisan oleh kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar, Idris Jusoh.
Pejabat Sultan Terengganu hari ini, telah mengeluarkan kenyataan melantik Ahmad Said, 51, anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kijal sebagai Meneteri Besar dab akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Tamu di sini jan 8 pagi esok.
Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu telah berlarutan selama 14 hari selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.
Spekulasi mengenai pelantikan Menteri Besar Terengganu bermula ekoran Idris gagal mengangkat sumpah, berikutan Majlis Angkat Sumpah jawatan Menteri Besar dan anggota exco kerajaan negeri yang dijadual berlangsung di Istana Maziah pada 10 Mac ditangguh pada saat-saat akhir.
Situasi itu menimbulkan tanda tanya berhubung kedudukan Idris dan beberapa nama disebut-sebut bakal menggantikan beliau sebagai Menteri Besar antaranya Ahmad, wakil rakyat Chukai Datuk Mohamed Awang Tera dan anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu Datuk Abdul Rahin Mohd Said.
Sehubungan dengan itu 23 anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) Terengganu yang dianggap kumpulan Idris Jusoh bertindakbalas mengugut pihak istana, akan memboikot majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Tetamu di sini, pagi esok jika Dato’ Seri Idris Jusoh tidak dilantik semula untuk memegang jawatan itu.
Kumpulan tersebut yang diketuai oleh Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata kesemua wakil rakyat terbabit kecuali wakil rakyat Kijal Datuk Ahmad Said, hanya menyokong Idris Juosh dan akan membuat bantahan jika nama lain diumum sebagai Menteri Besar.
Beliau berkata ada di kalangan wakil rakyat terbabit yang sanggup meletak jawatan jika Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.
Beliau juga berkata semua wakil rakyat BN Terengganu kecuali Adun Kijal telah mengadakan perjumpaan dan kami ingin menegaskan bahawa kami sebulat suara menyokong dan berdiri teguh di belakang Datuk Seri Idris sebagai Menteri Besar Terengganu. Tiada calon lain yang kami sokong.
"Jadi mana-mana perancangan untuk menamakan selain daripada Datuk Seri Idris, kami tidak akan menerimanya. Kami sebulat suara tidak akan menghadiri majlis tersebut (angkat sumpah jawatan Menteri Besar) jika Datuk Seri Idris tidak dilantik sebagai Menteri Besar," katanya pada sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar Seri Iman di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu empat orang ADUN Terengganu, telah membuat sidang akhbar di sebuah hotel jam 6 petang ini. Kempat-empat mereka adalah ADUN Jabi, Ramlan Ali, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohd, ADUN Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail dan ADUN Alor Limbat Alias Abdullah.
Dalam sidang akhbar tersebut mereka mendakwa telah dihubungi oleh seseorang yang mendakwa wakil kepada Ahmad Said dan telah ditawarkan wang sebanyak RM 300,000.00 serta jawatan Exco kerajaan.
Justeru mereka akan membuat satu laporan kepada pihak Bdan Pencegah Rasuah(BPR) berkenaan ‘tawaran’ tersebut.
Dalam perkembangan lain, desas desus dari Kemaman mengatakan bahawa beberapa pegawai BPR telah menyoal siasat Ahmad Said pada petang ini.
Kiriman SMS juga telah melayang-layang keudara yang mendedahkan beberapa kes rasuah yang dikatakan melibatkan Ahmad Said.
Beberapa penerima SMS berpendapat bahawa SMS tersebut dikeluarkan oleh kumpulan yang menyokong Idris Jusoh.
ADUN Wakaf Mempelam, Hj Mohd Abdul Wahid Endut ketika diminta mengulas perkara diatas menyatakan bahawa pihak istana tidak membuat jemputan kepada wakil-wakil rakyat untuk hadir ke majlis angkat sumpah Menteri Besar esok.
“Saya telah menghubungi pihak Istana dan mereka mengesahkan tidak ada jemputan dibuat,
”ugutan Rosol Wahid adalah hanya cakap-cakap politik kumpulan yang kecewa” kata Hj Mohd Wahid.
Sehubungan itu, beliau yang juga Bendahari Perhubungan PAS Terengganu berkata PAS akan mengikuti rapat isu terbaru ini dan akan melihat perkembangan lanjut setelah majlis angkat sumpah Menteri Besar esok.
Ulasan