Mahathir Keluar UMNO



Tok Guru Nik Aziz Paling Gembira

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau orang paling gembira di dunia dengan keputusan itu kerana ini memberi perangsang kepada PAS memperkukuhkan pengaruh politiknya.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau menghormati Dr Mahathir sebagai tokoh pemimpin yang terkenal di seluruh dunia dengan mempunyai pemikiran yang tajam dalam membawa kemajuan negara.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baharu, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan mengenang jasa Dr Mahathir berhubung isu Palestin dengan menuduh rejim Zionis sebagai punca dunia Arab berpecah belah.

PAS sentiasa memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk menyertai parti itu kerana ketokohannya dan kebijaksanaannya akan memberi kelebihan pada PAS, katanya ketika mengulas tindakan Dr Mahathir keluar Umno berkuatkuasa serta merta.

Kenyataan penuh Dr. Mahathir

HARI ini, Mei 19, 2008 saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar daripada UMNO. Isteri saya turut bersama.

Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.

UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.

Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.

Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.

Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.

Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.

Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.

Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.

Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.

Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.

Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12.

Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah.

Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi.

Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.

Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan.

Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.

Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)
Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali (bekas ahli UMNO No 2)


“Keadaan Umno kini sangat parah" – Kenyataan Presiden PAS

TINDAKAN Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohammad mengumumkan keluar dari Umno hari ini merupakan satu tindakan yang radikal sekaligus membuktikan betapa Umno kini berada dalam keadaan yang sangat parah, dengan penyakit rasuah, amalan tidak demokratik dan penipuan yang bukan hanya diamalkan dalam pilihan raya malah sesama mereka sendiri di dalam parti.

PAS merasakan tindakan Tun ini turut membuktikan yang Umno sudah tidak layak lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi penyelamat negara, bangsa Melayu dan agama Islam.

PAS sentiasa tegas dan konsisten dengan Islam sebagai penyelamat kepada bangsa Melayu dan negara seluruhnya. PAS sentiasa terbuka kepada semua pihak yang bersedia melakukan "islah" atau perubahan samada ianya Pakatan Rakyat yang sedia ada atau pihak Umno sendiri yang bersedia melakukan perubahan dengan syarat-syarat berikut:

1. Pihak berkenaan hendaklah mengekalkan kepimpinan Melayu Islam yang baik.

2. Berlaku adil kepada semua rakyat pelbagai kaum dan agama sebagai penyelesaian kepada masalah masyarakat majmuk.

3. Perpaduan Melayu mestilah dipelihara berasaskan Islam manakala perpaduan rakyat pelbagai kaum,dan agama dibentuk berasaskan keadilan dan hak yang adil buat semua.

4. Proses prubahan hendaklah berlaku secara berakhlak, luhur dan berlandaskan etika yang baik.

PAS sangat berpengalaman dalam arus politik negara dalam apa sahaja situasi dan keadaan sejak Merdeka sehinggalah ke hari ini. PAS pernah memimpin kerajaan negeri, menyertai kerajaan campuran diperingkat pusat, bekerjasama dengan pakatan pembangkang dan malah pernah bersendirian sebagai pembangkang.

PAS akan mengkaji pengalaman ini dari masa ke semasa, bersama Pakatan Rakyat dan jika perlu menegur Pakatan Rakyat disamping memberi perhatian dan mengkaji perubahan yang sedang berlaku dalam Umno pasca pilihan raya, demi menyusun langkah dan strategi yang sebaik-baiknya demi masa depan negara.


Sanusi Junid ikut jejak Dr M

Veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid turut mengikut jejak Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari Umno."Saya akan buat kenyataan lengkap saya sendiri nanti. Buat masa ini, cukuplah kalau saya katakan saya juga sudah keluar Umno,” kata beliau

Mstar melaporkan Sanusi yang merupakan antara pengikut setia Dr Mahathir dan bekas setiausaha agung Umno ketika krisis parti 1988 enggan memberikan ulasan lanjut.

Senarai kenyataan Mahathir sejak PRU 12.

Mstar juga menyenaraikan beberapa kenyataan 'pedas' Mahathir sejak pilihan raya umum ke-12 seperti dibawah;

22 Mac: Ahli-ahli parti tidak boleh percaya kepada satu individu sahaja dengan memberikan kuasa yang begitu besar sehinggakan seorang ahli yang menegur Presiden akan didakwa tidak menghormati ketua.

22 Mac: Mencadangkan supaya majlis penasihat presiden itu dianggotai profesional dan ahli UMNO berwibawa tetapi bukan yang dilantik oleh UMNO bahagian supaya dapat berfungsi secara bebas.

28 Mac: Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno sewajarnya dipertandingkan jika ada ahli parti yang mahukan perubahan."Ya, kalau ada perasaan ahli-ahli supaya ada perubahan. Kehendak ahli mesti dilayan.Kita tak boleh ketepikan kehendak ahli-ahli dan tidak memberi peluang kepada mereka dengan tidak mengadakan pemilihan dan sebagainya. Itu salah."

30 Mac: "Pada masa dulu, sistem kuota itu bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada pemimpin parti yang benar-benar ingin bertanding dan untuk mendapat pencalonan dari 60 bahagian bagi bertanding jawatan presiden adalah mudah.

"Tahun 2004 menyaksikan ia disalahgunakan di mana bekas Naib Presiden Umno yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang ingin bertanding untuk jawatan presiden Umno hanya mendapat satu pencalonan sahaja itupun dari bahagiannya sendiri."

30 Mac: "Tidak ada kebebasan di dalam UMNO sekarang dan sebab itu sistem kuota perlu dimansuhkan kerana mereka berpendapat melawan Presiden merupakan satu penghinaan.

"Semasa saya menjadi Presiden UMNO, Tengku Razaleigh mendapat pencalonan daripada 60 Bahagian UMNO dengan mudah dan mereka bebas untuk berkempen di seluruh negara untuk menghentam saya."

01 April: Sudah berubah fikiran dan tidak lagi berpendapat Datuk Seri Najib Razak adalah calon paling layak mengambil alih jawatan Perdana Menteri akan datang.

01 April: Umno perlu dipulihkan bagi mengembalikan keyakinan rakyat, terutama orang Melayu terhadap perjuangannya dan Abdullah, katanya, perlu faham mesej daripada rakyat yang mahukan beliau mengundur diri.

06 April: "Saya tidak ada niat hendak menjadi Presiden Umno, sekali lagi atau Perdana Menteri untuk kali kedua, tetapi sebagai anggota Umno dan sebagai rakyat Malaysia saya berhak bersuara."

06 April: "Saya akan berhenti, Saya akan berhenti (daripada bercakap). Secara jujur saya akan berhenti jika mereka akan berhenti melakukan apa yang salah yang telah menyebabkan Umno mempamerkan prestasi buruk pada pilihan raya umum baru-baru ini."

7 Mei: Meminta BN mengambil serius tentang kemungkinan pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan dalam masa terdekat. "Saya fikir ini ada kemungkinan (pertukaran kerajaan) yang tidak boleh kita abaikan."

15 Mei: Sudah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan mengenai isu-isu semasa. "Najib sudah jumpa saya ... dia (Abdullah) tidak halang. Selepas saya tegur kata Abdullah tak bagi, dia pula kata tidak menghalang, lepas itu, baru saya jumpa dengan Najib."

17 Mei: Sedia disiasat dan didakwa di mahkamah berikutan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video Datuk V. K. Lingam. "Saya nak cerita berkenaan hakim yang melobi saya dan kalau melobi ini adalah satu perkara yang salah, maka hakim ini juga patut disiasat.”

17 Mei: Mengibaratkan UMNO sebagai magnet yang mampu menarik parti-parti komponen lain untuk memperkukuhkan BN."Berdasarkan pengamatan saya, UMNO yang lemah tidak mungkin dapat menubuh serta memimpin sebuah kerajaan yang berwibawa. Ini kerana UMNO merupakan sebuah parti yang menunjangi pemerintahan negara di bawah naungan BN."

Reaksi pemimpin UMNO

Setelah Mahathir mengumumkan keluar UMNO serta merta petang tadi, beberapa orang kuat UMNO membuat komen spontan seperti berikut ;

Ali Rustam minta tarik balik keputusan
Ali Rustam meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik balik keputusan beliau untuk keluar parti demi kepentingan UMNO.

Najib harap ahli UMNO bertenang
Najib Razak berharap ahli UMNO bertenang dan usaha untuk memulihkan parti. Dia Terkejut dan sedih.

Musa Hitam - Duri dalam daging sudah terkeluar
Musa Hitam menyifatkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan UMNO bererti ‘duri dalam daging sudah terkeluar. Dalam jangka pendek kita semua dalam UMNO telah kesesatan jalan – Utusan

Ku Li kekal Umno untuk cabar Pak Lah
Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan ikut jejak Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bekas Menteri Kewangan itu memberitahu, beliau tidak berhasrat meninggalkan Umno, sebaliknya akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti itu Disember ini – mStar

Azalina Othman Said berkata tindakan itu tidak menyelesaikan masalah , sebaliknya hanya akan memberikan kelebihan kepada pihak pembangkang.

Abdullah - Saya tidak akan tunduk desakan Dr. M
Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak akan tunduk kepada desakan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno

Muhammad Muhd. Taib, turut terkejut, menganggap ia sebagai hak beliau (Mahathir) untuk berbuat demikian.
Ketua Puteri Umno Noraini Ahmad - ia bertentangan dengan tunjuk ajar yang beliau berikan kepada pemimpin muda sebelum ini.

Syed Hamid Albar berkata, tindakan Dr Mahathir untuk keluar Umno akan memburukkan lagi keadaan ketika parti sedang melalui suasana sukar.

Ulasan