Bajet 2009 - Walaupun banyak inisiatif, masalah ‘orang kampung’ tidak selesai


Kuala Nerus - Walaupun bajet 2009 dilihat ramai pihak banyak memberikan faedah, namun ia tidak menyelesaikan masalah asas kehidupan masyarakat di kampung-kampung sekarang yang terhimpit dengan kenaikan harga barang.

”Walau bagaimana pun kita ucap terima kasih, sebab tahun lepas kakitangan kerajaan tidak ada bonus,”kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ariffin Deraman ketika berucap dalam majlis ceramah sempena kedatangan Ramadhan di Kampung Lerek, dekat sini.

Menurutnya walaupun pelbagai peruntukan disediakan dalam bajet 2009, tapi tidak ada bajet khas yang diperuntukkan golongan belia dan muda dalam kali ini.

Beliau berkata hanya kakitangan kerajaan yang mendapat banyak faedah, sedangkan sedikit sahaja yang diperolehi oleh rakyat biasa


Beliau berpendapat sepatutnya harga minyak diturunkan lagi kerana menurutnya kenaikan harga minyak pada bulan Jun lalu menyebabkan semua harga barangan dan perkhidmatan melonjak tinggi, termasuk barang-barang ‘kawalan’.

”Barang-barang besi misalnya, asalnya barang kawalan tetapi tidak dapat dikawal oleh kerajaan, sehingga sekarang ni, (para) peniaga walaupun ayam menjadi barangan kawalan, tetapi mereka menjual lebih dari harga syiling,”tambah Ariffin mengulas tentang Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen semalam.


Ariffin berpendapat Bajet 2008 tidak akan dapat mengurangkan kadar inflasi yang naik mendadak kesan dari kenaikan harga minyak.

”Asalnya 3.8%, dua bulan yang lalu, sekarang ini inflasi 8.5%, inflasi menjadikan kuasa beli kita menjadi
kurang, kalau dulu pitih seratus boleh beli banyak barang, tapi sekarang ni pitih seratus, sikit sahaja barang boleh beli,”jelas Ariffin.

Beliau berkata kerajaan baru-baru ini menurunkan harga minyak secara tergesa-gesa sebanyak 15 sen kerana tekanan politik yang dihadapi dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Namun begitu, menurut beliau, walaupun telah lebih seminggu harga minyak turun 15 sen, tidak ada satu pun harga barang-barang yang turun, sebaliknya hari ini tambang bas mengalami kenaikan sebanyak 30 peratus.

Ulasan