Dua Cawangan Di Hulu Terengganu Calonkan Ku Li


Hulu Terengganu - Hasrat Ahli Parlimen (MP) Gua Musang YBM Dato’ Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bertanding sebagai Presiden Umno pada pemilihan parti Disember nanti semakin mendapat sokongan.

Terbaru, dua cawangan Umno di Hulu Terengganu, iaitu Cawangan Umno Kampung Pauh dan Tengkawang dan Cawangan Tok Muncung, Wakaf Tapai, Bahagian Marang telah mencalonkan Ku Li sebagai lawan kepada penyandang, Dato’ Abdullah Ahmad Badawi yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia.

Ketiga-tiga cawangan tersebut yang melakukan mesyuarat pada 8 Ogos baru-baru ini telah melafazkan sokongan penuh terhadap Ku Li sebagai calon Presiden bagi mengantikan Abdullah Badawi. Lebih menarik, semua ahli cawangan terbabit memberikan sokongan sebulat suara di atas pencalonan tersebut.

Ketua Cawangan Umno Kampung Tengkawang, Mohd Adam berkata, mesyuarat di cawangannya berlansung dalam keadaan terkawal dan tidak timbul sebarang penentangan apabila ada cadangan Ku Li sebagai calon presiden.

“Ini adalah kehendak majoriti ahli akar umbi. Semua bersetuju dengan cadangan yang dibuat dengan memberikan sokongan sebulat suara.

“Dengan keputusan tersebut, adalah menjadi tanggungjawab saya selaku Ketua Cawangan dan perwakilan yang terpilih ke mesyuarat Bahagian nanti akan mencadangkan supaya Bahagian Hulu Terengganu akan mencalonkan Ku Li sebagai Presien Umno yang baru.” Katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau bersama Ketua Cawangan Kampung Pauh serta semua ahli jawatankuasa telah bersepakat meletakkan Ku Li sebagai calon. Ini merupakan satu keperluan sekiranya mahu melihat keutuhan dan kekuatan parti semakin kukuh.

AJK Cawangan Kampung Pauh, Abdullah Sulong turut menyokong saranan dan ketetapan yang telah dibuat oleh cawangannya. Baginya, ahli Umno mesti berani melakukan perubahan demi menyelamatkan parti. Malah, parti bukanlah milik individu dan perlu pembaharuan dari semua aspek, termasuk kepimpinan.

“Kita perlukan perubahan. Pemimpin yang ada telah menjadikan Umno seolah-olah milik mereka. Lihat sahaja bagaimana rakyat dipermainkan dalam isu peralihan kuasa?. Semua itu retorik politik di peringkat tertinggi tanpa memikirkan nasib ahli akar umbi,” katanya lagi.

Katanya, ramai ahli Umno tidak setuju dengan konsep peralihan kuasa sebagaimana yang dicadangkan oleh Perdana Menteri. Ianya bukan sahaja tidak efisyen, tetapi telah melanggar etika dalam perlembagaan Umno itu sendiri.
“Ramai yang tidak setuju, tetapi mereka bimbang dan takut untuk membuat pilihan. Sebagaimana kata Ku Li, ahli Umno tidak berani melakukan perubahan disebabkan ugutan yang diterima daripada pemimpin berpengaruh,” katanya lagi.

Dengan pencalonan tersebut, ia merupakan satu janji yang telah dilunaskan oleh kedua-dua AJK Cawangan tersebut ketika mengadakan majlis bersama Ku Li di sini baru-baru ini. Dan Abdullah Sulong sendiri telah memberi jaminan bahawa beliau akan tetap mencalonkan Ku Li sebagai Presiden Umno walaupun tidak dilakukan oleh cawangan-cawangan lain.

Mohd Adam menjelaskan bahawa beliau yakin dalam keadaan situasi sekarang, akan ada lagi cawangan-cawangan di sini yang akan mencalonkan Ku Li. Malah katanya, cadangan mencalonkan Ku Li bukanlah dilakukan secara membabi buta. Ia berdasarkan pengalaman Ku Li yang telah lama dalam Umno dan mempunyai karektor yang baik serta berwibawa untuk menerajui parti.

“Kami semua yakin Ku Li merupakan calon yang paling layak menggantikan Pak Lah. PM yang ada sekarang sudah lemah dan tidak berkemampuan mentadbir urus negara. Insyaallah, jika Ku Li menang, situasi kalut dalam Umno dan negara akan pulih kembali,” tambahnya lagi.

Manakala, Cawangan Tok Muncung juga telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ku Li untuk menjadi calon Presiden Umno.

Ulasan