Kemenangan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Kecil P44 Parlimen Permatang Pauh, yang diwakili oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah kemenangan mutlaq yang tidak perlu dipertikaikan oleh samada UMNO, Barisan Nasional (BN) atau mana-mana pihak lain.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata semua pihak perlu menerima hakikat kemenangan Pakatan Rakyat tersebut dan ia perlu dilihat sebagai suatu harapan besar seluruh rakyat yang mahu melihat perubahan lanskap politik Malaysia.
“Kemenangan tersebut adalah manifestai rasa tidak puas hati rakyat yang juga pengundi kepada sistem dan ketidakadilan yang sedang berlaku,”kata beliau yang dihubungi Buletin Online semalam.
“Ia bukan soal ahli-ahli UMNO tidak percaya kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan juga bukan soal perpecahan dalaman UMNO sehingga pengundi memberi undi kepada Anwar sebagaimana yang didakwa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad,”tegas Yahaya mengulas tanggapan Mantan Perdana Menteri itu, berkaitan perkara yang sama.
Beliau yang turut sama berkempen dalam pilihanraya kecil itu berkata, kemenangan Pakatan Rakyat adalah hasil semangat kerjasama dan perpaduan dikalangan petugas Pakatan Rakyat dan sokongan dari para pengundi Permatang Pauh dari pelbagai kaum.
Katanya lagi, kemenangan Pakatan Rakyat itu juga membuktikan bahawa pengundi dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh khususnya lebih memilih isu-isu nasional yang melibatkan kepentingan umum seluruh rakyat sebagaimana yang diutarakan oleh pemimpin dan calon Pakatan Rakyat, berbanding isu-isu peribadi yang meragukan sebagaimana yang di jaja oleh pemimpin UMNO/BN.
Kelmarin, Anwar, 61, diisytiharkan menang dengan memperolehi 31,195 undi sementara lawannya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, mendapat 15,524 undi manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat, 61, hilang wang pertaruhan setelah hanya mendapat 92 undi.
Ekoran kemenangan Anwar banyak pihak terutamanya kepimpinan UMNO/BN menyatkan pelbagai komen dan pendapat.
Rata-rata mahukan BN mengkaji dan membuat ‘post-mortem’ atas kekalahan dengan majoriti yang lebih tinggi dari kemenangan Dato’ Seri Dr Wan Azizah smasa Pilihanraya Umum lalu.
Yahaya yang juga Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu berkata kemenangan Pakatan Rakyat juga membuktikan bahawa para pengundi kini lebih bijak dan khususnya pengundi Permatang Pauh telah menolak politik ‘janji-janji pembangunan’ dan ‘umpan ratusan ribu ringgit’ dari projek-projek segera yang menjadi kebiasaan dan amalan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dalam mana-mana kempen pilihanraya.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Anwar serta PKR dengan kejayaan cemerlang meraih undi terbanyak disetiap peti undi.
“Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PKR menang disetiap Peti Undi termasuk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya yang telah dimenangi oleh BN pada pilihanraya lalu,”tambah Yahaya
Draf RKK Tepuh - Batu Enam – Penduduk setuju besarkan jalan, tak setuju ambil balik tanah
Majoriti penduduk di tiga buah kampung yang terlibat dengan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tepuh-Batu Enam bersetuju dengan pembangunan dan pembesaran jalan tetapi menentang pengambilan balik tanah penempatannya.
Melalui tinjauan yang dibuat, rata-rata penduduk Kampung Tuan Mandak, Kampung Bukit Lapan dan Kampung Banggol Tiang Bulat bersetuju serta menyokong rancangan kerajaan mengatasi masalah kesesakan lalulintas, pembinaan pasar baru serta kawasan parkir yang selesa di Pekan Batu Enam.
Sebaliknya mereka tidak bersetuju jika kerajaan bercadang mahu mengambil balik keseluruhan tanah-tanah serta rumah kediaman bagi menjayakan rancangan RKK tersebut.
Alasannya, jika terlaksananya perancangan mengikut draf RKK yang dipamerkan itu penduduk bakal menjadi ‘pelarian’ di tanahair sendiri meski pun pampasan diberikan oleh kerajaan.
Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tepuh-Batu Enam yang sedang dipamer kepada umum sekarang adalah merangkumi kawasan seluas 97.67 hektar iaitu 241.35 ekar yang terletak di bahagian utara Bandar Kuala Terengganu.
Tiga kampung terlibat bagi kawasan Batu Enam meliputi keluasan 69.97 hektar iaitu 71.64 peratus dan terletak berhampiran Bulatan Batu Enam yang menghubungkan empat persimpangan daripada arah Kuala Terengganu, Gong Badak, Manir dan Kota Bharu.
Sehubungan itu, penduduk mengambil inisiatif awal membantah draf perancangan berkenaan dengan mewujudkan sebuah Jawatankuasa Bertindak Menangani Masalah Pengambilan-balik Tanah Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Batu Enam 2015.
Pengerusinya, Encik Harun Salleh, 56, dari Kampung Batu Enam berkata umumnya seluruh jawatankuasa dan penduduk di yang terlibat dengan pengambilan balik tanah menolak Draf Rancangan Kawasan Khas Batu Enam 2015.
Ini kerana, katanya mengikut draf rancangan tersebut tidak memberi manfaat kepada penduduk tempatan di Batu Enam yang terlibat dengan pengambilan balik tanah mereka.
“Umumnya, kami yang membentuk jawatankuasa bertindak mewakili seluruh penduduk di Batu Enam ini tidak bersetuju dengan pengambilan balik tanah rakyat tetapi bukan menentang pembangunan.
“Kami (penduduk) setuju kerajaan hendak besarkan jalan raya, buat pasar baru, sediakan tempat parkir yang selesa dan memajukan Pekan Batu Enam ini,” jelasnya.
Tetapi, menurutnya penduduk setempat tidak bersetuju dan menentang pembangunan yang boleh memudaratkan rakyat.
Katanya, jika draf RKK itu dilaksanakan penduduk asal di Batu Enam tidak mampu membeli serta memiliki bangunan-bangunan yang disediakan kerajaan.
“Kami (penduduk) tidak mahu jadi seperti ‘menang sorak kampung tergadai’ dan akhirnya bangsa lain yang menikmati hasilnya,” tegas beliau ketika ditemui selepas mesyuarat pertama menubuhkan jawatankuasa bertindaknya.
Katanya, rakyat menyokong kerajaan membangunkan Batu Enam tetapi biarlah membangun mengikut keadaan yang munasabah.
Menurutnya, bantahan akan dibuat mengikut keadaan semasa termasuk memungut tandatangan penduduk, borang bantahan serta memorandum kepada kerajaan negeri.
Mengikut perancanagan draf RKK berkenaan seramai lebih 1,200 penduduk di beberapa buah kampung di Batu Enam terlibat dengan pengambilan balik tanah serta rumah masing-masing.
Dimaklumkan, kerajaan negeri hanya menyediakan pampasan mengikut penilaian semasa tanpa penyediaan tanah-tanah penempatan baru penduduk terbabit.
Draf RKK Tepuh-Batu Enam telah dipamerkan selama seminggu di Batu Enam, dan berterusan sehingga pertengahan September di bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi membuka peluang kepada penduduk setempat serta rakyat yang bakal terlibat dengan pengambilan balik tanah-tanah penempatan mereka.
Ulasan