250 pesakit di Wad HSNZ terima sumbangan PAS



Kuala Terengganu - Seramai 250 pesakit yang terlantar di wad lelaki, wanita dan kanak-kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dekat sini telah menerima sumbangan kueh dan duit raya daripada PAS Negeri Terengganu.


Menurut Pengarah Program tersebut, Dr. Muhammad Abdullah, Program ‘Cakna dan Ziarah’ pesakit di HSNZ merupakan program tahunan Lajnah Kebajikan Badan Perhubungan PAS Terengganu.

Beliau berkata pada tahun ini Lajnah Kebajikan dapat melaksanakan program yang agak menyeluruh daripada tahun sebelumnya kerana pihak Lajnah menerima lebih banyak sumbangan dari orang ramai.

”Lebih RM 5,000.00 dapat dikumpulkan hasil sumbangan individu dan syarikat perniagaan yang prihatin dan ingin melakukan amalan mulia sempena bulan Ramadhan yang penuh keberkatan,”jelas beliau yang ditemui selepas program tersebut.

Beliau yang juga seorang doktor perubatan berkata kunjungan rombongan tersebut turut mengedarkan ‘selawat shifa’ untuk menjadi amalan bagi setiap pesakit beragama Islam.

”Selain dari ikhtiar perubatan moden, doa kepada Allah adalah senjata utama kepada mereka yang ditimpa kesusahan,”kata beliau.


Sementara itu Pengerusi Lajnah, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata PAS telah mengadakan program ziarah pesakit di HSNZ pada setiap bulan Ramadhan, sejak lebih lima tahun lalu.


Katanya, mesej kunjungan dalam siri lawatan ke hospital terbabit bagi memberi gambaran kepada masyarakat PAS bersifat universal.


“Program cakna kepada pesakit ini adalah aktiviti tahunan kita (PAS) sejak lebih lima tahun lalu dalam menyampaikan mesej dakwah dan perjuangan parti.

“Mesej kita (PAS) ‘Islam Untuk Semua’ sambil mendekati para pesakit tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik,” ujarnya ketika ditemui di hospital berkenaan.


Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Kesihatan ketika kerajaan PAS Terengganu menjelaskan program cakna pesakit bukan sahaja di Kuala Terengganu tetapi di seluruh daerah negeri ini.


Bahkan, katanya sumbangan turut diberikan kepada golongan fakir miskin dan anak yatim yang dinafikan hak mendapat bantuan kerajaan negeri.


Turut bersama-sama rombongan menziarahi HSNZ adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Adun Bukit Tunggal, Dr.Alias Razak dan isteri Presiden PAS, To’ Puan Hajah Zainab Awang.

Bantuan Dana Raya – Pengetua Turut Beri Nasihat

Kuala Terengganu - Agihan bantuan Dana Khas sempena Aidil Fitri yang tidak adil menjadi perbualan dikalangan masyarakat segenap lapisan dinegeri Terengganu.

Perlaksanaan agihan bantuan dana khas oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat di negeri ini berlaku demikian kerana tindakan tidak jujur dan pilih kasih yang dilakukan oleh pihak Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


Semakan Buletin Online mendapati ketidakadilan itu berlaku kepada hampir disemua daerah diseluruh negeri Terengganu.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar menggesa agar kerajaan negeri menasihati serta memantau perkembangan tidak sihat itu.


Katanya, perbuatan tidak jujur dengan amanah, pilih kasih dalam pengagihan bantuan kepada rakyat miskin dan anak yatim tidak wajar diamalkan dalam pentadbiran kerajaan negeri.


“Saya diberitahu terdapat pengerusi JKKK yang mengambil kira fahaman politik dengan menyekat bantuan kepada golongan fakir miskin yang tidak sehaluan.

“Mereka (Umno-BN) sepatutnya, menjalankan tugas yang diamanahkan dengan adil, jujur dan tidak pilih kasih dalam pembahagian bantuan dana raya itu,” jelasnya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kek dan duit raya kepada para pesakit di HSNZ, baru-baru ini.


Sehubungan dengan itu Buletin Online dimaklumkan, Pengetua sebuah sekolah menengah dekat sini turut memberikan nasihat kepada muridnya agar ibu bapa mereka tidak menerima bantuan tersebut sekiranya mereka bukan golongan yang selayaknya.

Sumber Buletin Online memberitahu, nasihat tersebut telah disampaikan secara terbuka pada perhimpunan pagi disekolah tersebut.

Keadaan ini menggambarkan bahawa isu pengagihan bantuan dana sempenan hari raya tersebut bukan satu isu terpencil.


Justeru itu, Tengku Hassan turut menyaran agar pihak JKKK tidak mengamalkan sikap dendam politik ‘kampungan’ yang banyak menyusahkan rakyat.


Katanya, kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said yang mahukan bantuan dana khas raya diagih kepada semua golongan miskin tanpa mengira fahaman politik diingkari pihak JKKK.


Malah, kata Dato’ Tengku Hassan menegaskan terdapat segelintir manusia yang tidak layak tetapi menerima bantuan dana tersebut.

Ulasan