Bangunan ‘Haram’ Burung Walit Ganggu Penduduk


Pulau Redang - Kerajaan Negeri Terengganu khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa mengambil tindakan tegas terhadap pembinaan bangunan ‘haram’ yang dijadikan tempat menternak burung layang-layan (walit) di Kampung Pulau Redang.

Penduduk kampung tersebut mendakwa bangunan dua tingkat yang didirikan diatas tanah kerajaan itu tidak mendapat restu dari penduduk setempat dan tidak mendapat kelulusan dari PBT.

Mereka yang dihubungi Buletin Online juga mengadu kegiatan menternak burung walit dalam kawasan kediaman, amat mengganggu suasana kehidupan seharian mereka.

Selain terganggu dengan bunyi bising pada waktu pagi dan petang, menurut mereka, ‘sarang burung’ tersebut mencemarkan kebersihan persekitaran kampung.

”Ia sangat merimaskan kerana terlalu dekat dengan rumah saya, bunyi bising bila burung masuk sarang pagi dan ptang,”kata Idrus Md Amin, 43, yang mendakwa bangunan sarang burung itu dibina dibelakang rumahnya.

“Saya harap pihak berkenaan dapat ambil tidakan segera kerana isu bangunan ‘haram’ ini sudah melarat dan mungkin menyebabkan perpecahan,”jelas beliau yang mengatakan, sejak sarang burung itu diusahakan awal tahun ini, penduduk juga tidak dibenarkan membakar sampah kerana asap daripada pembakaran itu boleh mengganggu kehadiran burung walit.

Beliau juga memaklumkan, hubungan antara penduduk turut renggang berikutan wujudnya rasa tidak puas hati terhadap pengusaha terbabit.

Bagaimanapun, masyarakat setempat tidak berani untuk mengketengahkan masalah yang dihadapi itu kerana menurut Idrus pembinaan bangunan itu dipercayai melibatkan seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Ahmad memberitahu, Exco berkenaan dikatakan pernah berjanji kepada penduduk akan mengagihkan perolehan daripada usaha ternakan burung itu apabila ianya mengeluarkan hasil nanti.

Beliau mendakwa pembinaan bangunan bernilai RM100,000.00 itu dalam pengetahuan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan diusahakan oleh seorang penduduk asal Pulau Redang, namun kini tidak lagi menetap di kampong tersebut dan tinggal di Batu Rakit.

Selain penduduk, menurutnya, bunyi bising daripada sarang burung itu juga turut mengganggu para pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Redang yang terletak kira-kira 100 meter dari bangunan sarang burung itu.

“Suasana aman dan hening waktu pagi di kampung ini tidak ada lagi sejak ada bangunan ‘haram’ dan usaha menternak burung laying-layang itu,” tambah beliau.

Buletin Online juga difahamkan, pihak JKKK juga mengambil kesempatan meneroka dan mendirikan bangunan sesuka hati di atas beberapa lot tanah dalam kawasan kampung itu, walaupun sebelum ini pernah di berikan oleh kerajaan kepada beberapa penduduk sewaktu PAS mentadbir kerajaan negeri Terengganu.


Isteri ADUN Ladang meninggal dunia


Kuala Terengganu – Minggu kedua sambutan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan, disambut dengan khabar yang mengejutkan apabila tiba-tiba keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar ‘kehilangan’ orang yang tersayang.

Allahyarham To’ Puan Hajah Fatimah Chik, 57, isteri kepada Tengku Hassan telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.15 petang hari ke 15 Ramadhan di rumahnya di Kampung Padang Negara, Kuala Ibai, dekat sini.

“Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi penyakit darah tinggi, serangan yang tidak diduga secara mengejut pada jam 3.30 pagi Jumaat,

“Allahyarham jatuh dihadapan bilik mandi kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu,”ujar Tengku Hassan ketika ditemui kira-kira jam 8.30 malam semalam.

”Setelah tiga hari di rawat, kami membawa allahyarham pulang petang ini, sampai dirumah dalam masa setengah jam, Allahyarham telah kembali ke rahmatuLlah,”jelas beliau.

Allahyarham meninggalkan suami (Dato’ Tengku Hassan) dan enam orang anak berusia antara 15 hingga 27 tahun yang terdiri dari enam lelaki, empat perempuan serta seorang cucu sulong berumur hampir satu tahun.

Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang datang melawat allahyarham ketika dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

Katanya, ‘kehilangan’ allahyarham agak mengejutkan kerana sebelum ini tidak terdapat tanda-tanda diserang darah tinggi meski pun telah diketahui ada mengidap penyakit tersebut.

“Saya ucap terima kasih kepada pihak HSNZ dan kepada semua sahabat handai yang datang menziarahi allahyarham ketika sakit di hospital,” tambahnya.

Menurutnya, jenazah Allahyarham InsyaAllah, akan disembahyangkan pada jam 9.30 pagi esok (Selasa) serta dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kuala Ibai.

Ulasan