Kuala Terengganu - Menteri Besar Terenganu, Dato’ Ahmad Said melahirkan rasa kekecewaannya terhadap isu pengagihan bantuan raya dana khas kepada rakyat di negeri Terengganu hari ini.
Katanya, masalah keciciran nama penerima bantuan tersebut termasuk kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan fakir miskin hangat diperkatakan.
Menurutnya, senarai nama-nama penerima bantuan dana raya diselaraskan di peringkat kampung melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Saya sudah mengarahkan pegawai kita (kerajaan) supaya pastikan semua yang layak diberi tanpa dikecualikan.
“Ini ada laporan media dedahkan orang OKU pun ada yang tidak dapat bantuan dana raya dan banyak yang tercicir,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Dewan Gemilang, Hotel Primula, dekat sini, semalam.
Sepatut, katanya masalah orang miskin dan OKU itu mengatasi kepentingan orang politik tetapi orang politik yang mengatasi OKU.
Menurutnya, sebagai Menteri Besar apa lagi yang perlu dibuat kerana arahan telah dikeluarkan tetapi pelaksanaan berlaku lain.
Sumber Buletin Online memaklumkan terdapat beberapa ungkapan Ahmad itu yang bersifat ‘double standard’ seakan-akan ‘menyokong’ tindakan JKKK mengamalkan sikap ‘pilih kasih’ dalam pembahagian dana tersebut kepada rakyat.
Katanya, golongan yang tidak disenaraikan sebagai penerima bantuan dana raya itu kerana terdiri dari kalangan penentang Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, masalah politik yang berbeza kadang-kala menyebabkan pihak Umno-BN tidak senang dengan kelakuan orang PAS yang selalu memaki-hamun kepada Umno.
“Kita (kerajaan) beri bantuan kepada orang tetapi lepas itu dia (PAS) maki-hamun kita pula…ini yang kita marah.
“Ibaratkan, saya beri parang untuk menebas semak-samun tetapi dia guna parang itu untuk tebas betis saya pula…’cerdik ke bodoh’ jika saya beri parang kepada mereka,” soal Dato’ Ahmad kepada hadirin.
Namun begitu, katanya bantuan tetap akan diberikan kepada rakyat yang benar-benar layak tetapi mengikut keadaan politik.
Katanya, semua orang politik yang apabila berkuasa akan melakukan tindakan yang sama dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN sekarang.
“Walau macam mana pun kita akan utamakan penyokong dan pengundi kita (Umno) dahulu…biasalah ‘politik’.
“Kalu (kalau) nok (hendak) beri kepada sepuluh orang misalnya, lapan orang kita (Umno) dan dua orang PAS,” jelasnya.
Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Rosli Mat Hasan, Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Zubir Embong dan Timbalan Ketua Pemuda Umno Terengganu, Kazan Che Mat.
Dana Khas/Wang Ehsan - Bukan kah BPR Pernah Siasat?
Kuala Terengganu – Kenyataan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat penyelewengan agihan Dana Khas/Wang Ehsan dialu-alukan oleh pimpinan PAS.
Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata BPR harus menerima cabaran MB Trengganu itu dan menyiasat perkara tersebut hingga ke akar umbi.
”Kita (PAS) setuju dengan MB supaya BPR siasat, mesti siasat sampai ke bawah, dikalangan penerima dan pemberi iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK),” kata beliau ketika ditemui Buletinonline semalam.
”DUN saya, Rantau Abang sedang mengumpul maklumat, InsyaAllah sedikit masa lagi akan dapat,”tambahnya mengulas isu agihan secara tidak adil Dana Khas Hari Raya yang sedang panas diperkatakan.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik menyokong cabaran Ustaz Azman dan menggesa supaya BPR melakukakan siasatan dengan segera.
Menurut beliau ketidakadilan dan penyelewengan dalam mengagihkan Dana Khas atau dulunya di panggil Wang Ehsan telah timbul sejak ia diperkenalkan pada tahun 2000.
”Bukankah BPR pernah menyiasat Wang Ehsan dulu, kalau tak silap pada tahun 2000, ketika wang ehsan mula diperkenalkan dan dikawal oleh UMNO Terengganu?,”soalnya.
Tinjauan BuletinOnline dikalangan rakyat umum mendapati lebih 80% yang ditemui berpendapat memang wujud ketidakadilan dalam pengagihan wang tersebut.
Seorang pelajar yang ditemui (tidak mahu namaya disiarkan) menyatakan keluarganya tidak mendapat bantuan ‘duit raya’ tersebut walaupun lebih susah daripada mereka yang menerimanya.
”Tak dapat, semuanya diberikan kepada orang rapat dengan JKKK,”kata beliau yang berasal dari Kampung Padang Hangus, Tepoh, Kuala Terengganu.
“saya hairan, sekejap-sekejap dia orang tukar beli Myvi baru, kemudian beli motosikal Legion baru,”tambahnya merujuk kepada salah seorang anggota JKKK dikampungnya.
Di daerah Besut seorang penerima wang ehsan dana khas hari raya mengakui beliau mendapat wang tersebut apabila namanya disenaraikan oleh saudaranya yang menjadi anggota kuat JKKK.
Namun menurutnya beliau hanya memperolehi sebanyak RM 200 sedangkan sepatutnya setiap penerima menerima RM 300.
Akhbar perdana Utusan Malaysia pada 19 September juga mendedahkan kira-kira 100 orang penduduk termasuk OKU dari Kampung Sungai Buaya dalam daerah Dungun kecewa kerana tidak mendapat bantuan Dana Khas Aidilfitri.
Sebelum itu, Buletinonline juga turut memaparkan penyelewengan yang sama yang berlaku dalam daerah Kuala Terengganu.
Seorang OKU dari Kampung Bukit Nenas, Tepoh Kuala Terengganu mengadu telah dinafikan duit raya angkara kezaliman JKKK
Penyelewengan JKKK dalam pengagihan Dana Khas mula dikesan seawal bulan Ogos lalu apabila mereka ‘memilih kasih’ dalam mengumpulkan nama-nama bagi penerima Dana Khas, nama lain bagi wang royalti minyak.
Sehubungan dengan itu, ADUN Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berharap seramai 1,515 orang penerima yang dikatakan tercicir disebabkan masalah komputer, dapat diselesaikan dengan kadar segera kerana Aidil Fitri akan menjelang tidak berapa lama lagi.
Ahmad Said dalam kenyataan kepada sebuah akhbar semalam berjanji akan menyelesaikan masalah nama-nama yang tercicir disamping mengalu-alukan siasatan BPR sekiranya berlaku sebarang penyelewengan dalam proses pengagi-han Dana Khas Bantuan Aidilfitri di negeri ini.
Bantuan Dana Raya – Pengetua Turut Beri Nasihat
Kuala Terengganu - Agihan bantuan Dana Khas sempena Aidil Fitri yang tidak adil menjadi perbualan dikalangan masyarakat segenap lapisan dinegeri Terengganu.
Perlaksanaan agihan bantuan dana khas oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat di negeri ini berlaku demikian kerana tindakan tidak jujur dan pilih kasih yang dilakukan oleh pihak Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Semakan Buletin Online mendapati ketidakadilan itu berlaku kepada hampir disemua daerah diseluruh negeri Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar menggesa agar kerajaan negeri menasihati serta memantau perkembangan tidak sihat itu.
Katanya, perbuatan tidak jujur dengan amanah, pilih kasih dalam pengagihan bantuan kepada rakyat miskin dan anak yatim tidak wajar diamalkan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya diberitahu terdapat pengerusi JKKK yang mengambil kira fahaman politik dengan menyekat bantuan kepada golongan fakir miskin yang tidak sehaluan.
“Mereka (Umno-BN) sepatutnya, menjalankan tugas yang diamanahkan dengan adil, jujur dan tidak pilih kasih dalam pembahagian bantuan dana raya itu,” jelasnya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kek dan duit raya kepada para pesakit di HSNZ, baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu Buletin Online dimaklumkan, Pengetua sebuah sekolah menengah dekat sini turut memberikan nasihat kepada muridnya agar ibu bapa mereka tidak menerima bantuan tersebut sekiranya mereka bukan golongan yang selayaknya.
Sumber Buletin Online memberitahu, nasihat tersebut telah disampaikan secara terbuka pada perhimpunan pagi disekolah tersebut.
Keadaan ini menggambarkan bahawa isu pengagihan bantuan dana sempenan hari raya tersebut bukan satu isu terpencil.
Justeru itu, Tengku Hassan turut menyaran agar pihak JKKK tidak mengamalkan sikap dendam politik ‘kampungan’ yang banyak menyusahkan rakyat.
Katanya, kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said yang mahukan bantuan dana khas raya diagih kepada semua golongan miskin tanpa mengira fahaman politik diingkari pihak JKKK.
Malah, kata Dato’ Tengku Hassan menegaskan terdapat segelintir manusia yang tidak layak tetapi menerima bantuan dana tersebut.
Ulasan