Mana Wang Royalti Petroleum?


Kuala Terengganu – Kerajaan negeri Terengganu belum menerima wang royalti Petroleum dari Petronas walaupun kini sudah masuk pertengahan bulan September.

Pada 5hb September lalu, genap lapan tahun pemberhentian pembayaran 5% wang royalti Petroleum oleh Petronas kepada kerajaan negeri Terengganu.

Kali terakhir, kerajaan Terengganu menerima pembayaran sebanyak RM432 juta pada Februari tahun 2000 sebelum kerajaan pusat melalui siaran akhbar Kementerian Kewangan pada 5 September tahun 2000 telah menukar wang tersebut kepada ‘wang ehsan’.

Setelah dilantik sebagai Menteri Besar, pada April lalu Dato’ Ahmad Said telah meminta supaya kerajaan pusat mengembalikan pembayaran royalti kepada kerajaan Terengganu.


"Masanya sudah tiba untuk bayaran royalti minyak sebanyak 5 peratus yang ditarik baik apabila PAS menawan negeri tersebut dan dikembalikan semula sebagai wang pembiyaan ehsan untuk diuruskan oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan banyak lagi projek pembangunan,
”Kami ingin berterus-terang. Kami harapkan wang royalti diberikan kepada kami."ujar Ahmad kepada pihak media pada 21 April lalu.


Setelah didesak oleh pelbagai pihak, akhirnya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan akan menyerahkan kembali pembayaran royalti tunai itu kepada kerajaan Terengganu.

“Kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk kembalikan wang royalti minyak kepada Terengganu dan butiran, prosedur serta langkah yang diambil itu akan ditetapkan apabila perbincangan dengan kerajaan Terengganu diadakan,” kata Abdullah pada 14Jun lalu.

Ekoran dari pengakuan Abdullah, Ahmad Said beberapa kali membuat penegasan bahawa wang royalti akan mula dibayar kepada kerajaan Terengganu pada bulan September, 2008.

”Kerajaan Negeri Terengganu dijangka menerima pembayaran royalti minyak berdasarkan kiraan harga pasaran semasa daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bermula September ini.
”pembayaran secara terus kepada Terengganu akan dibuat selepas segala proses berhubung pembayaran selesai,”kata Ahmad pada 7 Julai lalu.

Namun sehingga hari ini (17 September) samada Petronas atau kerajaan pusat belum lagi menyerahkan pembayaran tunai 5% Royalti Minyak tersebut.

Apabila ditanya wartawan pada sidang media selepas mesyuarat Exco Minggu lalu, Ahmad berkata wang tersebut masih belum dibayar kepada kerajaan Terengganu.


Sumber Buletin Online memberitahu sehingga kelmarin, ketika ditanya, Ahmad mengesahkan kerajaan Terengganu masih belum menerima pembayaran wang royalti


Untuk rekod, menurut perjanjian diantara Petronas dengan kerajaan Terengganu pada 22 Mac 1975, bayaran Royalti Petronas hendaklah dibuat tiap-tiap enam bulan sekali iaitu sebelum 1 September bagi petroleum yang diperolehi dan dijual dalam tempoh enam bulan yang pertama dan sebelum 1 Mac tahun berikut bagi petroleum yang diusahakan dan dijual dalam tempoh enam bulan yang kedua (bulan Julai hingga bulan Disember)


Ramai Nelayan Tidak Dapat Menikmati Elaun Sara Hidup


Kelemahan pengurusan pihak berkuasa menyebabkan ramai nelayan Terengganu akan tercicir dari menikmati elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2009

Di Kuala Terengganu, lebih separuh dari 200 orang nelayan Pulau Duyong Besar dan Pulau Ketam dekat sini tidak akan dapat menikmati elaun tersebut kerana tidak memiliki kad nelayan.

Mereka yang ditemui Jumaat lalu mengadu karenah birokrasi pihak berkuasa menyebabkan mereka bukan sahaja tidak memiliki kad, malah tidak dapat memohon untuk membuat kad nelayan.

Nelayan pukat tunda, Wahab Busu, 62, (gambar) berkata hanya dua orang dari enam ‘awak-awak’ bot beliau yang memiliki kad nelayan.

“Yang ada kita dua orang sahaja, saya ada dan seorang lagi anak,

“kalau kira kita hendak pergi buat, pergi pejabat hendak ambil borang, dia (pegawai) kata tak ada borang,

“Dah dia kata tak ada, kita tidak pandai hendak ungkit-ungkit lagi,” kata beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Wahab.


Beliau kesal dengan jawapan pegawai terbabit kerana menurutnya jawapan tersebut tidak munasabah dan tidak boleh diterima.


”Kalau kira, kalau atas jawapan tak ada tu, senang sangat bagi saya yang tidak bersekolah ni, tidak mungkin tak ada walau sekeping, boleh fotostat,” keluh Pak Wahab.


Justeru menurut Pak Wahab, hanya dua orang yang memiliki kad tersebut yang layak mengisi borang permohonan elaun sara hidup, manakala empat orang lagi nelayan yang bekerja dengannya tidak mengisi borang.


”Tak bolehlah yang tak ada kad tu, yang dua ni, kata dia (pegawai) boleh lah, dah isi borang, dan katanya mungkin bulan September, akan dapat elaun tersebut,” jelas Pak Wahab.


Seorang lagi nelayan sepenuh masa yang ditemui turut menyuarakan tidak puas hati dengan pihak berkuasa yang menyusahkan urusan berkaitan nelayan.


Wan Mustaffa Ahmad, 50, berkata beliau tidak dapat mengisi borang permohonan elaun sara hidup kerana kad yang beliau miliki telah hilang ketika botnya tenggelam beberapa bulan lalu.

“Dah tak ada kad, tak boleh nak memohon, nak buat kad baru, borang tak ada di pejabat, saya sudah pergi banyak kali ke pejabat, pegawai kata borang tidak ada,”kata Wan Mustaffa.

Minggu lalu, Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan (PNKTs) mengeluarkan kenyataan, tidak sampai separuh dari ahlinya seramai seramai 1,100 yang berpeluang untuk menikmati insentif RM200 sebulan itu.

Pengerusinya Hasan Ismail berkata ia adalah kerana mereka tidak mempunyai kad nelayan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan walaupun mereka telah memohon untuk mendapatkannya.

"Kita harap pihak berkuasa atau Jabatan Perikanan akan kaji perkara ini kerana mereka memohon kad nelayan telah lama tetapi tidak diberikan perhatian," katanya di sini hari ini.

Hasan berkata bahawa skim itu begitu amat bermakna kepada nelayan kerana pendapatan mereka sekarang semakin berkurangan.






Ulasan