Kuala Terengganu – Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Kerajaan Negeri Terengganu mengundang bahaya dengan melakukan pembangunan dan menggondolkan kawasan bukit di bandaraya ini.
Kawasan bukit yang telah digondolkan itu terletak di salah satu puncak Bukit Kecil di sebelah jalan Cerong Lanjut dan dapat dilihat dengan jelas dari Jalan Sultan Omar.
Keadaan cerun bukit yang terlalu curam yang telah digondolkan itu terdedah dengan bahaya hakisan dan tanah runtuh.
Beberapa rumah kediaman yang terdapat di kaki bukit tersebut pasti akan menghadapi malapetaka sekiranya kejadian yang tidak diingini berlaku kerana ia terletak benar-benar dibawah kawasan yang telah digondolkan.
Apa pun pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan tersebut, ia adalah tidak wajar sama sekali kerana bukit tersebut juga adalah salah satu kawasan hijau di bandaraya ini, yang sepatutnya dipelihara.
Garis panduan pembangunan tanah tinggi tahun 2002 yang dikemas kini tahun 2006, melarang pelaksanaan projek pembangunan di kawasan tanah tinggi 300 meter ke atas dan berkecerunan lebih 35 darjah.
Walau tidak dapat dipastikan ketinggian bukit tersebut namun yang pasti kecerunannya adalah melebihi had yang ditetapkan oleh Garis Panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS)
Ulasan