Ahmad Jangan Ulangi Kesilapan Idris


Kuala Terengganu - PAS memberi peringatan ikhlas kepada kepimpinan kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said agar tidak mengulangi kesilapan dan penyelewengan kerajaan lalu.


”Saya hendak memperingatkan pemimpin negeri ini supaya mengambil peringatan tidak mengulangi kepincangan dan penyelewengan kerajaan BN lalu dibawah Menteri Besar Dato Seri Idris,”

“Saya mengikuti perkembangan dan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pimpinan negeri dan yang terakhir ini berkait dengan Kelab Teluk Warisan atau Heritage Bay Club (HBC),” kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali sidang media sempena Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PAS Terengganu, di Taman Sri Intan Jalan Sultan Omar, dekat sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad bahawa kerajaan negeri bertindak mengambil alih hak Kelab Teluk Warisan Pulau Duyong – Heritage Bay Club (HBC) setelah lebih tiga tahun diuruskan oleh kontraktor pembinaan resort tersebut tanpa pengetahuan rasmi kerajaan.

Pada 21 Oktober lalu, Ahmad berkata asalnya Kelab Teluk Warisan adalah di bawah pengurusan kerajaan negeri tetapi kontraktor yang membinanya tidak menyerahkannya kepada kerajaan negeri setelah ia siap dibina sedangkan pembinaan resort tersebut adalah menggunakan dana khas.

Menurut Mustafa, kenyataan Ahmad itu mendedahkan dan menjelaskan apa yang PAS sebut selama ini bahawa pembiayaan projek tersebut adalah daripada duit royalti yang dinamakan dana khas, adalah benar.

Justeru PAS kesal kerana projek kerajaan pusat tidak dikendalikan secara telus dan tidak menepati kaedah-kaedah pembangunan yang sebenarnya.

Mustafa mempersoalkan mengapa projek yang sudah siap tiga tahun lalu baru diambil alih kerajaan dan meminta kerajaan menjelaskan kedudukan pengurusan resort tersebut.

”Kalau saya anggap kenyataan MB itu sebagai satu pendedahan, bahawa kerajaan baru mengambil alih dari kontraktor sedangkan selama ini apa yang dibuat sudah siap,

“pulangan duitnya dimana? sedangkan belanjanya RM200 juta,”ujar Mustafa.

Beliau berkata ia (pengurusan projek tersebut) seharusnya menjadi pengajaran kepada kerajaan negeri kerana royalti (minyak) yang menjadi hak rakyat negeri Terengganu telah disalahgunakan.

”Ini seharusnya menjadi pengajaran bagaimana hak rakyat negeri Terengganu iaitu wang royalti ini telah disalahgunakan bukan untuk menyelesaikan masalah-masalah utama yang dihadapi oleh rakyat,

“masalah kemiskinan, masalah kurang pekerjaan, penganggguran, pembangunan sebenar untuk rakyat menikmati secara jangka panjang dan masalah sosial tidak diberikan keutamaan,”kata beliau.

Katanya, pemerintahan UMNO/BN yang lepas hanya memberi tumpuan kepada projek-projek yang memakan belanja berbillion ringgit termasuk pembangunan muara sungai Terengganu.

Justeru itu, PAS mengingatkan Ahmad sebagai Menteri Besar dan ketua kerajaan agar menyelesaikan tuntutan wang royalti sebaik-baiknya dan mengikut lunas undang-undang.

”Berkait dengan ini saya (PAS) minta supaya Menteri Besar sebagai ketua kerajaan dalam usaha untuk mengembalikan royalti ini supaya pastikan betul-betul,

“berapa yang negeri Terengganu dapat, berapa yang telah dibelanjakan sebelum ini tanpa kerajaan negeri dan berapa bakinya yang masih tinggal,

“supaya ianya dapat satu gambaran yang jelas kerana ia berkait dengan hak dan kes ini berada di mahkamah, mestilah ia dijelaskan mengikut undang-undang,”tambah Mustafa.

Menurutnya (menurut perjanjian) pembayaran royalti sepatutnya sudah diterima oleh kerajaan negeri pada bulan September lalu.

Piala Monsun Tetap Membazir

Kuala Terengganu - Rakyat Terengganu dari pelbagai lapisan masih menganggap penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun yang akan diadakan pada 3 hingga 7 Disember depan di Pulau Duyong, dekat sini, tetap membazir dan tidak membawa banyak manfaat kepada rakyat, walaupun perbelanjaan yang digunakan adalah dari peruntukan kerajaan persekutuan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata beliau tidak faham mengapa kerajaan meneruskan penganjuran Piala Monsun sedangkan sebelum ini ia telah dibuktikan tidak membawa manfaat yang banyak, berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan.

”Saya pun tak faham kenapa Monsoon Cup ini diteruskan, sedangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti menyatakan ia adalah membazir dan tidak memberi pulangan yang diharapkan,”kata beliau dalam sidang akhbar sempena majlis Rumah Terbuka Idulfitri PAS Terengganu yang diadakan di perkarangan pejabat Pas Negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak berkata kejohanan tersebut masih tidak membawa banyak manfaat kepada rakyat Terengganu terutamanya kepada golongan nelayan sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Beliau bekata dalam keadaan kehidupan rakyat terus tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan harian, penambahan acara dalam acara kejohanan tersebut akan meningkatkan kos penganjurannya.

"Zaman bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh telah disahkan Monsoon Cup tidak berfaedah dan membazir,

“bukannya nak berhenti, tapi ditambah pula dengan event lain yang akan meningkatkan kos, membazirkan duit rakyat dalam masa rakyat tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan harian,”ujar Dr. Alias ketika dihubungi.

Penduduk setempat Pulau Duyong turut membantah tindakan kerajaan meneruskan penganjuran Piala Monsun.


Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Pulau Duyong (Pekeduy) Muzafeq Affyulzaifuzan Muhammad berkata kerajaan terus menganjurkan Kejohanan Piala Monsun dengan membelanjakan puluhan juta ringgit untuk acara selama empat hari, sedang ratusan rakyat di Pulau Duyong masih hidup dalam kemiskinan.


Beliau berkata rata-rata penduduk Pulau Duyong bekerja sebagai nelayan, tidak mempunyai pendapat tetap, tidak memiliki rumah sendiri dan menumpang atas tanah kerajaan.

”Adalah lebih baik peruntukan jutaan ringgit itu digunakan untuk membantu golongan daif dan nelayan di Pulau Duyong khususnya, atau membantu seluruh rakyat yang susah, masih ramai rakyat yang miskin kerana Terengganu adalah antara negeri yang termiskin di Malaysia,”katanya.

Menurutnya keputusan pilihanraya umum ke 12 pada bulan Mac tahun ini membuktikan bahawa penduduk Pulau Duyong tidak bersetuju dengan penganjuran Piala Monsun dan menolak calon parti UMNO/BN.

Sementara itu, seorang pekerja sektor swasta, Sa’ado Mohd Nor, 29, berkata keputusan kerajaan meneruskan Monsoon Cup membuktikan kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan Malaysia tidak mengutamakan kepentingan rakyat.


Beliau yang juga seorang penduduk Pulau Duyong berkata bertahun-tahun penduduk memohon tanah untuk tempat tinggal di pulau tersebut, namun tidak diambil peduli oleh kerajaan.

”Bila buat Monsoon Cup, tanah yang rakyat pohon diambil dan diserahkan kepada pemaju, rakyat dihambat keluar,
”sekarang, tahun ini, sambung lagi Monsoon Cup, sedangkan tidak ada orang dikampung ini (pualau Duyong) yang senang dan dapat manfaat dari penganjuran tersebut,”ujarnya

Pada Julai tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Integriti, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, aduan diterima menyatakan keuntungan penganjuran sukan Monsoon Cup itu hanya diraih oleh individu tertentu sedangkan pada keseluruhannya ia dikatakan tidak memberi pulangan seperti yang diharapkan.

Kenyataan Wan Hashim tersebut adalah hasil pendengaran awam oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat yang diadakan di Kuala Terengganu, yang antara lain turut membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap penganjuran sukan itu yang dikatakan membazir dan tidak menguntungkan.

Ulasan