Guan Eng Pula Kunjungi Tok Guru – Penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat pada Aidil Adha?


Marang - Dalam tempoh dua minggu selepas ayahnya Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang mengunjungi Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, anaknya pula Setiausaha DAP Lim Guan Eng membuat kunjungan hormat ke rumah Tok Guru.

“Kunjungan (ini) untuk berikan salam aidil fitri, dalam keadaan ada hubungan yang akrab dalam Pakatan Rakyat saya mengambil kesempatan ini,
”bukan sahaja kita berjumpa di Parlimen, sempena saya menghadiri Mesyuarat Raja-Raja disini, buat kunjungi rumah kediaman YB Tuan Guru,”kata Guan Eng ketika ditemui selepas kunjungan hormat tersebut, di Kampung Rusila, dekat sini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata melalui kunjungan tersebut beliau dapat melihat walaupun Tok Guru telah menjadi Menteri Besar sebuah negeri, Tok Guru masih tinggal dalam keadaan yang sederhana.

”Saya rasa itu menunjukkan kepimpinan berjiwa rakyat dimana tidak ada apa-apa kelebihan (pangkat) hanya untuk berkhidmat untuk rakyat,”tambahnya

Dalam respon berkaitan kunjungan Guan Eng, Tok Guru berkata kedatangan Guan Eng adalah satu kunjungan hormat sempena beliau datang ke Terengganu.

”Kedatangan beliau (Guan Eng) lebih bersifat kunjungan hormat, kunjungi hari raya,

“banyak kita berbincang (termasuk) perkara-perkara politik tentang kerjasama pakatan rakyat yang perlu dimantapkan lagi,”kata Tok Guru

Mengulas hubungan antara PAS, DAP dan Pakatan Rakyat, beliau berkata hubungan diantara PAS dan DAP akan diteruskan dalam konteks Pakatan Rakyat dimana penyelarasan dibuat di negeri-negeri dikuasa Pakatan Rakyat dan juga di parlimen.

Apabila ditanya tentang tarikh penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat, beliau ringkas menjawab “bila masa yang akan sesuai, bila rakan-rakan daripada UMNO dan Barisan Nasional masuk Pakatan Rakyat”.

Beliau mengakui PAS ada maklumat berkenaan jumlah mereka-mereka yang akan melompat menyertai Pakatan Rakyat namun tidak mahu mendedahkannya kerana bimbang perkara-perkara yang tidak diingini akan berlaku.


Beliau tidak menetapkan Hari Raya Aidil Adha sebagai tarikh akhir penetapan bagi penubuhan kerajaan baru sebagaimana yang digembar-gembur sesetangah pihak.

”Kemungkinan Raya Haji, kemungkinan selepas Raya Haji, kita akan usahakanlah, kalau boleh hendak berlaku sebelum Raya Haji, kalau tidak berlaku jangan kata (sebaliknya), itu biasalah,”ulasnya

Namun demikian beliau yang juga Ahli Parlimen Marang melihat wujud suasana yang positif kearah penubuhan kerajaan baru kerana pergolakan terkini dalam UMNO.

”Pertembungan dalam UMNO sendiri sudah tentu ada yang tidak puas hati dengan apa yang berlaku,
”ini sedikit sebanyak akan mengubah lanskap dan memberi kesan kepada politik Negara,”tambahnya.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Bendahari PAS Terengganu YB Hj Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Memepelam.





KPT Jangan politikkan kampus, Tumpukan Usaha Tingkatkan Prestasi Universiti

Kuala Terengganu – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa tidak campurtangan dalam politik kampus kerana ia akan menimbulkan keresahan masyarakat terhadap prestasi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan kualiti graduan yang dihasilkan.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik mempersoalkan apakah rasionalnya KPT campurtangan dengan politik kampus dan mengarahkan supaya pilihanraya kampus bagi IPTA di Lembah Kelang ditunda?

”Apakah kewajarannya? Mengapakah KPT terlibat dengan politik kampus? Apakah sebenarnya peranan KPT?”
”sepatutnya tumpukan usaha tingkatkan prestasi universiti, pastikan ada universiti Malaysia dalam 100 univeristi terbaik,”katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada tindakan pihak KPT mengarahkan supaya pilihanraya kampus (PRK) bagi IPTA di Lembah Klang ditunda kepada Januari depan.

Menurutnya, cukuplah dengan keadaan sekarang, universiti telah pun menjadi ‘rosak’ kerana permainan politik UMNO dan Barisan Nasional.

”Orang sudah kenal siapa puteri umno dan pemuda yang menjadi dalang, merosakkan halatuju pendidikan tinggi, mereka masuk kedalam kampus dan berkempen,
”akhirnya mahasiswa tidak mempunyai idealisme sendiri, jadi kaku, takut dan menjadi graduan yang tidak berkualiti,”ujar beliau.

Justeru itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, campurtangan berterusan UMNO dan Barisan Nasional terhadap pentadbiran universiti jelas membawa kesan yang buruk kerana menurut laporan ‘ranking’ universiti yang dikeluarkan baru-baru ini.

”Semua universiti samada yang yang dianggap terbaik atau yang di anggap terpilih untuk menyertai Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) masih berada di tahap dibawah tangga ke 200,
”Universiti Malaya (ditangga) 230, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berada di tangga ke 250, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) yang terpilih sebagai universiti Apex, jatuh kedudukannya dari tangga ke 307 dari ke 313 tahun lalu,”jelas beliau.

Menurut objektif yang dipaparkan dalam laman rasmi KPT, kementerian tersebut meletakkan sasaran akan memastikan supaya sekurang-kurangnya tiga (3) universiti negara disenaraikan sebagai antara 100 universiti terbaik di dunia dan salah sebuah universiti berkenaan disenaraikan di kalangan 50 universiti terbaik dunia, menjelang tahun 2020.

Ulasan