Setelah Habis RM350 juta, PMINT minta RM30 Juta lagi Untuk Taman Tamadun Islam


Kuala Terengganu – Setelah habis RM 349.5 dibelanjakan bagi membina Taman Tamadun Islam (TTI), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan memohon peruntukan kira-kira RM30 juta, dikatakan untuk mengindah dan memperlengkapkan TTI.

Bernama memetik Pengurus Besarnya Datuk Zakaria Awang berkata, PMINT yang bertanggungjawab mengendalikan pembinaan taman tersebut, memerlukan RM6 juta daripada peruntukan itu bagi mewujudkan kiosk-kiosk untuk menjual barang-barang keluaran dari Timur Tengah.

"Mulai tahun depan, kita akan sediakan barang-barang dari Timur Tengah yang diinginkan pengunjung untuk dijadikan hadiah atau cenderahati," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri PMINT di TTI.


Lebih baik Gunakan RM30 juta Untuk Rakyat Terengganu

Kuala Terengganu – Kerajaan Negeri Terengganu digesa supaya tidak menambah lagi sebarang perbelanjaan untuk Taman Tamadun Islam (TTI) memandangkan perbelanjaan yang telah digunakan bagi membangunkan Taman Tema itu sudah terlalu besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk mencadangkan adalah lebih baik sekiranya RM30 juta yang diminta oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) digunakan untuk membasmi kemiskinan rakyat Terengganu yang masih dalam kedudukan ‘antara negeri yang termiskin’ di Malaysia.

”Elok gunakan RM30 juta untuk basmi kemiskinan di Terengganu dan membantu rakyat Terengganu yang terbeban dengan kenaikan kos hidup,”kata Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawai yang dihubungi Buletinonline lewat semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengurus Besar PMINT Datuk Zakaria Awang yang akan memohon peruntukan kira-kira RM30 juta, dikatakan untuk mengindah dan memperlengkapkan TTI.

Zakaria berkata PMINT bertanggungjawab mengendalikan pembinaan taman tersebut, memerlukan RM6 juta daripada peruntukan itu bagi mewujudkan kiosk-kiosk untuk menjual barang-barang keluaran dari Timur Tengah.

Menegaskan kenyataan beliau, Syed Azman berkata, ekonomi dunia sedang merudum ketika ini akibat krisis ekonomi yang dialami oleh Amerika Syarikat dan Malaysia antara Negara yang menjadi rakan perdagangan utama Amerika pasti akan mengalami kesan krisis tersebut dalam masa terdekat.

Semalam, sebuah akhbar Negara jiran Malaysia, Singapura, mengesahkan Negara tersebut mengalami kemelesetan pertama kali sejak enam tahun lalu.
Perdana Menterinya Lee Hsien Loong semalam menggesa warga Singapura agar bersedia menghadapi masa yang sukar menjelang tahun depan.
Beliau berkata walaupun sistem kewangan Singapura masih baik dan ekonomi kekal berdaya saing, negara-negara Asia tidak dapat mengelak daripada terjejas dengan kelemahan ekonomi Amerika Syarikat

Ulasan