UMNO Sekular, tidak relevan menubuhkan Majlis Ulama


Kuala Terengganu – Penubuhan Majlis Ulama dalam UMNO untuk memastikan anggota parti tidak lari daripada perjuangan Islam tidak relevan memandangkan dasar sekular masih menjadi nadi perjuangan parti tersebut.

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata, dasar perjuangan UMNO tidak sama dengan dasar perjuangan PAS yang menekankan al-Quran dan hadis sebagai rujukan dan ulama berperanan penting dalam perjuangan.

“Dalam UMNO ada biro agama, tetapi mereka (UMNO) tidak mampu menyelesaikan masalah disebabkan dasar yang menjadi dokongan utama parti itu. Mereka perlu mengubah dasar dan meninggalkan perjuangan sekular,” katanya.

Sinar Harian memetik beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdin supaya ditubuhkan ‘Majlis Agama’ dalam UMNO untuk memastikan anggota parti tidak lari daripada roh Islam dan menerima kuasa dengan penuh tanggungjawab sebagai satu amanah Allah.

Menurut Azman Shapawi, perlembagaan UMNO juga tidak mencerminkan ke arah memastikan dasar Islam menjadi teras dan hal itu perlu diselesaikan dan diubah terlebih dahulu bagi memastikan anjakan perubahan berlaku.

Katanya, jika UMNO tidak mendokong gerakan Islam, ia tidak mampu untuk mencari titik gerakan Islam seperti PAS yang konsisten memperjuang dan memartabatkan Islam.

Mengulas lanjut berhubung penerimaan dan penyertaan golongan profesional dalam PAS, beliau menyatakan golongan profesional sememangnya menyedari apa yang berlaku dalam negara ini.

Beliau berkata, mereka boleh menilai apa yang terbaik dan mampu dilakukan PAS dalam memacu pembangunan insaniah berbanding pendekatan yang dilaksanakan UMNO dan persefahaman antara golongan ulama dan profesional mampu mewujudkan hala tuju gerakan Islam berlandaskan al-Quran dan hadis.

“Kenapa daie pemuda tak pergi kepada Mat Rempit dan Penagih” - wakil Perantau Kelantan


Seorang wakil Perantau yang berucap dalam sesi dialog Ijtima’ Idul Fitri baru-baru ini berkata beliau tidak nampak Pemuda PAS Terengganu melaksanakan program-program mendekati golongan ‘terpinggir’ dari kalangan remaja dan belia.


”Saya tak nak cakap pasal Petua, untuk pemuda, saya tengok dekat Kelantan ada Markaz Siswazah Kelantan (MSK), tetapi dekat Terengganu saya sendiri tak tahu, apa ada ke untuk pelajar-pelajar negeri Terengganu yang ada di luar,

”Kenapa daie (pemuda PAS Terengganu) tidak pergi kepada golongan-golongan yang kita anggap ‘tidak berguna’ seperti Mat Rempit dan penagih dadah, kenapa tak pergi,”tanya Wan Hafiz yang mewakili Perantau dari negeri Kelantan.

Beliau juga mengambil contoh tindakan negeri Kelantan menyajikan bentuk-bentuk hiburan bagi menarik golongan muda yang beliau dakwa tidak di lakukan oleh Pemuda PAS di Terengganu.

”Yang lain lagi, program-progam untuk pemuda seperti hiburan, kat Kelantan Dato’ Husam Musa dia buat, seperti contoh tengok bola piala dunia misalnya,”jelas beliau

Beliau turut menyarankan pemuda PAS Terengganu membuat perubahan sebagaimana yang dilakukan oleh Pemuda PAS Pusat dan berharap supaya golongan muda diberikan ruang yang luas bagi menyiapkan diri menjadi pelapis-pelapis pimpinan masa akan datang.

Mengulas saranan dan cadangan tersebut, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani berkata Pemuda Terengganu menjadi benteng barisan hadapan mempertahankan PAS dan kepimpinannya di negeri ini.

Menurutnya, tindakan agresif PemudaTerengganu mempertahankan maruah dan harta rakyat sehingga ada yang ditahan dan ditangkap polis.

“Kita (Pemuda) mempertahankan PAS. Kita menjadi benteng yang paling ke depan sekali sehingga ada pemuda kita yang ditahan dan ditangkap polis,”terang beliau

Katanya, PAS Terengganu menghadapi pelbagai karenah dan mehnah politik yang menekan terutama di sekitar tahun 2004 hingga 2008.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Pusat mendedahkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu cuba menutup kelemahannya dengan menyekat saluran ceramah PAS kepada rakyat.


“Tahun 2004 hingga 2008, Terengganu tidak dibenar mengadakan ceramah secara bebas. Saluran maklumat secara demokrasi kepada rakyat cuba ditutup.
“Kita (Pemuda) berdepan dengan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan gas-gas pemedih mata merata-rata di tempat ceramah,” ujarnya.


Menyentuh tentang kegiatan masyarakat pemuda, Azman berkata pemuda ‘tidak pilih bulu’ dan berhubung dengan semua pihak diperingkat Bandar, kampong dan tidak ketinggalan golongan ‘Mat Rempit’

”Untuk maklumat, kami turun sehingga ke Stadium, untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat terutama kepada golongan pemuda tentang masalah yang kita hadapi di Terengganu.
”bukan masalah keruntuhan moral sahaja, kami bagi risalah, antaranya tentang gejala murtad, berpuluh-puluh orang yang bercita-cita dan ada kearah nak (menjadi) murtad,
”Kita ada perjumpaan dengan mereka pada tiap-tiap bulan memberi ‘taujihat’ dan bantuan kewangan,”jelasnya.

Ulasan