Penduduk Taman Jalan Cerong Lanjut Pula Terima Akibat Penarahan Bukit Pak Apil


Kuala Terengganu – Kebimbangan bahaya yang akan menimpa akibat penarahan Bukit Pak Apil akhirnya menjadi kenyataan apabila hujan lebat telah mengakibatkan banjir kilat di taman perumahan Jalan Cerong Lanjut.

Selepas surau Cerong Lanjut menerima padah dibanjiri lumpur pada 3 November lalu, penduduk taman perumahan berhadapan rurau tersebut pula mengalami bencana banjir.

Para penduduk tersebut mendakwa, banjir kilat yang berlaku kerana longkang tersumbat disebabkan lumpur yang turun dari pembangunan puncak Bukit Pak Apil.

Hujan lebat yang berterusan sejak Rabu lalu membawa turun air bersama lumpur dari puncak bukit lalu merosakkan rumah penduduk taman tersebut apabila air deras tiba-tiba menenggelamkan dan menghanyutkan peralatan rumah mereka.

Mereka mendakwa mengalami kerugian tidak kurang RM60,000.00 akibat kerosakan dan kehilangan rumah dan harta benda.

Teh Eng Kee, 45, yang telah tinggal di taman perumahan itu sejak 20 tahun lalu berkata, tidak pernah sebelum ini dan inilah kali pertama banjir demikian berlaku di persekitaran kediaman tersebut.

“Kami tidak pernah mengalami pengalaman buruk seperti ini, walaupun dalam musim tengkujuh yang teruk,
“Kami yakin pembangunan yang berlaku di puncak bukit itu (Pak Apil) yang menyebabkan banjir ini berlaku,”katanya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Shah Ismail, 60, berkata longkang tersumbat menyebabkan banjir kilat berlaku,
“Saya tak pasti, mungkin akan berlaku banjir lagi sepanjang musim tengkujuh ini,”kata beliau.

Pada 21 September lalu, Buletinonline mula menyiarkan kebimbangan penduduk sekitar bandaraya ini apabila Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan pembangunan merbahaya dengan menggondolkan kawasan bukit Pak Apil.

Pada 8 Oktober, Datuk Bandar Dato’ Mat Razali Kasim dalam responnya terhadap pembangunan puncak bukit itu berkata pemilihan kawasan itu kerana diyakini dapat menarik lebih ramai pelancong dan warga tempatan menghayati panaroma keindahan di setiap sudut di negeri ini.

Projek Taman Puncak Panorama itu sedang dalam proses pelaksanaan fasa pertama yang melibatkan jalan masuk, penyediaan bekalan elektrik dan menara tinjau.

Pembinaan Fasa Pertama yang menelan belanja RM25 juta itu dijangka siap siap sepenuhnya tiga tahun akan datang,

Sumber dalaman Buletinonline memaklumkan projek tersebut dibangunkan tanpa kajian terperinci oleh pihak MBKT dan kerajaan kerana ia diserahkan kepada pihak swasta sebaik diumumkan rancangannya.

Akibat Sikap Tergesa-gesa RM14 juta Tidak Dapat Di manafaatkan Untuk Rakyat

Kuala Terengganu – Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu Kali Ketiga Penggal Ke Dua Belas akan diadakan pada 14 hingga 18 Disember depan.

Sidang kali ini, yang berlangsung selepas pembentangan Bajet 2009 di parlimen, pada kebiasaannya akan membahaskan Bajet 2009 bagi peringkat negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dijangka akan membentangkan Bajet pertama beliau selepas dilantik ke jawatan tersebut pada Mac lalu.

Pada tahun lalu, Bajet 2008 bagi negeri Terengganu telah di bentang oleh bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh.

Bajet yang diberi tema ‘kecaknaan’ yang dibentang Idris tidak mencapai maksud kerana beberapa keputusan yang dibuat adalah tergesa-gesa tanpa kajian yang mendalam

Idris telah mencadangkan RM 14 juta juta diperuntukkan untuk meningkatkan taraf pengangkutan Awam di negeri ini.

Pada masa sama juga sebuah anak syarikat telah ditubuhkan dan diperbadankan di bawah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

“Syarikat ini akan bertindak sebagai pengendali kepada perkhidmatan bas Bandar dan bas antara daerah. Ia diberi nama ”Cas Ligas”.”

“Nama ”Cas Ligas” dipilih bagi menggambarkan dinamisma dan semangat orang Terengganu. ”Cas Ligas” – mesra, dinamik, efisien.”kata Idris dengan bangga.

Namun begitu, Menteri Besar Dato’ Ahmad Said, yang juga Exco kerajaan penggal lalu, telah menolak untuk melaksanakan keputusan Bajet 2008.


Menurut Ahmad, kerajaan negeri akan mengkaji semula cadangan awal bagi mewujudkan satu sistem perkhidmatan bas di negeri ini yang bakal dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri memandangkan timbul beberapa masalah atau implikasi mengenai perancangan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya perlu mengadakan kajian semula mengenai perkara itu memandangkan timbul bantahan daripada pengusaha-pengusaha bas sedia ada yang khuatir pendapatan mereka terjejas serta beberapa faktor lain.

“Kerajaan negeri berhadapan dengan risiko kerugian sekiranya cadangan awal perkhidmatan bas itu diteruskan kerana kita perlu mewujudkan laluan baru bagi tujuan terbabit. Hal ini kerana risiko tidak mempunyai ramai penumpang di laluan baru perlu diambil kira tambahan pula kebiasaannya penumpang bas ini bermusim.

“Kita telah menerima 20 buah bas baru-baru ini untuk perkhidmatan pengangkutan awam dari daerah ke daerah dan enam buah bas lagi bagi perkhidmatan dalam bandar yang membabitkan kos sebanyak RM10 juta,” katanya

Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu bahawa daripada jumlah bas yang dinyatakan tersebut, kerajaan negeri bercadang untuk menyerahkan bas-bas berkenaan kepada jabatan-jabatan kerajaan yang memerlukannya.

Sementara itu, dua daripada enam bas perkhidmatan dalam Bandar ‘yang pelik’ yang diperuntukkan dijangka diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) untuk digunakan bagi tujuan membawa pengunjung yang ingin melawat Mini Zoo di daerah tersebut.

Pada Oktober lalu, penipuan tentang perkhidmatan bas dalam Bandar ‘yang pelik’ yang diberi nama ‘Cas Ligas’ telah terbongkar.

Kerajaan negeri sebelum itu dianggap bermurah hati telah memberikan khidmat percuma kepada rakyat yang menggunakan khidmat bas bandaraya Kuala Terengganu.

Padahal sebenarnya rekabentuk ’Bas Bandar yang ‘pelik’, dilancarkan pada 27 Ogos tahun lalu tidak diluluskan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)

Kerajaan Terengganu kini tidak dapat pulangan dari pelaburan yang menggunakan RM3.4 juta wang rakyat semata-mata untuk merealisasikan ‘idea gila’ bekas Menteri Besar Dato Seri Idris Jusoh.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan menyatakan kegagalan memperolehi permit dari LPKP menyebabkan bas tersebut menjadi liabiliti.

Akhirnya hanya dua buah bas yang dibeli dengan harga RM430,000 sebuah, bergerak mengelilingi Kuala Terengganu, sementara baki enam buah lagi, akan diserahkan dua daripadanya kepada Majlis Perbandaran Kemaman.

Akibat sikap tergesa-gesa kerajaan negeri telah meluluskan RM14 juta wang rakyat yang kini tidak dapat dinikmati kerana gagal meningkatkan taraf pengangkutan.

Jumlah tersebut tidak termasuk peruntukan sebanyak RM 2 juta untuk membina dan menyiap terminal pengangkutan awam di Kuala Berang dan RM 0.6 juta untuk premis perniagaan dan Perhentian Bas dan teksi di Permaisuri.

Terimal dan hentian bas cantik, tetapi basnya tidak ada. Yang ada bas-bas buruk seperti dahulu kala!

Ramli Nuh kata JHEAT Tidak Mampu Buktikan Ayah Pin Sesat

Besut - Rata-rata penduduk Kampung Batu 13, Hulu Besut, dekat sini, masih bimbang ajaran sesat Ayah Pin atau Ariffin Mohamad, 68, akan kembali semula sekiranya beliau tidak ditahan atau diambil tindakan.
Bagi mereka, biarpun binaan-binaan keberhalaan yang bercanggah Islam seperti telaga zamzam dan bahtera Nabi Noh sudah dirobohkan lebih tiga tahun lalu, ia tidak bermakna kegiatan Ayah Pin sudah berakhir.

Beberapa penduduk tempatan disini menolak kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhamad Ramli Nuh yang mendakwa keutamaan kerajaan negeri ialah menghapuskan ajaran itu dan bukan mengheret Ayah Pin ke mahkamah.

Pada 14 November baru-baru ini, Ramli Nuh menyifatkan tindakan menahan dan membicarakan Ayah Pin tidak penting tetapi yang paling penting ialah tindakan 'menghalau' Ayah Pin (ke Selatan Thailand) sudah berjaya.

Beliau juga melahirkan rasa keraguan dan tidakpercaya kepada keupayaan mahkamah syariah dan menyatakan Ayah Pin mungkin boleh terlepas.

"Ini kerana perkampungan kumpulan itu di Besut sudah tidak aktif lagi. Para pengikutnya juga sudah tidak berjumpa seperti dahulu.


"Kalau kita tangkap dan bawa ke mahkamah, ia ambil masa yang panjang dan mungkin dia boleh terlepas kalau tidak ada bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahannya," kata Ramli Nuh yang dipetik oleh sebuah akhbar perdana.

Namun begitu penduduk kampung bimbang kerana menurut mereka Ayah Pin lelaki yang dianggap ‘tuhan’ oleh pengikut setia ajaran sesat itu, dikatakan masih lagi berulang-alik ke perkampungan itu.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, walaupun lelaki berhak pulang ke perkampungan berkenaan kerana keluarganya masih tinggal di situ, namun penduduk bimbang dia mungkin meneruskan kegiatannya secara senyap.

“Selepas replika di kawasan itu dirobohkan pada Julai 2005 penduduk kurang mengambil perhatian terhadap apa yang berlaku di kawasan perkampungan itu sekarang.

“Namun, sejak kebelakangan ini, ramai penduduk melihat banyak kenderaan termasuk jenis mewah memasuki perkampungan itu dan perkembangan ini menimbulkan kesangsian dan kebimbangan penduduk,” kata penduduk tersebut.

Beliau juga menolak dakwaan konon Ayah Pin kini tenat akibat menghidap penyakit kronik dan bersembunyi di negara jiran sebagai pembohongan kerana lelaki itu dipercayai menetap di Tumpat, Kelantan.

Beliau mendakwa, Ayah Pin yang mempunyai pengikut terdiri pelbagai agama dan bangsa termasuk dari Singapura dan Indonesia dikatakan sentiasa ditemani dua atau tiga pengikut setianya setiap kali pulang ke perkampungan itu menaiki kereta bagi mengawal keselamatannya.

Sementara itu kenyataan Ramli Nuh menggambarkan bahawa kerajaan negeri khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama (JHEAT) terlalu lemah hingga tidak dapat membawa bukti dan saksi bahawa Ayah Pin telah memesongkan aqidah Islam.

Katanya, untuk menahan seseorang yang dikaitkan dengan kesalahan membabitkan ajaran sesat sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.

“Bukan sukar untuk kita menahan individu itu tetapi payah mencari bukti bagi mensabitkan kesalahan dilakukan. Tidak ada bukti yang boleh dibawa ke mahkamah untuk mendakwa Ayah Pin kerana menjalankan kegiatan yang bercanggah Islam.

“Memang kita tahu, dia (Ayah Pin) bersalah kerana memesongkan akidah masyarakat dan melakukan kegiatan bercanggah Islam tetapi dalam mahkamah, semua itu tidak boleh dipakai dan mahkamah memerlukan bukti kukuh dan itu yang kita tidak mampu buat,” katanya

Ramli Nuh tidak menafikan Ayah Pin masih berulang alik ke perkampungan itu seperti didakwa penduduk, namun beliau mengambil remeh tentang pergerakan Ayah Pin walaupun mengakui sentiasa membuta pemantauan.

“Itu hak dia dan kita tidak boleh menghalangnya pulang ke perkampungan itu kerana itu kampungnya dan masih ada keluarga yang tinggal di kawasan berkenaan,” katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bagi mengenal pasti bentuk tindakan boleh diambil terhadap Ayah Pin.

Penduduk meluahkan rasa jemu dan bosan kerana terpaksa mendesak pihak berkuasa agama supaya dapat melakukan sesuatu termasuk menahan lelaki terbabit bagi mengelak kemungkinan dia meneruskan kegiatannya di perkampungan itu, namun hingga kini masih tiada tindakan.

“Kita bimbang Ayah Pin bertindak umpama menyelam sambil minum air apabila menjadikan keluarga sebagai alasan untuk kembali ke kawasan berkenaan, sebaliknya terus menjalankan kegiatannya secara senyap,” kata mereka yang dipetik oleh Metro Ahad.

Ulasan