Oleh : Muhammad Hafizuddin Rosli
Terengganu, di bawah tanah yang subur ini, terdapat kekayaan yang sangat bernilai dan strategik iaitu unsur nadir bumi (REE). Meskipun jarang dijumpai, unsur-unsur ini memainkan peranan penting dalam berbagai industri moden, dari elektronik hingga teknologi hijau.
Kenapa unsur tersebut begitu bernilai dan sentiasa menjadi
topik hangat setiap kali dibahaskan di dewan negeri mahupun rakyat?
Ini kerana unsur tersebut merupakan kumpulan unsur kimia yang
terdiri daripada elemen-elemen yang biasanya sangat jarang terdapat dalam kerak
bumi. Ini termasuk Scandium (Sc), Yttrium (Y), serta kumpulan unsur lantanida
dan aktinida. Keunikan setiap unsur ini memberikan pelbagai sifat yang berharga
dalam aplikasi teknologi seperti kekuatan magnetik, kestabilan termal, dan
kemampuan penghantar.
Di negeri Terengganu, khususnya, kajian dan penemuan terkini
menunjukkan bahawa terdapat potensi besar untuk kehadiran unsur nadir bumi
dalam tanah dan batuan di beberapa kawasan seperti Setiu, Hulu Terengganu,
Marang, Dungun, dan Kemaman. Ini membuka peluang besar bagi negeri Terengganu
untuk memanfaatkan sumber daya alamnya yang kaya ini dalam pembangunan industri
dan teknologi.
Terengganu telah dikenalpasti sebagai salah satu kawasan
yang kaya dengan deposit unsur nadir bumi. Penemuan ini telah membuka peluang
ekonomi baru bagi negeri itu. Dengan menggali dan memanfaatkan sumber daya
alamnya yang berharga, Terengganu berpotensi menjadi pemain penting dalam
industri global yang bergantung pada unsur-unsur nadir bumi.
Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad
Samsuri Mokhtar, ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama
Dewan Undangan Negeri Ke-15 tahun 2023, beliau menyatakan bahawa unjuran
potensi REE telah dilakukan melalui Kajian NR-REE di Malaysia yang dimulakan
oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada tahun 2014 dengan
kerjasama daripada Academy of Science Malaysia (ASM).
“Kajian yang dilakukan terhadap kawasan tanah luluhawa
granit di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, dan Kemaman,
menunjukkan bahawa kawasan yang berpotensi tersebut mempunyai keluasan
1,437,500.00 ekar dan dapat menghasilkan sebanyak 7,187,500 juta tan REE.
“Kerajaan negeri sentiasa memandang kehadapan dalam
perlombongan REE di Terengganu dengan menubuhkan Majlis Mineral Unsur Nadir
Bumi (REE) Negeri Terengganu sebagai platform dalam menangani urusan berkaitan
dengannya,” jelasnya.
Jelasnya lagi, ia sebagai memastikan kedaulatan dan hak
Terengganu sebagai pengeluar REE dapat dilindungi dengan sewajarnya demi
kepentingan rakyat dan negeri serta memainkan peranan dalam menentukan dasar
dan halatuju pembangunan berkaitan REE.
“Fungsi Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) Negeri
Terengganu adalah mengadakan perbincangan royalti, pembangunan peluang
perniagaan, projek dan pembahagian peluang-peluang perniagaan dan peluang
pekerjaan kepada rakyat negeri.
“Selain itu, ia juga menumpukan Tanggungjawab Sosial
Korporat (CSR) pembangunan modal insan dan ekonomi bagi rakyat termasuk
pengagihan kontrak secara berpusat (centralized) kepada kontraktor yang
berdaftar demi memastikan kesinambungan peluang perniagaan,” ujarnya.
Meskipun kekayaan ini menawarkan peluang yang menggiurkan,
ia juga datang dengan tanggungjawab besar. Perlu dilakukan pengurusan sumber
daya yang bijaksana dan berkesan untuk memastikan manfaat jangka panjang bagi
negeri dan penduduknya. Ini termasuk mempertimbangkan impak alam sekitar,
pembangunan infrastruktur, dan pembangunan kemahiran tempatan untuk mengambil
bahagian dalam industri ini.
Dengan pemahaman yang lebih baik tentang pentingnya unsur
nadir bumi dalam industri global, Terengganu dapat menjadi pusat penting bagi
penelitian, pembangunan, dan pengeluaran unsur-unsur ini. Dengan pelaburan yang
sesuai dan dorongan inovasi, negeri ini berpotensi memimpin dalam pembangunan
teknologi yang lebih lestari dan inovatif.
Exco Pelaburan Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman ketika
dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, syarikat peneraju
utama Teknologi Super Magnet di Korea Selatan, Star Group Industry Co. Ltd yang
menduduki tempat ketiga di peringkat global telah bersetuju untuk membina
kilang berkait pemprosesan unsur nadir bumi (REE) berhampiran Pelabuhan
Kemaman.
“Pembinaan kilang tersebut dijangka bermula seawal suku
ketiga tahun 2024 dan tanah lokasi kilang itu dibina merupakan milik anak
syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad. Pihak Star Group juga telah melawat
lokasi berkenaan dan telah memberikan persetujuan untuk menyewa tanah seluas
kira-kira 100 ekar bagi tujuan pembinaan kilang mereka di situ.
“Kilang yang akan dibina terdiri daripada dua peringkat,
satu untuk ‘midstream’ dan keduanya adalah kilang ‘downstream’. Midstream ini
akan proses hasil yang yang kita lombong di negeri Terengganu dan negeri-negeri
di bawah State Government 4 (SG4) untuk dihantar ke kilang mereka untuk dibuat
‘cracking’ ataupun dioksidakan REE,” jelasnya.
Nurkhuzaini berkata proses ‘downstream’ pula melibatkan
aktiviti melombong tetapi bukan secara terbuka. Ia hanya memasukkan beberapa
batang paip dalam meter persegi tanah, kemudian dicurahkan bahan kimia
tertentu. Proses ini akan menghasilkan REE karbonat yang diinginkan.
Selain itu, pelaburan dalam industri unsur nadir bumi di
Terengganu mempunyai beberapa kelebihan yang dapat membuka peluang pekerjaan
bagi penduduk tempatan. Industri ini memerlukan pelbagai jenis pekerja mulai
dari ahli geologi, jurutera perlombongan, ahli kimia dan pelbagai lagi. Ini
mencipta peluang pekerjaan yang pelbagai sesuai dengan latar belakang dan
kemahiran penduduk tempatan.
Jadi, pelaburan dalam industri unsur nadir bumi di
Terengganu tidak hanya menciptakan pekerjaan, tetapi juga memberikan dampak
positif yang besar pada pembangunan ekonomi dan sosial di negeri tersebut.
Ulasan