PRK Kuala Terengganu – UMNO Sukar Tentukan Calon


Kuala Terengganu – Petunjuk berkaitan calon-calon yang akan bertanding untuk Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu mungkin akan diketahui awal minggu hadapan.

Secara rasmi, PAS Terengganu belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan PRK Kuala Terengganu.

Manakala pihak lawan UMNO, menurut Ketua Penerangannya Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, parti itu dijangka akan membincangkan agenda PRK Kuala Terengganu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang akan diadakan pada Rabu ini (3hb).

Namun mesyuarat tersebut mungkin tidak dapat memutuskan calon yang akan bertanding sebagaimana kenyataan beliau yang di petik The Star Online.

Ia adalah kerana menurut Mohammad UMNO juga akan turun ke Kuala Terengganu untuk membuat tinjauan bagi menentukan calon.

“UMNO akan turun ke Kuala Terengganu secepat mungkin untuk melihat apa yang harus dibuat dan tindakan yang akan diambil bagi persiapan memastikan kerusi tersebut dikekalkan oleh Barisan Nasional,”kata beliau di Putrajaya semalam.

Mengulas kenyataan Mohammad, Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat@Ramli berkata tindakan Umno pusat untuk turun ke Kuala Terengganu adalah kerana parti itu dalam keadaan tertekan dan sukar untuk menentukan calon.

Beliau yang juga Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Terengganu berkata masalah perpecahan Umno Terengganu masih belum selesai.

“Pihak yang menyokong Pengerusi UMNO Terengganu, Dato’ Ahmad Said, mahukan calon (PRK Kuala Terengganu) dari kalangan mereka,

“manakala pihak yang menyokong bekas Pengerusi, Dato’ Seri Idris Jusoh juga mahukan calon dari kalangan mereka,”kata Hanafiah.

Dalam perkembangan yang sama, Hanafiah berkata PAS Terengganu mungkin akan turut membincangkan perkara berkaitan PRK Kuala Terengganu pada mesyuarat ‘rutin’ Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang dijadualkan pada 6hb depan.

Perkara itu turut disahkan oleh seorang lagi Jawatankuasa PAS Terengganu, Ustaz Mohd Pauzi Muda yang dihubungi semalam.

“Oleh kerana perkara ini (PRK Kuala Terengganu) baru timbul, mungkin akan dibincangkan,”kata Mohd Pauzi.

Bendahari PAS Terengganu Ziarah Ahmad

Kemaman – Bendahari PAS Terengganu, Hj Mohd Abdul Wahid Endut mewakili saf kepimpinan PAS menziarahi Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang kematian ibunya Wook Ali, 88, di rumah barunya di Telok Kalong, dekat sini semalam.

Bersama-sama Hj Wahid adalah Ahli Jawatankuasa PAS Negeri, Hj Hanafiah Mat@Ramli yang turut hadir untuk solat jenazah sebelum jenazah Allahyarhamah dikebumikan selepas Zohor.

Hanafiah berkata beliau mengiringi Wahid bertemu Ahmad mengucapkan takziah dan menyampaikan salam pimpinan PAS yang tidak dapat hadir.

“Saya hadir mengiringi Hj Wahid semasa solat jenazah dan kemudian menyampaikan ucapan takziah kepada Ahmad serta menyampaikan salam pimpinan PAS,

“Ahmad menepuk-nepuk bahu saya dan Hj Wahid dan berkata beliau telah pun menelefon pimpinan PAS memberitahu kematian ibunya petang kelmarin (28hb),”kata Hanafiah ketika dihubungi Buletinonline semalam.

Menurut Hanafiah, Yang DiPertuan Agong,Tuanku Sultan Mizan turut mencemar duli menziarahi Ahmad sebelum itu.

Turut hadir petang kelmarin menziarahi Ahmad adalah Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman Hj Ismail Harun (Abang Wei).

Buletinonline difahamkan Allahyarhamah Wook Ali, meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 malam tadi (28hb) selepas menerima rawatan selama seminggu di Pusat Perubatan Kuantan (KMC) kerana sakit tua.

Ulasan