Terengganu Kini Tempat Orang Bunuh Diri ?


Kuala Terengganu - Ekoran dua kes cubaan bunuh diri yang dilaporkan berlaku di negeri ini baru-baru ini, Terengganu dilihat sebagai ‘tempat bunuh diri’ di kaca mata dunia luar

Yang dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang menafikan perkara tersebut dan menyifatkan bahawa kejadian tersebut hanya suatu kebetulan. (Gambar Atas - kiri adalah senario berlaku di Hulu Terengganu manakala kanan adalah cubaan bunuh diri yang berlaku di Kuala Terengganu)

‘‘Saya yakin ia tidak menjejaskan nama baik Terengganu, ia hanyalah satu kes kecil daripada keseluruhan rakyat negeri ini,” katanya yang dipetik media perdana semalam

Walau bagaimana pun, pada masa yang sama beliau mengakui kerajaan Terengganu bimbang dengan dua kejadian cubaan bunuh diri secara berturut-turut, seolah-olah menjadi ‘trend’ ikutan masakini.

‘‘Walaupun ia hanya kes terpencil namun kerajaan memandang berat kes itu kerana ia membabitkan perilaku yang tidak bermoral yang bertitik-tolak kurang ajaran agama dan keruntuhan keluarga.

Ahad lalu, 23 November, seorang wanita yang juga merupakan isteri kedua cuba membunuh diri mahu terjun dari sebuah bangunan setinggi empat tingkat di Jalan Batu 24, Kuala Berang.

Wanita terbabit, Puan Zaitun Mamat, 39, dari Kampung Getang Hulu Terengganu dikatakan mengalami tekanan jiwa kononnya diabaikan oleh suaminya.

Beliau nekad terjun dari bangunan tersebut sambil mengacukan sebilah pisau bagi mencederakan dirinya sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat.

Sebelum itu pada Jumaat, 21 November, seorang gadis berusia 18 tahun cuba membunuh diri dengan mengugut terjun dari tingkat10 sebuah hotel di sini

Tindakan nekad gadis yang berasal dari Kuantan yang bekerja di sebuah ‘salun kecantikan’ diselamatkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat setelah pengsan akibat keletihan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah ketika mengulas kes yang berlaku di Hulu Terengganu berkata ia adalah yang pertama berlaku sejak enam bulan beliau bertugas di Kuala Berang.

“Ini kes yang pertama sejak enam bulan saya bertugas di sini (Kuala Berang) dan saya rasa ini ‘jangkitan’ dari kes di kuala Terengganu. ‘Drama’ bersiri untuk bunuh diri,” ujarnya pada sidang media di tempat kejadian.

Manakala Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah menyifatkan fenomena ‘bunuh diri’ jarang berlaku terutama di Terengganu yang majoriti orang Melayu Islam.

Katanya, orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT tidak akan melakukan perbuatan jenayah yang tergolong dalam perbuatan dosa besar itu.

Justeru beliau menggesa supaya kerajaan mengutamakan pendidikan Islam yang sempurna kepada seluruh rakyat.

Menurutnya, pendidikan agama yang sebenar amat penting bagi melindungi rakyat dari perbuatan yang sia-sia itu.

Beliau berpendapat agenda Islam Hadhari yang dicanangkan oleh para pemimpin Umno-BN semakin merosakkan akhlak dan nilai moral rakyat di negeri ini terutama di kalangan orang Melayu Islam.

Negeri Terakhir Bentang Bajet


Kuala Terengganu – Terengganu merupakan negeri terakhir membentangkan bajet untuk tahun 2009 kerana pihak kerajaan negeri tidak pasti berapa pendapatan yang akan diterima.


Bendahari PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama,
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedua Belas akan diadakan pada 14 hingga 18 Disember depan.

Beliau yang juga anggota DUN yang mewakili Wakaf Mempelam sejak tahun 1986 berkata kerajaan negeri terpaksa mememilih tarikh tersebut kerana sudah terlalu lewat.

“Semua negeri-negeri lain baik yang diperintah oleh Pakatan Rakyat atau pun Barisan Nasional telah selesai membentangkan bajet 2009 masing-masing,

“Terengganu terpaksa buat terlalu lewat sehingga minggu kedua bulan Disember dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini,

“Ini berlaku kerana tidak pasti berapakah ‘penerimaan bukan hasil’ dari dana ehsan yang akan diterima dari kerajaan pusat,”katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pra-sidang DUN wakil-wakil PAS di pejabat PAS Terengganu baru-baru ini.
Oleh itu, menurutnya kerajaan negeri tidak dapat menyediakan bajet tersebut kerana hasil yang dijana dalam negeri sendiri tidak mampu untuk menampung perbelanjaan.

Katanya kerajaan negeri memperolehi hasil cukai dan bukan cukai sebanyak RM140 juta pada tahun 2006 dan RM162 juta pada tahun 2007 berbanding perbelanjaan sebanyak RM 1.4 bilion pada tahun 2006 dan RM1.5 bilion pada tahun 2007. (Jadual dibawah)

“Bila tak pasti berapa banyak kerajaan pusat akan beri, Terengganu tak dapat buat bajet kerana perbelanjaan Terengganu terlalu banyak, 10 kali ganda berbanding hasil,”ujarnya.

Menyentuh tentang soalan-soalan yang akan dikemukakan dalam sidang DUN akan datang, beliau berkata sebanyak 74 soalan lisan dan 35 soalan bertulis yang dikemukakan.

“Sidang DUN kali ini agak panjang, kita (PAS) harap soalan-soalan yang dikemukakan tidak ditolak kerana ia melibatkan kepentingan rakyat,

“kita juga berharap kerajaan menjawab dengan jujur dan memberikan jawapan yang telus ada penanggungjawaban, bukan hanya sekadar menjawab tetapi ‘susup’ (sembunyikan) fakta,”tambahnya

Ulasan