24 Disember 2008

1000 ahli Kelab Penyokong PAS ke Kuala Terengganu



Kuala Terengganu - Sekurang-kurangnya 1000 orang ahli-ahli Kelab Penyokong PAS Malaysia yang terdiri daripada kaum Cina dan India akan menyertai perarakan pada hari penamaan calun 6 Januari depan.

Pada malam sebelumnya, 5 Januari, 2009, satu Majlis Makan Besar akan di adakan sempena Perasmian Gerak Kerja Kelab Penyokong PAS yang akan dijadualkan berlangsung di Kampung Tiong, Kuala Terengganu.

Ketua Kelab Penyokong PAS dan NGO, Jentera Pilihanraya PAS Terengganu bagi pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, Hj Hanafiah Mat berkata demikian ketika ditemui Buletinonline di Kuala Ibai semalam.

“Kita (PAS) akan membuka satu markaz besar bagi ahli-ahli Kelab Penyokong PAS di jalan Banggol Kuala Terengganu,

”majlis perasmian akan disempurnakan pada 5 Januari, jam 7.30 malam oleh Yang Berhormat Dr. Mujahid Yusof Rawa,”ujarnya

Beliau berkata seramai 100 orang petugas Kelab Penyokong akan berkempen setiap hari keseluruh pelusuk kawasan parlimen Kuala Terengganu dengan penumpuan kepada DUN Bandar dan DUN Ladang.

Katanya, antara kempen yang akan digerakkan oleh ahli-ahli Kelab ialah menziarahi pengundi dari rumah ke rumah, menziarahi pesakit dan mereka yang tidak bernasib baik selain dari mengadakan pemeriksaan dan rawatan perubatan percuma.

Apabila ditanya, bagaimanakah sambutan masyarakat Cina Kuala Terengganu ketika ini terhadap PAS, Hanafiah berkata ianya sangat positif.

“Mereka yang saya temui masih ingat dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan PAS yang telah melupuskan cukai pintu gerbang yang terdapat di kampung Cina,

“mereka juga amat menghargai dan menyanjung tinggi tindakan kerajaan PAS mengubah semula nama Jalan Kampung Cina, yang telah di tukar sebelum itu oleh kerajaan UMNO Barisan Nasional di bawah pemerintahan Tan Sri Wan Mokhtar,”kata Hanafiah.

Beliau memaklumkan para pengundi setempat di Kuala Terengganu boleh membuat semakan daftar pemilih di markaz besar Kelab Penyokong PAS Jalan Banggol setiap hari bermula 5 Januari depan.


Azhan Harap Pengundi Kuala Terengganu ‘Buka Mata’


Kuala Terengganu - Selepas dinobatkan sebagai Juara Akademi Nasyid anjuran TV9, Azhan Atan menjejakkan kakinya kali pertama di Kuala Terengganu atas jemputan Dewan Pemuda PAS Terengganu.

“Ini kali pertama setelah johan akademi nasyid, untuk buat (konsert), tapi kalau pergi Terengganu untuk program-program mesyuarat Unit Amal, itu biasalah,

“ini memang proses penjelajahan saya ke negeri-negeri, Terengganu antara negeri terakhir yang saya lawati,”katanya ketika ditemui Buletinonline sebelum memulakan persembahan dalam Konsert Hiburan Alternatif di Kuala Ibai semalam.


Menurutnya, beliau mengetahui dan telah pun bersedia dengan agenda politik dan pilihanraya terutamanya
dalam konteks pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

“saya memang tahu program ini bersempena dengan program pilihanraya kecil Kuala Terengganu dan saya memang telah bersedia dan tidak ada masalah,”kata Azhan yang kini bernaung dibawah Hijjaz Record dan TV9.

Beliau berkata pihak-pihak berkenaan telah sedia maklum bahawa sebelum menjuarai Akademi Nasyid beliau adalah Ketua Pemuda PAS Kawasan Tanjung Piai, Johor.

Sehubungan itu, katanya album baru beliau sedang dalam proses rakaman dan akan mula dipasarkan pada Februari, 2009.

“Sekarang ni tengah masuk studio, Hijjaz Record Kota Damansara, dah siap tujuh lagu dan tinggal tiga lagu sahaja,”katanya

Justeru beliau berharap agar para pengundi Kuala Terengganu dapat ‘membuka mata’ agar dapat memilih calun yang lebih (dekat) kepada mardhotillah (keredhaan Allah).

“yang pastinya minta kepada pengundi, supaya sebelum keluar mengundi, malamnya itu mereka membuat (solat) istikharah, meminta Allah menunjukkan calun,

“pada saya (peribadi) saya, beri undi kepada PAS lah, tapi dalam bentuk umumnya, untuk pengundi atas pagar, biar dia fikir keputusan yang dibuat itu adalah didorong oleh ketentuan Allah SWT,”tambahnya.

Tiada ulasan:

Menjunjung Kasih Titah Agong; Fokus Tangani Covid-19

KUALA TERENGGANU - Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, ...