Pembangunan ‘Mee Segera’ dan Bantuan ‘kilat pilihanraya’ Mula Mencurah


Kuala Terengganu – Barisan Nasional (BN) mengekalkan strateginya menjelang pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu dengan mula mencurahkan projek-projek pembangunan ‘mee segera’.

Bermula semalam 18 Disember, beberapa jalan utama di Bandar Kuala Terengganu mula dibanjiri jentera-jentera berat pembina jalan raya dan kerja-kerja menurap semula dilakukan dengan segera.

Tinjauan Buletinonline di jalan Sultan Mohamad Gong Kapas mendapati sehingga jam 2.00 pagi ini (19 Disember) taktor ‘Roadcare’ dan jentera penurap jalan ‘UEM- Road builder’ masih sibuk menurap jalan tersebut.

Amalan ‘membeli undi’ dengan pembangunan ‘mee segera’ adalah strategi yang paling kerap digunakan oleh BN diwaktu yang lalu.

Kali terakhir BN telah menggerakkan pembangunan ‘mee segera’ terus menerus selama 24 jam sehari dan menurap semua jalan di seluruh Ijok sebelum pilihanraya kecil DUN tersebut tahun lalu.

Bagaimana pun strategi ‘menggula-gula’kan rakyat dengan pembangunan ‘mee segera’ tidak dilaksanakan semasa pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Muhammad Mohd Taib (Mad Taib) akan turun ke Kuala Terengganu sekali lagi, hari ini untuk berkempen.

Kempen Mad Taib berselindung mempergunakan agensi kerajaan RISDA diberi nama Lawatan Kerja Menteri Penbangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Selepas merasmikan satu acara kecil ‘Kursus Kefahaman Koperasi Pekebun Kecil RISDA (yang mungkin sengaja diada-adakan) beliau akan bertemu dengan jentera pilihanraya UMNO di hotel Primula.

Selepas itu, beliau akan mula akan ‘membeli undi’ dengan menyampaikan sumbangan pakaian untuk kanak-kanak di Dewan Wisma Darul Iman.


Dalam perkembangan yang sama kira-kira 8,000 penduduk Tionghua di Terengganu akan menerima 'duit raya kilat pilihanraya' sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yow mengumumkan demikian, walaupun Tahun Baru Cina masih jauh.

Beliau berkata kerajaan sudah meluluskan peruntukan kira-kira RM25 juta untuk tujuan tersebut menurut laporan akhbar Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Pengerusi MCA Terengganu memberitahu, mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan, warga emas berusia 65 tahun ke atas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal serta duda layak memohon.

Luka Ahmad Said Masih Berdarah

Kuala Terengganu – Hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menyaksikan luahan perasaan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said yang terluka.

Ketika menjawab soalan tambahan ADUN Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Ahmad telah meluahkan perasaan kecewanya dengan apa yang tlah berlaku dalam suasana politik dan pentadbiran negeri.

Dr. Syed meminta penjelasan polisi yang diambil oleh kerajaan negeri apabila berlaku perubahan dalam anak-anak syarikat kerajaan.

Beliau memberi contoh EPIC yang berpindah dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu.yang melibatkan pembelian bangunan RM4 juta, tetapi kemudiannya EPIC dipindahkan ke Kemaman.

Ahmad Said mula mencurahkan perasaannya menceritakan pengalamannya dan kesal dengan tindakan pegawai-pegawai kerajaan serta agensi kerajaan yang tidak melaksanakan kerja bersungguh-sungguh.

Beliau memetik contoh sebagai seorang pengurus ladang seharusnya pengurus tersebut harus di tempatkan berhampiran dengan sesebuah ladang, sebagai justifikasi perpindahan semula EPIC dari Kuala Terengganu ke Kemaman.

”Kita hanya bercakap, tapi tapi saya tengok,”kata Ahmad dengan nada yang agak ’sentimental’ meluahkan perasaannya.

”Sebab itu saya kata jangan tipu saya, saya bukan berkhidmat melalui telefon, saya pergi sendiri saya sampai sendiri, saya masuk ladang sendiri, saya jaga balak, saya pergi tengok orang curi balak,

”Macam kelmarin saya sebut, bila wakil Batu Burok tanyakan mengenai GLC, dia sebut secara ’specific’ Golden Pharos, saya dah berikan jawapan, ini syarikat ada kepentingan awam, saya tak mahu ulas panjang,

”tapi TV3 tunjuk, keluar dalam berita salah lapor, kata saya nak tutup Golden Pharos, ni saya sedih, TV3 memang dia buat saya ’sokmo daripada dulu doh’ Dia (TV3) ada agenda,”katanya dengan nada kesal.

”TV3 mempunyai niat jahat terhadap saya, termasuk semasa krisis perlantikan saya dulu, dia keluar(kan) BPR nak siasat ADUN Kijal,

”bila MPPR mengeluarkan kenyataan bahawa Ahmad said dipilih jadi menteri besar, dia keluar berita akhir ADUN Kijal disiasat BPR,

”kemudian selepas itu bila MajlisTertinggi UMNO mengesahkan Ahmad Said menjadi menteri besar, keluar lagi, dua hari lepas tu saya warning dia, keluar lagi saya saman,”ujar Ahmad.

Sedangkan, menurutnya, pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak pernah menjalankan apa-apa penyiasatan keatas dirinya.

Beliau juga mengejutkan semua yang hadir pada sidang DUN itu dengan memberitahu bahawa beliau masih menyimpan ’SMS’ dalam telefonnya, berkaitan seseorang dari Kuala Terengganu yang telah memfitnahnya.

Perasaan marah Ahmad Said yang dilukakan oleh musuh politik dalamannya masih membara, dapat dilihat apabila beliau memberi peringatan;

”Saya tidak mahu bertindak setakat ini, kepada golongan yang terlibat, tapi kalau saya terpaksa,saya akan lakukan saya akan bongkarkan satu persatu, saya tak kira sesiapa, saya beri jaminan sesiapa yang melakukan penyelewengan di negeri Terengganu, saya akan bertindak, saya tidak rela tak redha ini berlaku,”.


Ulasan