Pengundi Cina, Makan ’Umpan’ Tapi Jangan Makan ’Mata Kail’


Kuala Terengganu - Pengundi Cina Kuala Terengganu diingatkan supaya makan ‘umpan’ tetapi jangan makan ’mata kail’, berikutan agihan ’angpau’ dana khas kerajaan Persekutuan yang kini mula diagihkan oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) bermula kelmarin.

Pengerusi DAP cawangan Kampung Cina Kuala Terengganu, Encik Ng Chai Hing berkata mereka yang menerima angpau tersebut boleh mengambil duit itu kerana ia adalah hak mereka, tanpa merasa terhutang budi.

“Pengundi kaum Cina yang terima RM 300 duit angpau boleh ambil kerana ia adalah dari wang royalti yang menjadi hak rakyat Terengganu, tak perlu rasa terhutang budi sebab bukan duit peribadi pemimpin atau pun duit parti MCA/ Barisan Nasional,

“ambil duit dan buat belanja tetapi undi calun PAS dalam Pilihan Raya Kecil pada 17 Januari depan, kita (pengundi) tidak tidak perlu gadai maruah hanya kerana ‘habuan’ RM300 sahaja,” jelasnya kepada Buletinonline, hari ini.

Beliau berkata demikian kerana yakin para pengundi dan rakyat di Terengganu terutama kaum Cina sudah matang berpolitik serta dapat mengikut arus perubahan tsunami politik seluruh negara.

Kata Encik Ng, pemberian dana khas (ang pau) itu sememangnya patut diberikan kepada semua rakyat yang layak dan bukan di kalangan pengikut serta penyokong MCA dan kerajaan BN sahaja.

“Orang (BN) bagi duit ambil, orang bagi kain pakai, orang bagi gula kacau, tetapi tiba masa mengundi kita (rakyat) tolak BN undi PAS,” ujarnya mengambil kata-kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata masyarakat Cina di Kuala Terengganu masih tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya meski mempunyai seorang wakil rakyat dari kalangan parti MCA.

Katanya, pelbagai masalah gagal diselesaikan oleh kerajaan BN termasuk kesesakan jalan di Bandar, kekurangan parkir kereta, longkang tersumbat, banjir kilat dan pembangunan tidak seimbang.

Selain itu, beliau berkata beberapa isu nasional yang berlaku baru-baru ini telah memberi kesan kepada pemikiran orang-orang Cina di Kuala Terengganu sehingga ada dikalangan mereka yang mempersoalkan apakah jenis pimpinan yang sedang memimpin negara sekarang ini.

“Isu satu sekolah yang dinyatakan oleh Mukhriz dan isu pemberian tanah di negeri Perak adalah antara isu yang meninggalkan kesan di hati pengundi Cina Kuala Terengganu,

“mereka (pengundi Cina) menganggap pemimpin Barisan Nasional tidak langsung memperdulikan sensitiviti masyarakat Cina,”jelasnya


Amaran Kepada UMNO/Barisan Nasional - Usah Bermain Politik Dengan Isu Hudud dan Qisas

Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu tidak teragak-agak untuk mengadap dan menghantar memorandum kepada Duli Yang Mulia Sultan Terengganu, sekiranya UMNO/Barisan Nasional tidak menghentikan permainan politik murahan berkaitan isu hukum Hudud dan Qisas

Ketuanya, Fariz Musa berkata isu Hudud dan Qisas tersebut sengaja ditimbulkan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin dengan tujuan memerangkap Naib Presiden PAS Datuk Paduka Husam Musa dan menimbulkan polemik khususnya di kalangan masyarakat bukan Islam ketika berdebat di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

“Tujuan Khairy tidak lain adalah untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina khusus di Parlimen Kuala Terengganu yang akan menghadapi Pilihanraya Kecil tidak lama lagi,”katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabat Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Terengganu, Gong Kapas, dekat sini semalam.

Beliau berkata isu Hudud dan Qisas tidak perlu dipolitikkan oleh UMNO/Barisan Nasional kerana ianya merupakan isu yang lapuk dan tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada para pengundi berketurunan Cina di Kuala Terengganu dan rakyat Terengganu amnya.

Katanya ia adalah kerana masyarakat keturunan Cina khususnya dan rakyat Terengganu amnya tidak jahil, telah arif dan matang berkaitan Hudud dan Qisas kerana mereka telah diberikan pengetahuan dan penjelasan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sewaktu PAS memerintah Negeri Terengganu.

“Kerajaan PAS Terengganu telah membawa Enakmen Kesalahan Jenayah Hudud dan Qisas Terengganu 2002 kedalam Dewan Undangan Negeri dan diluluskan sebulat suara. Enakmen tersebut juga telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 September 2002 dan kemudiannya diwartakan pada 25 September 2002,”

“Walaupun masih belum berkuatkuasa namun kerajaan UMNO/Barisan Nasional yang merampas kembali pemerintahan dari PAS pada tahun 2004 tidak menolak dan meminda Enakmen tersebut, dimana dalam kerajaan UMNO/Barisan Nasional itu termasuk seorang wakil bukan Islam iaitu dari MCA,”jelas Fariz

Katanya wakil MCA tersebut sehingga hari ini tidak pernah menyuarakan apa-apa ketidakpuasan hati terhadap Enakmen itu yang telah menjadi sebahagian daripada undang-undang bagi negeri Terengganu.

Sehubungan dengan itu beliau berkata sebenarnya UMNO sudah terdesak dan tidak mempunyai isu sehingga isu hudud dan qisas cuba dipolitikkan .

“Khairy sebenarnya yang masuk perangkap sendiri dan akan menjadi labiliti kepada UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu,”

“beliau harus sedar bahawa Enakmen Hudud dan Qisas telah menjadi undang-undang yang diperkenan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin.”tegasnya

Justeru katanya sebarang tindakan menentang atau mepelekehkan Hudud dan Qisas bukan sahaja membawa kepada menghina Islam dan implikasi aqidah, malah boleh dilihat sebagai ‘menderhaka’ kepada Sultan Terengganu yang telah memperkenankan Enakmen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas di negeri Terengganu ini .

Beliau juga mendesak agar semua pihak menghentikan segera sebarang perbahasan isu politik murahan Hudud dan Qisas yang cuba dimainkan oleh UMNO/Barisan Nasional.

“Semua pihak termasuk parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat harus lebih matang menghadapi karenah UMNO/Barisan Nasional yang sudah ’bankrup’ dan mestilah mengambil pendekatan tidak melayan sebarang propaganda yang cuba dicetuskan oleh UMNO/Barisan Nasional dan media arus perdana.”tambahnya



Ulasan